Sebelum ini tular berita penyanyi, Ben Ladin dah kahwin dengan seseorang wanita. Namun menerusi pengakuan yang dibuat oleh peserta Idola Kecil musim kelima pada tahun 2012 ini, dia tidak berniat muntuk erahsiakan hari bahagianya dengan peminat.
Ben atau Muhammad Benladen Munshi Shaihan, 23, berkata, perkahwinan yang berlangsung di Sarawak itu hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan memang diadakan penuh privasi.
Kata Ben, dia bukan tidak mahu berkongsi perkara itu dengan peminat di Instagram sebaliknya sedang menanti gambar daripada jurugambar.
“Kisahnya gambar perkahwinan kami masih belum dapat. Itu sahaja sebab saya tidak war-warkan berita perkahwinan saya dan tiada sebarang hantaran di media sosial,” katanya lagi.
Bercerita mengenai isterinya dikenali sebagai Ana Shida, Ben memberitahu dia tertarik dengan peribadinya yang baik dan lucu, suka tolong menolong selain pandai memasak.
Mereka mula berkawan sejak dua tahun lalu dan hubungan mereka mula rapat apabila dia menghantar makanan tradisi masyarakat Bugis iaitu burasak pada sambutan hari raya kepada Ana.
“Boleh dikatakan burasak menyatukan kami selepas dua tahun berkenalan.
“Ketika membuat video siaran langsung Ana memberitahu dia teringin nak makan burasak pada hari raya. Jadi saya cuba dapatkan dan kemudian saya minta nombor telefonnya,” katanya.
Unik cara pertemuannya pun, tetiba sudah jadi hak orang! Begitulah kalau sudah jodoh, muncul tanpa disangka-sangka dan tepat pada waktunya. Apa pun kita doakan yang baik-baik buat pengantin baru ini, semoga terus bahagia hingga ke syurga bersama wanita pilihannya.