Sesungguhnya berpuasa itu, tanpa berlebih-lebihan, adalah diet yang paling murah dan paling cepat memulihkan badan. Penurunan berat badan secara signifikan, diikuti amalan berbuka dengan pilihan menu yang sihat dan seimbang telah terbukti berkesan mengusir pelbagai penyakit moden.
MANFAAT PUASA
PELAN DIET BIJAK
Selama lebih 12 jam menahan lapar dan dahaga, ramai yang sering berasa kurang aktif, mengantuk serta pening. Perkara ini boleh diatasi dengan pengambilan diet bernutrisi tinggi agar anda dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Berikut antara pelan diet yang disarankan:
Seperti fungsi sarapan yang amat penting, bersahur juga membekalkan kesemua tenaga yang bakal digunakan pada siang hari. Antara makanan yang baik ialah kurma, roti gandum penuh atau biskut oat, secawan susu, semangkuk salad, sebiji epal atau buah-buahan lain. Anda juga digalakkan minum sekurang-kurangnya empat gelas air.
Elakkan berbuka puasa dengan juadah berat dan minuman manis. Dikhuatiri perut anda ‘terkejut’ setelah seharian kosong tidak diisi. Sebagai pengalas perut, makanlah kurma, minuman jus buah, semangkuk sup sayur dan beberapa keping biskut sebelum anda menunaikan solat Maghrib.
Nikmati juadah sihat seperti nasi putih segenggam tangan bersama lauk-pauk yang tidak berminyak seperti ayam bakar, ikan kukus dan ulam-ulaman. Banyakkan sayuran serta pelbagaikan pemilihan menu seperti roti atau bijirin, minuman bersusu dan buah-buahan. Minum juga sekurang-kurangnya tiga gelas air.
Anda digalakkan mengudap buah-buahan segar dan kekacang sebagai snek. Makanan ini baik untuk melancarkan perkumuhan dan mencegah masalah gastrousus. Kandungan sitrus membekalkan Vitamin C dan sumber serat terbaik semasa berpuasa.