Bagi lelaki, perasaan wanita sukar untuk dijangka. Wanita boleh gembira dan secara tiba-tiba perasaannya boleh tersentuh lalu menangis. Oleh sebab itu lelaki jangan rasa pelik dengan wanita yang ‘cengeng’ (menangis). Belajarlah menyelami hati wanita dan sesekali memandang remeh apabila wanita menangis!
Saat wanita yang anda sayangi mengalirkan air mata, berusahalah untuk menutup kekurangannya menjadi kelebihan buat anda dengan memahami sebab-sebab mengapa mereka menangis.
1. WANITA MENANGIS KERANA EMOSINYA LEMBUT
Wanita lebih menggunakan perasaan ketika berfikir dan bertindak kerana mereka dicipta dengan hati yang lemah lembut dan mudah sensitif. Tidak hairanlah apabila ada sesuatu yang menyentuh emosinya, wanita akan mudah menitiskan air mata. Ditambah lagi jika terjadi perkara yang di luar pengharapannya dan tidak bertemu tempat untuk dia meluahkan isi hatinya, maka wanita mudah menangis.
2. WANITA MENANGIS KERANA TAKUT KEHILANGAN
Wanita sering kali menjaga apa jua yang disayanginya dengan sepenuh hati. Apabila sesuatu yang menjadi kesayangannya itu hilang, dia akan rasa kehilangan lantas menangis. Malah saat bermasalah dengan pasangan juga membuatkan wanita cenderung untuk menangis kerana sering memikirkan perkara-perkara negatif misalnya rasa takut kehilangan cinta hatinya.
3. WANITA MENANGIS KERANA FAKTOR HORMON
Para suami perlu tahu saat isteri anda memasuki pra menstruasi (PMS), isteri akan cenderung untuk mudah sensitif, kuat merajuk dan sering marah-marah. Malah ada ketikanya emosi buruknya juga akan diluahkan melalui tangisan.
4. WANITA MENANGIS APABILA MENGIMBAS KENANGAN
Tidak seperti lelaki, wanita dilahirkan dengan ingatan yang kuat kerana mudah untuk mengingat setiap peristiwa yang dilaluinya satu persatu. Apabila peristiwa sedih atau rindu datang menjengah ingatannya, wanita akan cenderung untuk menitiskan air mata.
5. WANITA MENANGIS KETIKA LELAKI MELUPAKAN MOMEN PENTING
Wanita sememangnya sukakan belaian dan perhatian. Apabila pasangannya terlupa tarikh-tarikh penting seperti ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya, perasaannya akan sedih dan akhirnya menangis kerana merasakan pasangannya tidak menghargai tarikh penting itu.
6. WANITA MENANGIS KETIKA LELAKI MEMBOHONGINYA
Setiap orang pasti kecewa apabila dirinya dibohongi. Inikan pula seorang isteri yang memiliki hati lembut sudah pasti jiwanya rasa kecewa, sedih dan akan menangis apabila dibohongi oleh orang yang dipercayainya dan disayangi.
7. WANITA MENANGIS KETIKA LELAKI MEMBUATKAN HATINYA TERLUKA
Pasti rasa pedih dan pilu saat diri dilukai oleh pasangan. Apabila hatinya tergores oleh insan tersayang, wanita hanya mampu mengubati rasa sakit dalam hatinya melalui tangisan.
8. WANITA MENANGIS KETIKA LELAKI MENGKHIANATI KEPERCAYAANNYA
Tiada wanita yang tidak cemburu jadi suami jangan sesekali mengkhianati kepercayaan wanita. Apabila kepercayaannya hilang, wanita boleh berubah menjadi seorang yang murung, menyendiri, sering menangis dan sebagainya.
9. WANITA MENANGIS KETIKA LELAKI TIDAK MENGHARGAI USAHANYA
Isteri mana yang tidak sedih dan menitiskan air mata jika pengorbanan untuk membahagiakan rumah tangga tidak dihargai suami. Oleh itu para suami sentiasalah berusaha untuk menghargai pengorbanan isteri untuk membuatkan anda bahagia. Walaupun usahanya itu tidak sebesar mana, ringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih ataupun jagalah perasaannya sebaik mungkin. Terlalu banyak kesakitan yang telah wanita alami daripada sakit datang haid, sakit melahirkan anak dan sebagainya, jadi janganlah ditambah lagi dengan menyakitkan hatinya.