Hubungan

Bersalaman Dengan Ipar Duai Nak Nampak Ramah, Tapi Tak Tahu Hukum Jaga Aurat

Share

Perkahwinan adalah satu rahmat Allah SWT kepada umat manusia untuk mengembangkan hubungan kekeluargaan. Oleh itu, kita wajib bersyukur dengan nikmat berkenaan kerana bukan semua orang dapat merasainya.

Bagaimanapun, bukan semua ahli keluarga pasangan halal untuk kita bersalaman atau membuka aurat sesuka hati seperti yang digariskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Hubungan menantu dengan bapa dan ibu mentua adalah haram selamanya di mana mereka haram dikahwini walaupun selepas pasangan bercerai. Oleh itu, bersalaman atau tidak berhijab di hadapan mereka adalah dibenarkan.

Sementara adik ipar, ibu atau bapa saudara, anak saudara pasangan adalah kalangan yang haram bertempoh iaitu diharamkan berkahwin selama mana pasangan itu masih suami isteri.

Justeru, untuk memudahkan setiap pasangan mengetahui hukum bersalaman dengan ahli keluarga mentua, kaedah paling mudah ialah mengenal pasti terlebih dahulu status mereka sama ada haram selamanya atau haram bertempoh.

Jika mereka daripada golongan yang haram selamanya maka bersalaman dengan mereka pada hari raya dan sebagainya adalah dibenarkan. Jika tidak, maka bersalaman dengan mereka adalah diharamkan dan aurat wajib dipelihara.

 

 

Published by
Anis Nor