Hubungan

Berdosa Bagi Suami Yang Menahan Nafkah Terhadap Orang Di Bawah Tanggungannya

Share

Perkahwinan wujudkan ketenangan dan terlindung daripada melakukan perkara negatif. Setiap pasangan perlu memiliki keimanan, peka tanggungjawab dan sentiasa muhasabah selesaikan sengketa secara baik. Ikuti kupasan tajuk ’40 Ayat al-Quran Untuk Panduan Keluarga bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam slot Pesona D’Zahra di IKIMfm.

Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan dan Allah SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan perasaan kasih sayang (mawaddah wa rahmah).

Menyambung tajuk ’40 Ayat al-Quran Untuk Panduan Keluarga’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menghuraikan makna terkandung dalam yang dipetik dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah adalah Dia menciptakan daripada sejenismu pasangan supaya (kamu) masing-masing memperoleh ketenteraman daripadanya (pasangan), dan dijadikannya di antara kamu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum ayat 21)

Jika diperhatikan, antara tiga kata kunci dalam perkahwinan digariskan dalam ayat itu ialah ‘litaskunu ilaiha’ yang membawa maksud orang yang berkahwin berasa terlindung dan dapat menjalani hidup dengan aman dan tenteram.

Dapatlah difahami, dasar pernikahan adalah ketenangan yang daripadanya hubungan diharamkan antara lelaki dan perempuan menjadi halal selepas akad pernikahan. Ia menghubungkan dua keluarga berbeza dengan tali persaudaraan dan persahabatan.

Menurut Muhammad, mengekalkan ketenangan dalam rumah tangga satu cabaran yang sangat hebat dan perlu digalas sebaik mungkin. Ketenangan dalam rumah tangga tidak akan wujud tanpa berusaha ke arahnya.

Umpamanya, suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya untuk menempuh arus kehidupan zaman serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan semakin mencabar.

Laksana amal soleh

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan. Ada tiga syarat bagi mengekalkan momentum ketenangan dalam rumah tangga dan yang pertama, memiliki keimanan mantap.

Suami isteri yang beriman akan melaksanakan amal soleh dalam mengemudi bahtera rumah tangga sehingga lahirlah kehidupan tenang.

Beriman merujuk mereka yang percaya, patuh kepada suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya serta berjaya membentuk sifat kehambaan terhadap Allah SWT.

Dengan demikian, hati akan bersih daripada sifat mazmumah seperti takbur, dengki, ujub dan suka membanggakan diri. Selanjutnya, ia akan menimbulkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu tiada memiliki daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Seterusnya, kedua-dua pihak perlu peka dengan tanggungjawab masing-masing. Jika suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, tentu tidak akan berlaku pertelingkahan.

Suami perlu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan termasuk memberikan nafkah keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Berdosa bagi suami yang menahan nafkah terhadap orang di bawah tanggungannya.

Selain itu, suami perlu berani dan tegas membuat keputusan dan memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah SWT.

Selesai sengketa dengan baik

Kehidupan berumah tangga banyak dugaan seperti tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.

Justeru, dalam usaha mengekalkan ketenangan, Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jika ada persengketaan, suami isteri perlu bermuhasabah untuk mencari punca berlaku krisis.

Keikhlasan penting kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru pasangan suami isteri disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama lain dengan memberikan teguran secara beradab.

Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Published by
Kim