Duit belanja dan nafkah untuk isteri adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang suami buat-buat lupa dan abaikan bila si dia sudah ada duit sendiri. Ini satu masalah sebenarnya.
Ada juga isteri yang bekerja tidak kisah pun dapat duit poket atau nafkah sebab dia tahu kemampuan suami dia. Namun, kalau suami hulur, jangan tak ambil pula, walaupun hanya RM10, mungkin inilah keberkatannnya, bukan kedekut ye.
Suami kena faham betul-betul antara nafkah dan duit poket. Ada masanya duit poket yang suami beri inilah disimpan dan diguna untuk waktu kecemasan.
Inilah yang dikatakan oleh Mohd Fadhil tentang keberkatan duit poket yang diberikan pada isteri. Rezeki sentiasa ada untuk mereka sekeluarga.
Sepanjang saya mendirikan rumah tangga selama hampir 9 tahun, inilah tahun pertama saya beri duit poket kepada isteri.
Sejak awal perkahwinan, saya amat-amat jarang dan boleh dikatakan tak pernah beri isteri duit poket. Ada ketika saya yang minta dia sebab saya ‘kering’. Jika ada sekali pun hanya RM50.00. Itupun boleh kira dengan jari berapa kali saya beri.
Nafkah bagi saya adalah tempat tinggal, cukup pakaian dan makan minum. Setiap bulan saya akan pastikan ada beras, keperluan anak, bahan dapur kering dan basah.
IKLAN
Itu sahaja.
Walau bagaimanapun perangai saya, jika ada rezeki bonus, saya akan hulurkan kepada isteri. Walaupun RM10.00.
Pernah sekali saya dijemput pergi ceramah, jauhnya mengambil masa 2 jam perjalanan.
Bayarannya hanya RM 200.
Pergi balik duit minyak dah RM100, tol RM50.00. Tinggallah baki RM50.00. RM10.00 hadiahkan kepada isteri, bakinya simpan untuk kecemasan (bagi isteri juga).
Begitulah.
Sehinggalah hari ini, Alhamdulillah, Allah kurniakan saya rezeki setiap bulan. Rezeki inilah saya berikan kembali kepada isteri.
Ada ketika dapat RM1000, saya beri RM500.00. Ada ketika siap buat kejutan, bawa dia ke kedai yang dia suka dan pilih sahaja nak apa, saya bayarkan.
Hari ni, dapatlah saya merasa hulurkan hadiah setiap bulan. Saya lebih suka beri wang, mudah isteri nak simpan atau nak belanja. Wang hadiah lain, wang beli barang peribadi lain.
Bagi saya, setiap rezeki saya pada hari ini adalah daripada doa seorang isteri. Maka, sebagai suami, jangan lokek atau kedekut hulurkan wang kepada isteri walaupun RM10.00.
Percayalah, rezeki kita akan lagi mencurah-curah.