Bercerai adalah sesuatu yang di takuti oleh sesetengah orang dan juga sesuatu yang di nantikan bagi sesetengah di kalangan kita tidak kira lelaki mahupun perempuan. Secara logiknya sudah pasti semua mengharap bahagia dan ceria dalam rumahtangga. Mana ada rumahtangga yang tidak ada ujian. Itu biasa. Pepatah “ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari” memang pernah kita dengar, bukan?
Siapa cakap hujan di tengah hari tidak bagus. Hujan itu bagus sebab ia bersifat boleh membersihkan. Jangan lihat isu perceraian sebagai semuanya negatif . Ada orang yang bercerai tapi tetap bahagia. Jangan paksa diri kalau tidak boleh meneruskan rumahtangga. Ikuti kupasan tajuk ini bersama Ustazah Nor Hafizah Musa ini.
Sudah kita maklum punca-punca yang menyebabkan perceraian boleh berlaku. Sudah kerja syaitan untuk menghasut dan menimbulkan suasana permusuhan dan rasa benci. Jadi ini perlu untuk menilai rumahtangga. Antara lain faktornya ialah memasukkan perasaan yang bercanggah dengan apa yang menjadi kesukaan Allah. Contohnya di tanam dalam hati isteri tentang kemiskinan.
Terlalu takut dengan masa depan, takut itu dan ini. Sikap ini datang dari kejahilan kita juga. Selain itu, syaitan juga menjadikan kita suka untuk melakukan perkara-perkara buruk dalam rumahtangga, contohnya melawan suami. Bila ingatan pada Allah hilang, maka rumahtangga akan jadi haru biru. Syaitan juga bermatlamat untuk menjadikan suami atau isteri sebagai kawan mereka, contohnya supaya suka membuat pembaziran.
Ada dua pintu untuk membuka syaitan campur tangan iaitu kelalaian. Kita sering lalai dengan pelbagai urusan sehinggakan tidak solat atau sengaja solat di hujung-hujung waktu secara kerap. Ramai juga diantara kita di selubungi dengan kejahilan dan kebodohan. Jahil dalam mengenal Allah. Jadi untuk menghindar kelalaian kita atasinya dengan zikir. Untuk mengelak kejahilan dan kebodohan pula kena rajin menuntut ilmu. Tajuk kali ini bukanlah menggalakkan orang untuk bercerai dan juga tidak mengatakan bahawa jangan bercerai, tetapi sebagai memberi panduan.
Bagi yang sudah lama menanggung derita dan sudah tidak tahan kerana hidup merana, boleh meminta untuk bercerai. Tidak salah untuk bercerai. Sekali lagi di ingatkan, jangan pandang perceraian itu langsung tidak ada bagusnya. Untuk bercerai perempuan kena tahulah haknya dalam menuntut perceraian. Perceraian boleh dilakukan dengan cara “khuluk” iaitu perlu mendapat persetujuan dari suami untuk bercerai dan isteri akan membayar sejumlah wang kepada suami.
pexels-photo-3356489.
Keduanya, perceraian juga boleh di minta melalui “taklik” jika berlaku perlanggaran terhadap syarat-syarat yang telah dilafazkan oleh suami yang telah dilanggar oleh isteri. Yang ketiga pula iaitu “fasakh”, dimana ia menggunakan kuasa hakim, dengan syarat perlu ada sebab-sebab yang munasabah.
Jika isteri tahu hak-haknya, maka tiadalah mereka menderita seumur hidup, ada jalan keluar dari perkahwinan. Tidak perlulah mempertahankan rumahtangga jika hidup dalam kesengsaraan. Asal isteri minta cerai, sering saja mereka dilabel ahli neraka. Islam menjamin hak-hak isteri.
Daripada merintih dan merana, tolonglah tahu hak-hak anda sebagai isteri. Apa jua pertelingkahan uruskanlah dengan sehabis baik, walaupun sukar. Apa jua perkara fikirkan dengan betul, kalau rumahtangga boleh diselamatkan, selamatkanlah. Kalau keputusan untuk bercerai boleh ditangguhkan, mungkin itu lebih baik. Jangan buat keputusan terburu-buru.
Berfikir untuk kebaikan semua, jangan hanya mengenangkan anak-anak semata, yang penting juga ialah diri pasangan itu sendiri. Kalau suami dan isteri tidak boleh lagi bersama melalui rumahtangga, maka bercerai itu jalan penyelesaian terbaik. Jangan kerana sebab anak-anak semata, suami atau isteri, paksa diri untuk telan segala derita dan kepahitan asalkan tidak bercerai.
Usahakan untuk kembali mengingati Allah dengan jalan yang betul. Contohnya ketika sedang bergaduh, kita sebut “ya Allah” tapi dalam masa yang sama kita cakap “kenapalah asyik aku yang diuji”, ini sebenarnya menunjukkan bahawa kita protes atau menentang pada takdir Allah. Selain itu juga, buangkan keakuan kita atau perkataan aku itu. Dalam sesetengah keadaan, dahulukan orang lain daripada diri sendiri. Tidak mengapa kalau kita mengalah sekali sekala.
Jika kita ada masalah, carilah orang yang betul pada situasi yang betul. Carilah orang yang boleh memberi pandangan yang rasional. Belajar mendengar dan tidak dapat tidak, berdoalah kepada Allah. Andai kata segala usaha telah dilakukan, maka bercerailah. Jangan lihat perceraian itu negatif belaka.
Ingat dan sedarilah, walaupun bercerai tapi tetap ada bahagianya juga. Peceraian juga ada positifnya, ia sebagai satu jalan keluar. Berikanlah kata-kata semangat kepada mereka yang bercerai. Seandainya bercerai itu bukan satu pengakhiran hidup. Bagi yang bercerai anda masih boleh melalui kehidupan dengan bahagia.
Belum tentu dengan mengekalkan perkahwinan anda bahagia dan tidak semestinya orang yang bercerai akan derita. Bahagia dan derita letaknya dihati. Kita boleh pilih nak rasa yang mana. Allah berikan panas terik, rupanya ada teduh yang menanti, Allah berikan hujan dan petir, rupanya ada pelangi sebagai ganti. Bersangka baiklah kepada Allah dengan tiap takdir Nya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI