Hubungan

Berkongsi Segala Hal Bila Dah Kahwin, Jangan Terlalu Berkira Kalau Nak Bahagia!

Share

Bila dah kahwin, auto kita akan berkongsi segala hal dengan si dia. Baik dari sudut bab kerah tenaga menjaga anak-anak mahu pun topup duit waktu-waktu ‘kecemasan’. Itu pun kalau si dia ada duit dan ikhlas nak bantu.

Namun yang menjadi masalah, ramai pasangan suami isteri hari ini yang mengeluh dan mula meluah masalah rumah tangga di laman media sosial.

Bila Dah Kahwin

Ada yang kata penat uruskan anak sendirian. Dan ada yang merungut dek kerana asyik kena hulur duit sebab tak cukup.

Sepatutnya hal ini menjadi lebih harmoni apabila anda boleh toleransi dan masing-masing ambil peduli tanggung jawab. Nak lebih dekat, jemput baca perkongsian saudara Hafidzi Mohd Noor berkenaan isu rumah tangga.

Dah namanya berpasangan sudah tentulah ada perkongsian. Ya, akan ada anak bersama yang patut dididik.

Bukan sahaja anak-anak itu hasil perkongsian hidup bahkan hendak membesar, mendidik, menyekolahkan sehingga anak-anak berumah tangga kelak berhajat pada perkongsian suami-isteri aka ayah-ibu.

PERKONGSIAN apa?

 

PERKONGSIAN ini bermula dari saat kedua pasangan di ijab kabul sehingga akhir hayat. Dari soal pendapatan sehinggalah mengurus rumahtangga dan membesarkan anak-anak. Bahkan ada yang menyandarkan perbalahan itu pada tanggungjawab suami dan isteri dari sudut syariat. Masing-masing berkeras menyediakan nafkah (perbelanjaan) adalah tanggungjawab suami sepenuhnya.

Di pihak suami pula berkeras mengurus rumah, menyediakan makanan, melayan anak-anak dan segala mak nenek urusan rumah tangga adalah tanggungjawab isteri sepenuhnya. Malah ada pula isteri yang berhujah dari kuliah dhuha yang dia join, isteri melayan kehendak batin suami, memasak dan membasuh bagai tu kerja suami; ditambah dengan contoh dari Nabi SAW lagi ‘Nabi pun jahit baju baginda sendiri’.

Bukanlah kita pertikai di sana ada hak dan tanggungjawab yang digariskan oleh syarak menurut hukum feqah. Namun di sana juga ada perbahasan-berbahasan semasa yang mengambil kira tuntutan kehidupan sezaman. Betul, tanggung jawab suami menyediakan nafkah (sara hidup) dan hubungan kelamin itu adalah ketetapan hukum munakahat yang tidak berubah.

Namun dengan tuntutan ekonomi yang serba kompleks ini tasawur PERKONGSIAN ‘will come into play’ BERSEMBANGlah dalam suasana penuh kasih sayang bagaimana untuk menguruskan kewangan rumah tangga demi kebahagiaan keluarga. Jangan ingat isteri yang tidak bekerja tidak perlu dibawa BERSEMBANG.

Ambil Peduli Hal Kewangan

Hujung bulan kita pun hulur RM600 pada isteri dan kata ‘pandai-pandailah you buat belanja’. Tengah bulan isteri pun minta duit lagi ‘abang boleh bagi duit belanja, saya nak ke pasar hari ni’.

Kita pun yang tidak pernah ke pasar dan tak pernah nak ambil tahu harga barang-barang dapur.

BERKONGSI sumber dari isteri bekerja sama sekali tidak akan mengurangkan gensi sang suami. Allah Ta’ala tahu si suami berusaha sehabis baik untuk membahagiakan isteri dan melengkapkan keperluan isteri.

Bantulah Pasangan Seikhlas Hati

Isteri pula apa sahaja yang dibelanjakan untuk membantu suami mencukupkan keperluan rumah tangga akan dihitung sedekah kepada suaminya. Dan apakah sedekah yang lebih baik dari suami kepada keluarga dan dari isteri kepada suami.

Bersembang suami isteri ini adalah memenuhi tuntutan syura dalam rumah tangga. Dalam syura ada keberkatan dan akan mengelak dari salah faham serta andaian tidak munasabah.

Bukanlah keluar kenyataan bodoh:

“Eh! Dulu arwah abah saya bagi duit belanja pada arwah emak banyak tu cukup aje?” Ini soalan bodoh ke atau membodohkan diri sendiri?

Kadang-kadang kita ingat bila isteri bekerja, persoalan perbelanjaan rumah tangga ini jadi kurang mendesak, rupanya makin serabut. Seolah-olah suami dan isteri berkeras mengawal pendapatan masing-masing. “Saya dan bayar bil letrik, air, IndahWater. Awak kena bayar WIFI, Cookoo. Ini cukai taksiran dan quit rent ni siapa nak bayar?”

Dah berbalah kat situ. Puncanya tidak BERSEMBANG. Ini belum soal mengurus anak-anak lagi. Tuan-puan lebih maklum dari realiti kehidupan hari ini.

Agaknya macam mana untuk mengekalkan semangat PERKONGSIAN ini agar berlaku dalam apa jua keadaan.

Kuncinya adalah BELAS EHSAN.

Published by
Nadia