Berbeza Budaya & Agama, Bukan Halangan Buat Pasangan Ini. Yang Penting Restu Keluarga

Share

Foto: Photography by Emma Rolfe

Biarpun berbeza negara, budaya serta agama namun pasangan ini tidak menjadikan faktor tersebut sebagai satu halangan. Selain keserasian, hubungan cinta yang direstui oleh keluarga turut menjadi paksi utama buat Nina dan Hayden untuk melangkah ke fasa perkahwinan. Bagi mereka, restu keluarga bukan hanya menjadikan sesebuah perkahwinan itu lebih bahagia bahkan diberkati.

“Kami berkenalan sewaktu masing-masing sedang melanjutkan pengajian di University of Winchester, United Kingdom iaitu kira-kira lima tahun yang lalu. Hubungan kami bermula sekadar kawan biasa sahaja dan ianya berjalan lancar selama setahun lebih. Akhirnya kami menjadi kawan baik. Disebabkan masing-masing merasa selesa dengan hubungan yang terjalin maka kami sentiasa bersama. Lantas tercetus satu perasaan yang sukar diungkapkan. Akhirnya bibit-bibit cinta mula terbit dalam diri masing-masing.


Tiada lamaran secara rasmi dilakukan oleh suami kerana kami berdua telah bersepakat untuk bersama selepas berjauhan selama dua tahun. Bagi kami itu juga merupakan salah satu fasa untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam. Kami bersyukur kerana masing-masing berjaya menjaga hubungan dengan kejujuran dan kesetiaan. Itu juga menunjukkan jodoh kami kuat, alhamdulillah.”


Hayden seorang yang penyabar dan berbakat namun sering merendah diri dengan merasakan dirinya banyak kekurangan. Selain itu, dia seorang yang rajin berusaha untuk mendalami agama Islam seterusnya terbuka hati untuk memeluk Islam. Setelah masing-masing yakin dengan hubungan yang dibina akhirnya mereka mengambil keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Kami tidak bertunang sebaliknya bersetuju untuk mengikat hubungan selama lapan bulan,” kongsi Nina atau nama sebenarnya Amanina Shazwan Zaidi yang kini berusia 26 tahun. Manakala suaminya, Hayden Yau berusia 25 tahun.

“Kami bernikah di Greenhouse Hotel, Bournemouth kerana kami sangat menyukai konsep kehijauan yang terdapat di situ. Walaupun suami menyarungkan baju Melayu ketika majlis pernikahan namun majlis tersebut mengambil konsep English tradisional wedding. Untuk majlis sebelah suami, kami sendiri yang merancang majlis perkahwinan kami di sana. Saya dan suami ke kedai hiasan untuk membeli barangan bertemakan rustik seperti lilin, lampu fairy lights, bunga, candle jar dan sebagainya.”

Hampir keseluruhan dekorasi dilakukan sendiri oleh pengantin. Tema perkahwinan mereka sangat unik. Ia bukan sahaja bertemakan English wedding bahkan terdapat gabungan elemen tradisi Melayu dan Cina.

Pengalaman paling sukar dilupakan pengantin ialah proses untuk berkahwin. Betapa banyaknya proses legal lebih-lebih lagi berkahwin dengan dua negara yang berbeza. Terlalu banyak kertas kerja melibatkan undang-undang Malaysia dan UK dan ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Walaupun masih banyak cabaran di masa hadapan namun mereka tetap percaya bahawa ia mampu diharunginya.

Pasangan ini merancang untuk berbulan madu ke Jepun kerana mereka sangat sukakan keindahan negara tersebut. Mereka juga berhasrat untuk bertemu rakan-rakan di sana yang pernah belajar bersama mereka dahulu. Nina dan Hayden kini memiliki kedai di Cyberjaya

Published by
Bella