Kehidupan ketika bercinta tentunya tidak sama dengan alam perkahwinan. Ini kerana sebaik sahaja bergelar suami isteri pastinya banyak perkara baharu tentang pasangan yang bakal anda ketahui.
Ada ketikanya membuatkan anda rasa sukar untuk menyesuaikan diri kerana masing-masing belum mengenali sedalam-dalamnya. Untuk mengelakkan rasa kekok yang mungkin boleh menimbulkan salah faham, penting untuk anda berdua ketahui 10 benda baharu ini.
1. Pasangan manusia tak sempurna dan ada kekurangan
Selalunya ketika zaman bercinta memang sukar untuk anda ketahui sifat buruk pasangan. Mesti masing-masing cuba sembunyikan daripada pengetahuan pasangan. Apabila sudah berkahwin, baru nampak kelemahan masing-masing kerana setiap manusia dilahirkan tak sempurna.
Jadi jangan sesekali anda mengharapkan kesempurnaan daripada pasangan. Belajarlah untuk menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada pasangan dengan sama-sama membaikinya ke arah yang lebih baik.
2. Kena ambil masa untuk fahami dan kenali pasangan
Walaupun anda mengenali pasangan sejak sekian lama sebelum memutuskan untuk berkahwin, ini tidak bermakna anda mahupun pasangan mengenali diri masing-masing dengan sedalam-dalamnya. Apabila sudah tinggal sebumbung ambillah masa untuk lebih mengenali dan memahami diri pasangan. Dengan cara itu anda dan pasangan boleh bertoleransi dalam banyak perkara.
3. Jangan ingat pasangan boleh membaca fikiran anda
Jangan sesekali mengharapkan pasangan boleh membaca apa yang anda rasa atau fikirkan. Mungkin anda boleh tapi pasangan anda mungkin tidak dapat meneka apa yang terlintas di minda, mahupun apa yang anda suka atau tidak suka. Oleh itu untuk membuatkan rumah tangga harmoni, komunikasi dua hala penting agar anda dan pasangan faham apa yang masing-masing inginkan.
4. Masalah duit boleh jadi isu utama
Tidak dinafikan bulan pertama selepas kenduri ramai pasangan yang kekeringan kerana banyak duit telah dihabiskan untuk majlis perkahwinan. Lagipun nak pinjam daripada orang tua mahupun keluarga, gerenti anda dan pasangan segan. Jadi adalah lebih baik anda dan pasangan membuat tabung kewangan lebih awal iaitu sebelum berkahwin sebagai persediaan untuk waktu-waktu kecemasan seperti ini.
Ads
Apatah lagi selepas berkahwin, banyak tanggungjawab yang anda berdua harus pikul bersama. Jika tidak bijak mengatur tabungan kewangan ada kemungkinan boleh membawa pada pergaduhan. Oleh itu, carilah penyelesaian agar kewangan anda berdua kembali stabil.
5. Luahkan apa yang anda rasa dan jangan pendam seorang diri
Hidup berdua memerlukan anda berkongsi rasa. Jadi apabila ada sesuatu perkara penting yang ingin anda katakan, sebaiknya luah dan beritahu pasangan dengan cara yang baik dan berhemah.
Jangan sesekali memendam rasa atau memberitahu pasangan dalam keadaan yang tidak bersedia atau dalam keadaan marah. Perbincangan penting agar anda berdua dapat mencari penyelesaian untuk perkara tersebut.
6. Belajarlah untuk menjadi satu pasukan
Alam rumah tangga memerlukan satu pasukan yang mantap agar hubungan yang dibina kekal bahagia. Dalam satu pasukan anda berdua hendaklah saling bantu-membantu dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Ads
Misalnya dalam perihal rumah tangga, suami tidak boleh membebankan isteri seorang diri menguruskan segala perkara. Urusan rumah tangga haruslah dilakukan bersama agar ia memberi kemudahan dan kesenangan dalam kedua-dua belah pihak. Kerjasama ini akan menjadikan rumah tangga anda berdua lebih harmoni.
7. Banyakkan bersabar dan muhasabah diri
Kunci dalam perkahwinan memerlukan anda untuk banyak bermuhasabah diri dan bertolak-ansur. Dalam perkahwinan tidak ada istilah menang atau kalah. Tingkatkan kesabaran dalam apa jua hal yang anda dan pasangan hadapi. Jika sedang bergaduh, anda berdua tidak perlu lawan bercakap kerana bimbang boleh merosakkan hubungan dan membawa pada pergaduhan yang lebih parah.
Bukan itu sahaja, elakkan daripada mencabar pasangan lebih-lebih lagi suami kerana lelaki ada egonya yang tersendiri. Bimbang jika dicabar boleh membawa keburukan dalam hubungan rumah tangga. Jadi berusahalah untuk menjadi pasangan yang terbaik dan bersikap positif.
8. Belajar untuk memohon maaf dan memaafkan pasangan
Tak dinafikan kalau dah hidup berdua mesti ada salah dan silapnya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Apabila menjadi suami isteri, anda hendaklah belajar untuk memohon maaf jika melakukan kesalahan, selain memaafkan kesalahan pasangan.
Ads
Terapkan dalam diri untuk saling bermaafan agar segala apa yang anda berdua fikirkan tidak berpanjangan dan memendam rasa kerana ia boleh menjadi racun dalam rumah tangga. Lepaskan segala ego yang ada dalam diri anda agar anda menjadi seorang yang pemaaf.
9. Banyakkan bertanya dan baca tentang alam rumah tangga
Selepas berkahwin memang banyak tanggungjawab yang harus anda berdua fikirkan. Anda berdua juga akan hadapi segala macam benda dan hidup sendiri tanpa bantuan ibu bapa. Kadang-kala tanggungjawab yang banyak ini boleh menjadi punca berlakunya perbalahan. Untuk melengkapkan ilmu tentang alam perkahwinan, jangan malu untuk bertanya lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana mereka lebih banyak makan garam.
Malah anda dan pasangan juga harus banyak membaca tentang ilmu rumah tangga bagi memantapkan lagi pengetahuan dan mengelakkan salah faham. Anda berdua juga boleh bertanyakan kepada kawan-kawan tentang pengalaman mereka dan cara mereka mengendalikan masalah. Sekurang-kurangnya perkongsian ini akan memberi anda pengalaman berharga apabila berdepan dengan sesuatu perkara.
10. Apa yang diimpikan sebelum berkahwin tak semestinya tercapai
Pastinya sebelum berkahwin anda dan pasangan impikan pelbagai perkara setelah berumah tangga nanti. Ketahuilah bahawa tidak semestinya apa yang anda berdua rancang dan impikan itu akan menjadi sebagaimana yang anda inginkan.
Ada ketikanya perancangan itu menjadi sukar untuk dicapai atas sebab-sebab tertentu atau setelah anda mengetahui karakter diri pasangan masing-masing. Oleh itu jangan keterlaluan mengharapkan yang indah-indah sahaja. Belajarnya untuk memberi dan menerima dengan seadanya.
Ayam Masak Bawang antara menu yang menjadi pilihan ramai ketika menjamu selera di restoran mamak. Ratah begitu sahaja pun sedap. Bau aroma rempah yang meresap ke dalam isi ayam membuatkan selera bertambah.
Nak masak Ayam Masak Bawang ini tidaklah sesusah mana pun. Pengantin yang baru kahwin pun boleh cuba masak.
Berikut dikongsikan resipi Ayam Masak Bawang seperti yang dikongsikan oleh Mohd Rozmie
RESIPI AYAM MASAK BAWANG
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam (potong 16)
12 ulas bawang merah/kecil
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
3 sudu makan serbuk kari
2 sudu makan serbuk cili
Rempah 4 sekawan
3 tangkai daun kari
1 helai daun pandan
3 sudu makan sos cili
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan sos tiram
1. Cuci bersih isi ayam dan lakukan perapan dengan garam, kunyit, serbuk kari, serbuk cili dan lada sulah selama 20-30 minit.
2. Tumbuk halus atau kisar jadikan pes bawang merah/kecil, bawang putih dan halia.
3.Panaskan minyak goreng dulu bawang yang telah dipotong mayang ini sehingga sedikit keperangan. Jangan sampai hangit pula.
4.Bila bawang sudah sedikit keperangan macam ini, angkat dan ketepikan dulu.
5. Guna minyak goreng bawang tadi, goreng ayam yang telah diperap tadi sehingga masak.
6. Ketepikan dulu ayam yang telah digoreng tadi.
7. Ambik minyak goreng ayam tadi, tumis rempah 4 sekawan bersama daun kari dan daun pandan.
8. Kemudian masukkan pes bawang dan halia tadi. Kacau sebati.
9. Masukkan serbuk jintan putih, jintan manis, serbuk kari dan serbuk cili. Kacau lagi.
10. Masukkan bahan sos. Kacau lagi bagi sebati dan pecah minyak.
11. Rajin kacau supaya rempah tak hangit. Jika kering masukkan sedikit air dan kacau lagi. Nampak kering, masukkan lagi sedikit air kacau lagi. Lakukan begini 4 atau 5 kali ulang. Tujuannya supaya rempah betul-betul masak elok. Kalau rempah tak masak elok nanti makan tak sedap.
12. Bila rempah sudah masak elok, tambah 2 atau 3 cawan air biar berkuah pekat atau mengikut citarasa masing-masing. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
13. Bila kuah sudah perasa elok, masa ini sudah boleh masukkan ayam goreng tadi dan gaul sebati.
14. Taburkan bawang goreng tadi dan gaul sebati lagi.
15. Bila sudah sebati elok meresap rempah ke dalam ayam, terus tutup api. Siap untuk dihidangkan.
Busana pengantin amat penting untuk menampilkan penampilan yang anggun buat ratu sehari. Selain potongan, perincian dan fabrik yang tepat, warna busana juga memainkan peranan yang cukup penting.
Seperti yang sedia maklum, warna putih mampu memberikan kesan elegan yang tiada tara buat gaya ratu sehari. Kesan eksklusif dan classy dari warna ini mampu membangkitkan mood romantis yang tiada tara.
Pereka-pereka terkenal antarabangsa juga sering menggunakan warna ini bagi mengilhamkan busana penganti yang cantik dan menawan.
Jom kita lihat busana dari pereka terkenal ini dalam menginspirasikan busana pengantin impian anda!
1. Angel Sanchez
Pakaian perkahwinan tradisional dengan sentuhan moden! Itulah rekaan pereka ternama dalam koleksi Bridal Spring 2017 pada kali ini. Koleksi serba putih beliau pada kali ini cukup eksklusif dengan sulaman bunga timbul yang eksentrik. Tampak mewah dan eksklusif, koleksi beliau banyak terdiri dengan sulaman renda yang menawan.
2. Oscar De La Renta
Cukup romantis dan demure. Rekaan pereka terkenal Oscar De La Renta pada pertunjukan Bridal Spring 2017 cukup mengkagumkan. Beliau menggunakan fabrik yang cukup relevan untuk digayakan oleh ratu sehari. Siluet duyung dengan perincian minimalis bakal menjadikan penampilan ratu lebih moden.
3. Temperley
Mengambil inspirasi daripada bintang hollywwod 30’s, pereka Temperley cuba menampilkan kesan yang klasik dan bohemian dalam setiap rekaannya. Siluet ringkas dengan penggunaan fabrik yang eksklusif, pereka ini menjanjikan dress yang cukup menawan dan elegan. Pereka ini juga menampilkan rekaan yang lebih sopan dan feminin.
4. Zuhair Murad
Seperti biasa, pereka terkenal ini sekali lagi membariskan koleksi yang cukup eksklusif. Dengan potongan yang elegan, penggunaan renda eksklusif, rekaan beliau bakal menjadikan penampilan si ratu sehari bagaikan puteri raja. Sarat dengan perincian labuci dan batu permata, tentunya rekaan beliau bakal menjadi perhatian hadirin yang hadir.
Semakin hari, semakin ramai pereka fesyen yang peka soal rekaan patuh syariah lebih-lebih lagi untuk bakal pengantin. Maklumlah, ramai bakal pengantin mahukan rekaan yang lain dari lain sehingga lupa soal aurat. Terkini, Rico Rinaldi bangkit membuat keputusan untuk berusaha ke arah perubahan.
Rico Rinaldi, seorang pereka fesyen terkenal tanah air ini cukup dikenali dengan busana pengantin yang cukup menawan. Kalau kita belek akaun Instagramnya, memang seronok ‘mencuci mata’ melihat persalinan indah buat raja sehari. Malah dia sendiri yang akan menyiapkan pengantin di hari persandingan mereka.
‘Pengumuman’ yang disampaikan Rico tentang perjalannya untuk membuat perubahan dari segi pemilihan rekaan busana kepada yang lebih sopan mendapat pelbagai reaksi dari warganet.
“Aku rasa umum tau apa yang sedang berlegar di media, blog dan internet. Pada mulanya aku hanya meluahkan apa yang terjadi kat aku dan aku saje2 je up status di fb dan twitter. Fuhhh ramai yang kecam tapi banyak lagi yang memberi doa dan sokongan.
Ya betul dugaan tu muncul sekejap sahaja. Seperti mana yang korang mungkin tau. Tapi aku redha dan aku kena kuat. Hilanglah customer tersebut tapi aku percaya Allah sedang aturkan lebih baik utk aku dan pekerja2 aku.
Satu lagi, aku xsuka media letak tajuk ‘rico mendapat hidayah bla bla bla…’ sebab bagi aku hidayah tu berat. Hidayah tu bukan milik aku dan bukan aku boleh claim ‘oh itulah hidayah’ tapi bagi aku ia adalah latihan, perjalanan yang perlahan menuju kebaikan.
Aku perlukan sokongan korang dan aku perlukan korang terus doakan aku dan team aku. Aku pun dah 15 tahun dalam industri kan, jadi apalah gunanya belasan tahun tu kalau aku tak bagi inspirasi kepada generasi yang baru? Sama2 kita cari keberkatan, step by step (please jangan drastic).
Rezeki sikit xpe, tapi sebaik2 rezeki adalah yang berkat. Aku pun slow2 try adapt. Plus, buat customer yang dah berhajat lama nak tempah dengan aku, yang dah tanam impian dari dulu nak kawin pakai baju aku, maaf aku tak terima kalau korang berhajat untuk buat baju seksi atau xde lining. Tapi siapa kata tak seksi tu tak lawa kan??
Betul kata Rico, tak seksi tak semestinya tak cantik. Kalau sentuhan rekaan Rico sentiasa ‘menjadi’, bakal pengantin tak perlu risau tentang hasil akhir busana yang anda inginkan. Semoga berjaya Rico!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!