Tidak ada sesiapa pun mahukan rumah tangga yang dibina runtuh di tengah jalan. Jika boleh, masing-masing mahukan perkahwinan bersama insan tercinta berkekalan hingga ke hujung nafas.
Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, ada pasangan suami isteri yang mengambil jalan untuk berpisah lantaran tidak sehaluan lagi. Namun seboleh mungkin, biarlah sesebuah perkahwinan yang dilanda masalah itu diselamatkan.
Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu meneruskan lagi inisiatif menangani masalah penceraian dengan membawa sebanyak 40 pasangan suami isteri yang mengalami masalah rumah tangga untuk berbulan madu kali kedua atau ‘second honeymoon’.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, kebanyakan pasangan suami isteri yang dipilih itu terdiri dalam kalangan mereka yang telah mendirikan rumah tangga antara lima hingga enam tahun.
Menurutnya, pasangan berkenaan akan dibawa menyertai program tersebut secara berperingkat selama tiga hari dua malam di lokasi menarik di negeri ini.
“Setakat ini, hasil daripada program-program yang dijalankan sebelum ini terutama pada tahun lalu menunjukkan lebih 60 peratus pasangan yang telah menyertai program itu membatalkan hasrat mereka untuk bercerai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu For Turkiye di Masjid Rusila.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, statistik terbaharu itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding jumlah yang direkodkan seramai 35,000 orang pada 2018.
Jelas Zuraida, bagi mengekang peningkatan bilangan ibu tunggal, kerajaan negeri mengambil dua langkah iaitu mencegah dan memulihkan di samping menjaga kebajikan serta memberi perlindungan kepada golongan tersebut.
Sumber: Sinar Harian Kredit foto (top image): Pexels