Membina mahligai rumah tangga yang bahagia menjadi impian buat setiap pasangan. Melangkah ke fasa perkahwinan tidak seperti mana anda di zaman percintaan. Di sini anda dapat melihat perubahan sikap pasangan atau kemunculan sikap sebenar pasangan yang tidak pernah anda ketahui sebelum berkahwin. Hadapinya dengan penuh kesabaran.
- Terima kelemahan pasangan dan nilai kelemahan diri
Setiap individu mahukan kesempurnaan. Sebagai pasangan. lengkapkan kelemahan pasangan anda dengan kelebihan yang ada dan jadikan kelebihan pasangan anda sebagai pengukuh kelemahan anda. Jangan terlalu mementingkan kesempurnaan sehingga anda kerap kali bercakap tentang kelemahan pasangan anda. Bimbing dan bantu pasangan anda untuk berubah ke arah yang lebih baik.
- Luangkan masa untuk bersama
Carilah masa untuk berdua dengan pasangan agar lebih mengenali pasangan anda. Masa bersama memberi ruang kepada pasangan mengenali sikap dan hati budi masing-masing sekaligus memahami dan menerima antara satu sama lain.
- Jangan sering mendesak pasangan
Perkara ini harus dielakkan di dalam mengubah sikap negatif pasangan. Jika mahukan perubahan pada pasangan janganlah berharap ia dilakukan serta merta. Apabila pasangan kerap melakukan sesuatu perkara dengan terpaksa dan tidak ikhlas, perubahan yang diinginkan darinya hanya berlaku sementara.Desakan pada pasangan akan lebih mengeruhkan keadaan.
- Bersikap terbuka dan saling berbincang
Belajarlah menjadi seorang yang bersikap terbuka. Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, berbincang dari hati ke hati. Pilih masa dan keadaan yang sesuai untuk berbincang. Jika menegur pasangan biarlah berhemah agar tidak mengguris perasaannya.
- Tunjuk contoh yang baik – Cinta dalam rumahtangga tidak memadai. Ia harus dilengkapi dengan ekonomi rumah tangga yang kukuh dan nilai murni yang disemai. Pastikan anda memainkan peranan dalam rumah tangga terlebih dahulu supaya pasangan anda juga dapat menyedari akan tanggungjawab dan peranannya. Hormati pasangan anda dan tegurlah dia dengan baik.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Apa Salahnya Majlis Kahwin Biasa-biasa, Janji Tak Berhutang! Pengantin Kena Bersedia Dengan Senarai Ni.
Rancang majlis bersejarah dan elakkan kos perbelanjaan yang besar. Perkara ini tidak mustahil dilakukan jika anda bijak untuk berjimat dan sudah ada sasaran. Harus diingatkan, majlis yang sempurna perlu diukur dengan kemampuan individu itu sendiri. Jangan sesekali terikut-ikut dengan nafsu hingga mendorong anda berbelanja besar tanpa menghiraukan jumlah wang yang akan dikeluarkan.
Pastikan anda mempunyai bajet dan jangan sesekali berhutang. Lelaki bernama Amir Syahir ini berkongsi panduan untuk anda yang bakal melangsung perkahwinan dengan cara sederhana tanpa berhutang! Pasti menjimatkan.
Panduan Bajet Kahwin Secara Sederhana
*************************************************
Cuti sekolah dah nak dekat. Mesti ramai yang sedang merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Alhamdulillah tahniah diucapkan buat yang bakal berkahwin.
Tapi, sebelum buat majlis kahwin, kena buat perancangan yang rapi supaya majlis yang dibuat berjalan dengan baik dan lancar.
Jom baca panduan buat bajet kahwin yang sederhana. Antaranya;
1. Bila nak kahwin jangan buat pembiayaan peribadi. Buat majlis ikut bajet sendiri.
2. Pelamin dan meja makan tak perlu bunga beribu kuntum. Bunga pula tak perlu yang hidup saja. Nanti layu juga akhirnya. Lagi elok jika mampu buat sendiri. Minta tolong dengan saudara mara dan sahabat handai.
3. Hantaran boleh gubah sendiri. Tak perlu hantar kedai atau butik yang menelan belanja beribu ringgit.
4. Baju kahwin cukuplah dua pasang. Sepasang untuk akad nikah dan sepasang lagi buat bersanding.
5. Kad kahwin tak perlu yang hipster bagai. Kononnya nak nampak lain dari yang lain. Lepas kenduri orang buang jugak.
6. Kek kahwin tak perlu bertingkat-tingkat. Yang setingkat pun dah cukup menjadikan majlis meriah dan sanak saudara bahagia.
7. Kalau akad nikah dah bersanding hari yang sama, cukuplah make up sekali sahaja. Tak perlu membazir bagai.
8. Goodies cukuplah setakat kemampuan sahaja. Tak perlu tempah yang mahal sebab nak nampak hebat dan mewah.
9. Tak perlu tempah set karaoke, DJ, live band bagai. Pasang lagu nasyid Raihan, Maher Zain, Opick pun sedap juga.
10. Berbulan madu di tempat yang mampu sahaja. Tak perlu tiru kawan berbulan madu sampai ke Maldives sana.
Buatlah majlis kahwin mengikut kemampuan kau. Tak perlu ikut orang, tak perlu tiru artis kesayangan kau tu. Tak dosa buat majlis biasa-biasa. Yang penting, perkara yang wajib diselesaikan terlebih dahulu.
Kehidupan lepas kahwin itu lebih penting. Kalau buat majlis macam anak raja, lepas kahwin menumpang rumah mertua. Duit deposit pun belum ada. Entah tahun bila dapat beli rumah.
Baik buat majlis biasa-biasa tapi meriah. Tanpa perlu buat pembiayaan peribadi. Barulah dapat memulakan hidup berkeluarga tanpa beban hutang. Kah!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Amalkan Doa Ini Sepanjang Bulan Ramadan, Lagi-Lagi Di 10 Malam Terakhir
Sedar tak sedar, sudah 19 hari kita menyambut Ramadan. Begitu pantas masa berlalu dan kini kita sudah menghampiri 10 malam terakhir di bulan Ramadan, malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Itulah malam Lailatul Qadar.
Di bulan Ramadan ini, kita digalakkan melakukan ibadah dan amal kebaikan kerana ia akan diberi pahala yang berlipat ganda. Jadi jika anda mahukan sesuatu, berdoalah. Siapa sangka mungkin doa anda dimakbulkan Allah.
Menerusi perkongsian di Twitter oleh @Just_Bella22, beliau telah kongsikan antara 5 doa yang sebaiknya diamalkan pada bulan Ramadan. Mulai malam ini, jom kita amalkan.
Doa Sejurus Berbuka Puasa
Doa Yang Dianjurkan Dibaca Sepanjang Bulan Ramadan & Dibaca Ketika 10 Ramadan Terakhir
Doa Agar Mendapat Keampunan & Kerahmatan
Doa Mohon Kesabaran & Mati Dalam Iman
Sumber: Twitter @Just_Bella22
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Boleh Elaklah Berhutang Masa Nak Kahwin, Lebih Puas Kumpul Duit Sendiri
Dengar saja perkataan ‘kahwin’ semua pasangan akan tersenyum sampai ke telinga. Namun, bila memikirkan persiapan yang perlu dibuat, seram sejuk dibuatnya. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja. Mana taknya, zaman sekarang semuanya serba mahal. Itulah yang menyebabkan ramai mahukan cara kumpul duit kahwin, supaya boleh digunakan untuk macam-macam urusan.
.
Kenapa hantaran dan majlis kenduri sahaja?
Bukanlah mahu kata yang lain tak penting. Cuma dua perkara ini, memerlukan kos yang tinggi. Banyak duit akan dibelanjakan hanya untuk dua perkara ini. Dari sekecil-kecil perkara semuanya melibatkan wang ringgit yang bukannya murah. Namun, yang lebih parah dah tentulah pihak lelaki kerana perlu sediakan wang hantaran selain persiapan majlis sendiri.
Sebenarnya, ikatan yang bakal dibina bukannya diukur dengan mewahnya pelamin yang dihiasi bungaan segar. Bukan juga dilihat pada menu makanan yang menyajikan kambing golek dan sate kambing. Malah, sepersalinan yang mewah dan gah juga tidak bermakna jika hanya pada hari bersejarah itu sahaja mereka kelihatan benar-benar bahagia.
Perlukah majlis kahwin yang ‘grand’?
Kehidupan berumah tangga mula teruji selepas majlis kedua-dua belah selesai dengan gemilangnya. Ya benar, kita perlu meraikan tetamu. Malah, itu juga yang dianjurkan oleh agama. Namun, bukan ke bersederhana itu jauh lebih baik?
Adakah anda sebagai suami atau bakal isteri; mampu menyediakan kelengkapan untuk keselesaan keluarga dan anak-anak kelak? Adakah anda sanggup terus dibebani hutang kahwin sedangkan sudah ada 2 orang anak? Segala persoalan ini memerlukan perancangan rapi sebelum berumah tangga tak kisah bagi pihak lelaki atau perempuan.
Cara kumpul duit kahwin
Justeru, artikel ini akan cuba membantu anda yang sedang dalam kekusutan simpan duit untuk kahwin. Jangan risau, tiada yang mustahil. Yang penting, terus berusaha dan bertawakal. Nah, ini tips untuk bakal pengantin, pasangan yang baru merancang nak kahwin dan bagi yang masih mencari jodoh. Selamat membaca.
Tetapkan matlamat dan niat
Mindset itu penting. Jika sudah bertemu pasangan yang dirasakan sesuai untuk jadi peneman hidup, tetapkan niat untuk berkahwin. Jangan sibuk dating saja. Hidup perlu ada impian dan matlamat. Mungkin anda boleh memasang niat untuk berkahwin dalam 2 tahun lagi. Oleh itu, anda ada masa yang mencukupi untuk simpan duit.
.
Kerjasama antara keluarga dan pasangan
Pasangan yang akan berkahwin perlu bersikap lebih toleransi antara satu sama lain. Misalnya, keluarga belah perempuan janganlah minta jumlah hantaran di luar kemampuan lelaki.
Janganlah sampai RM15,000 tapi kalau mampu tiada salahnya.
Hantaran tidak diwajibkan dalam Islam. Ia hanyalah budaya turun-temurun untuk bantu persiapan pihak perempuan sahaja. Bakal isteri juga janganlah terikut-ikut dengan orang lain sehingga bakal suami ikat perut setiap bulan.
Buat majlis yang sederhana
Berbincanglah baik-baik untuk melangsungkan majlis yang sederhana dan ikut cara Islam saja. Buat yang perlu dan wajib sahaja, misalnya majlis nikah yang ringkas dan menjemput tetamu untuk meraikan.
Tetamu yang dijemput cukuplah sekadar ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kenalan yang penting dan rapat. Tak perlu sehingga 2000 jemputan, sehingga tuan rumah pun tak kenal mereka.
Jika ikut cara kumpul duit kahwin ini, pasti akan bangga jika dapat laksanakan majlis yang sederhana.
Beli rumah dulu
Jika ahli keluarga kedua-dua belah pihak telah setuju tentang majlis, maka bakal pengantin perlu buat persiapan. Sebaik-baiknya dari awal lagi mereka perlu berfikiran jauh untuk simpan duit. Tak perlu tunggu selepas majlis risik.
Lelaki perlu fikir tentang rumah yang bakal diduduki, kenderaan dan sebagainya. Aset-aset ini tak perlu terus dibeli lepas kahwin. Tak perlu terburu-buru. Pada awal perkahwinan, boleh saja duduk bersama-sama keluarga lelaki. Malah, boleh juga gunakan kereta yang lama. Namun, jangan pula terus menyusahkan ibu bapa. Belajar hidup berdikari.
Kalau bekerja kerajaan, boleh cuba tengok kelayakan dan gunakan kalkulator LPPSA untuk mengira berapa perlu bayar.
Simpan duit dalam ASB
Antara yang boleh dibuat ialah membuat pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB loan). Cara ini ialah paksaan ke atas diri untuk menyimpan secara disiplin dan sistematik. Tidak susah, login MyASNB sahaja. Segalanya di hujung jari.
Misalnya, anda membuat ASB loan sebanyak RM50,000.00 dan diikat selama 30 tahun. Jadi, bayaran bulanan yang anda perlu bayar ialah sebanyak RM300.00 dengan kadar faedah bank sebanyak 5.2%.
Jika dividen tahunan yang akan diperoleh ialah sebanyak 7.25%, maka anda akan dividen daripada simpanan ASB sebanyak RM3625,000.00 pada tahun itu. Jika anda bercadang untuk berkahwin lagi 2 tahun, maka anda akan dapat hampir RM7250,000.
Duit sebanyak ini sudah dapat membantu hampir separuh persiapan kahwin anda bukan? Itulah antara kebaikan membuat pelaburan ASB.
Simpan duit kahwin dalam Tabung Haji
Selain itu, anda juga boleh membuat simpanan di Tabung Haji (TH). Setiap tahun, TH akan mengagihkan keuntungan yang diperoleh dalam bentuk hibah dan bonus. Malah, anda juga boleh membuat simpanan di bank lain seperti Maybank, AmBank, Affin, Hong Leong, Public Bank dan sebagainya.
Bila dah mula menyimpan, jangan gatal-gatal tangan untuk keluarkan wang pula. Cuba konsisten dalam menyimpan wang. Misalnya, setiap pasangan boleh kongsi duit untuk menyimpan. Jadi, tidaklah berat untuk satu pihak kan? Kalau takut tak tahan godaan, boleh saja berikan kad ATM pada ibu untuk memegangnya.
Buat kerja sampingan, ini cara simpan duit kahwin paling bijak
Ah, ini satu cara kumpul duit kahwin yang paling pantas. Orang kata, biar susah-susah dahulu, barulah boleh bersenang-senang kemudian. Bukannya mudah untuk kumpul duit kan?
Sekurang-kurangnya segala kepayahan ini akan menjadi pengalaman manis untuk dikenang. Pasti anda dan pasangan akan tersenyum sendiri bila terkenangkan susah-payah kumpul duit sama-sama.
Bagi pihak perempuan, anda boleh menjadi dropship tanpa keluarkan modal. Misalnya, anda boleh jual baju kurung dan tudung. Anda menjadi orang tengah untuk buat promosi dan melayan pertanyaan pelanggan. Jika berjaya menjual produk tersebut, dapatlah komisyen.
Anda juga boleh mohon kerja sebagai tutor. Jika berbakat dalam jahitan, boleh ambil tempahan menjahit pakaian. Kalau masakan anda selalu dipuji, apa kata cuba jual makanan pula.
Bagi pihak lelaki, anda boleh jadi pemandu Grab. Bila ada masa terluang, baik bawa kereta. Boleh juga buat duit guna aset sendiri. Kalau berbakat dalam gunting rambut, cuba minta kerja di kedai gunting rambut. Pendek kata, ikutlah kemampuan, bakat dan minat sendiri. Janji dengan cara halal.
Ada banyak kerja part time yang boleh dilakukan, hinggakan yang tidak perlukan modal langsung. Antara mahu atau tidak sahaja.
.
Buat tempahan semasa ada promosi
Sentiasa merajinkan diri ke Pameran Pengantin yang diadakan di kawasan anda. Biasanya promosi yang diberikan hebat dan harganya jauh lebih murah. Anda perlu membuat tempahan awal dan bayar sedikit deposit.
Di sini, anda boleh mencari pakej perkahwinan yang mengikut bajet termasuk katering, kad kahwin, perkhidmatan fotografi, pelamin, andaman dan sebagainya. Misalnya kalau hendak tempah kad kahwin, tak perlu ambil yang mahal-mahal. Sudahnya hujung nanti akan ke tong sampah juga. Membazir kan?
Malah, kini di media sosial seperti Facebook juga ada banyak page dan group yang memberikan tips dan perkhidmatan untuk majlis kahwin.
Cuma untuk guna cara kumpul duit kahwin dengan teknik sebegini, perlu selalu follow penyedia khidmat kahwin di Facebook dan Instagram selalu.
Buat tabung kahwin
Tabung kahwin ni bukan maksudnya simpan di dalam bank. Simpanan itu anda yang pegang dan ikut kreativiti sendiri. Misalnya, jika anda bawa duit belanja ke tempat kerja sehari sebanyak RM30.00. Duit ini mungkin termasuk duit makan, duit minyak dan sebagainya.
Setiap hari, anda boleh simpan sebanyak RM5.00 iaitu baki dari wang harian itu. Paksa diri untuk menyimpan. Apa jadi pun, wang RM5.00 perlu disimpan. Jika perlu digunakan kerana terdesak atau kecemasan, esoknya gandakan jumlah itu menjadi RM10.00.
Maka, jika setiap hari anda menyimpan RM5, jadi dalam sebulan anda sudah mempunyai RM150. Untuk setahun dah jadi RM1,800, kalau 2 tahun RM3,600. Jika dicampurkan dividen ASB (RM7250,00.00) campur tabung kahwin (RM3,600.00), anda dah berjaya kumpul RM10,850.00.
Itu belum dicampur dengan simpanan gaji kerja tetap dan kerja sampingan serta pendapatan lain lagi. Jangan risau, pasangan yang hendak membina masjid dengan niat kerana Allah akan dimudahkan jalan dan rezekinya.
Perlukah berhutang untuk kahwin?
Kalau boleh, elakkanlah. Selagi kita boleh simpan dengan kudrat sendiri, teruskanlah. Cara kumpul duit kahwin sudah ada. Hanya perlu ikut dan jadi lebih kreatif untuk menambah lebih banyak amaunnya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI