Banyakkan Sedekah, Rezeki Jodoh Pun Banyak Sampai Susah Nak Pilih

Share

Muslim yang hebat amalan sedekahnya bukan saja mendapat sanjungan di atas muka bumi ini, malah turut mendapat doa malaikat!


.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut kemusnahan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala dalam hadis lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa bersedekah dengan sebutir kurma hasil daripada usahanya sendiri yang baik (halal), sedangkan Allah tidak menerima kecuali yang baik saja, maka sungguh Allah akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia akan mengembangkan sedekah itu untuk pemiliknya sebagaimana seseorang mengembangkan anak kuda miliknya hingga menjadi besar seperti gunung.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang pasti setiap amalan sedekah yang dilaburkan akan ada gantinya daripada Allah SWT. Setiap sedekah akan digantikan dengan ganjaran pahala, limpahan rezeki berganda, menyihatkan tubuh badan dan mendapat keberkatan hidup.

Allah SWT berfirman di dalam surah Saba’, ayat 34 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya; Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.”


.

Selain dicintai malaikat, amalan sedekah juga akan menjadi kekesalan terhadap orang yang sudah meninggal dunia. Jika golongan itu diberi peluang kedua untuk merasai hidup di dunia, peluang itu akan digunakannya untuk bersedekah semahunya.

Hal itu dinyatakan di dalam surah al-Munafiqun, ayat 10, yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu, Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau melambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat menjadi orang-orang yang soleh.”

Bagaimanapun, ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi dan harapan itu tidak akan diperkenankan Allah SWT. Bilakah ganjaran sedekah menyebabkan pahalanya cukup besar di sisi Allah?

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan menjadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di kerongkongmu. Lalu kamu berkata, si fulan punya ini dan si fulan punya itu. Padahal harta itu milik si fulan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, sedekah yang paling besar pahalanya dilaksanakan ketika seseorang sedang sihat dan berasa sayang terhadap harta itu. Justeru, jangan ditunda untuk bersedekah sebelum ajal datang menjemput!

Malah, segala harta yang dikumpul dan dimiliki akan ditinggalkan untuk difaraidkan. Apabila ia menjadi hak milik orang lain, bermakna ia tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada si mati.

 

***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.

 

Published by
webadmin