Senarai utama dalam to-do list bakal pengantin tentulah pilihan makeup artist dan pereka fesyen yang akan menghasilkan busana kahwin paling indah untuk anda. Mesti pengantin nak nampak cantik dan mahu dipuji sehingga lupa akan timbulnya isu tabarruj.
Puas dibelek satu per satu akaun Instagram makeup artist pilihan. Macam-macam solekan yang kita nak cuba dan membayangkan betapa cantiknya selepas dirias nanti. Tentulah orang keliling akan memuji. Nah, di situlah bermulanya isu tabarruj!
Coretan Ustazah Asma’Harun di laman Facebook awal tahun ini membuka mata ramai wanita. Sama ada sengaja atau tidak sengaja, perbuatan ini selalu kita buat. Nak cantik untuk dipuji orang ramai…
SubhanaAllah, Adinda Heliza Helmi yang mulia dan dihormati telah sah menjadi seorang isteri, entah kenapa tiap kali melintas gambar dan video pernikahannya mudah menitis air mata. Iya, bahagia dan sungguh bahagia melihatnya. Dan kini, beliau berpindah dalam jagaan dan kawalan seorang Suami Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman, seorang pejuang di medan jihad ekonomi,
Sahabat semua, sedarkah ada banyak perkara yang menarik pada dirinya dan pernikahannya.
Pengantin yang bernama Heliza Helmi tidak berinai? Atau sangat sedikit hingga tidak nampak inainya. Pada hari ni dimana para pengantin wanita mula berinai hingga pergelangan tangan, dilukis dengan ukiran bunga dan lain-lain. Beliau memilih sesuatu yang minimalis namun sangat manis.
Solekan wajah yang sangat semulajadi hingga seperti tidak bersolek, pakaian, majlis dan pembawakan juga sederhana walaupun pasangan seorang jutawan. Tiada babak romantik yang ditonjolkan, sifat malu itu telah mengindahkan semuanya. Tahniah buat keduanya. MasyaAllah.
SubhanAllah, saya sebutkan begini bukan ingin merendahkan sesiapa, hanya untuk menyingkap kebaikan yang berada di hadapan mata sebagai satu renungan bersama.
Semua ni buatkan saya senyum sendirian. Bukan nak buat perbandingan atau persamaan, teringat 17 tahun lepas saat saya menjadi pengantin, emak ayah tak bagi pakai inai, larangan yang sama kepada kakak yang 3 bulan awal nikah daripada saya, larangan itu kekal hingga 6 adik beradik perempuan yang telah nikah, tinggal seorang lagi adik perempuan yang belum nikah.
Kenapa? Itu juga soalan saya pada emak, bukan selalu, hanya untuk sekali seumur hidup, hanya untuk hari nikah, cuba memujuk. Emak Ayah tetap tidak membenarkan dengan pelbagai sebab.
“Asma’, memang khas untuk nikah, tapi inai tu makan masa untuk hilang, mungkin sebulan, sepanjang masa tu nak pakai sarung tangan ke, bila keluar, bukan semua orang tahu Asma’ tu pengantin baru, apa orang fikir, berpakaian labuh menutup tapi tetap menarik, jari perempuan ni jika diletak inai memang nampak menarik, sebab tu ada pelbagai pewarna kuku, ia dah jadi satu solekan yang menarik, daripada hukumnya harus, bimbang jadi tabarruj, jagalah diri, selagi boleh elak maka elaklah..”
Panjang lebar emak menjelaskan.
Akhirnya kami semua terima dengan terbuka, ketika kecil setiap kali Hari Raya Eidulfitri memang rutin akan pakai inai daun yang ditumbuk campur dengan nasi putih. Emak kata, waktu kecilkan dah selalu berinai, cukuplah tu. Dah besar, sesuaikanlah.
Teringat keluarga kami, pengantin wanita memang tak dibenarkan langsung keluar daripada rumah, dan hanya pengantin lelaki sahaja boleh keluar. Sesiapa yang nak jumpa pengantin perempuan perlu masuk ke dalam rumah, dan hanya tetamu perempuan sahaja dibenarkan masuk.
Emak juga tak bagi saya letakkan sedikitpun solekan, gincu sangat sedikit, saya nakal letaklah sikit gincu pada pipi dan ratakan, nak nampak pipi kemerahan, terus emak perasan diminta saya lapkan, hanya boleh pakai bedak dan sedikit celak. Sedangkan hanya perempuan sahaja yang boleh tengok.
Tapi, seri pengantin tetap ada, nama pun pengantin kan. Bila ditanya kenapa, “nak bersolek ke apa depan suami sahaja, tak usah nak raih pujian orang ramai”. Deep sungguh ayat emak.
Jika difikirkan, pada hari biasa, saya juga bebas keluar, semua anak perempuan belajar jauh, kebanyakan ke luar negara. Namun kerana faham, ini hari istimewa, jadikan ia betul-betul istimewa, hanya untuk yang istimewa. Kerana hakikatnya keredhaan Allah lebih utama daripada segala yang lain.
Bersalam dan sarung cincin pun dalam bilik disaksikan emak ayah dan adik baradik. Yang lain seperti cium dahi memang larangan keras. Pelamin semua tidak ada, bukan tidak mampu, tapi emak ayah tak mahu. Jika mahu juga, emak ayah benarkan dibuat dalam bilik sahaja. Perkataan yang selalu disebut emak ayah, berkat Allah paling utama.
SubhanAllah, begitu sekali emak dan ayah kami. Mungkin ada yang rasa emak ayah kami seperti ketinggalan zaman, tidak sebenanrya. Emak seorang guru sains mengajar subjek Fizik, ayah seorang Usahawan yang berjaya. Namun mereka, sedaya upaya mendidik kami supaya tidak mengikuti arus perubahan zaman dan menjadi contoh tauladan untuk kami. Ketegasan prinsip mereka itulah menjadikan kami masih seperti hari ni.
Hingga sekarang, kadang bermain dalam fikiran saya, bila tiba saat anak perempuan kami pula yang akan nikah nanti, bagaimanakah prosesnya, jika dibuat di dewan, mungkin kami akan hias indah satu bilik yang tertutup. Pelamin memang hanya untuk keluarga yang mahram sahaja. Begitulah yang saya bayangkan. Nampak sukar, tapi tidak mustahil. Moga Allah izinkan. Wallahu a’alam.
SubhanAllah, harap sahabat tidak salah faham. Ini bukan mengatakan bahawa perbuatan berinai dan yang lain-lain itu menunjukkan suatu yang kurang baik, tidak sekali. Saya hanya berkongsi satu sudut nilai pandang yang berbeza, yang mungkin tidak biasa, tapi ia masih diterima. Inai dan solekan, romantik juga bukanlah satu kewajipan hingga dikatakan pengantin tiada seri tanpanya.
CARA WALIMAH YANG NABI AJARKAN
Daripada Anas r.a. beliau berkata;
قَدِمَ عَلَيْنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ فَآخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ سَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Abdurrahman datang kepada kami, lalu Nabi SAW mempersaudarakan antara dia dengan Sa’d bin Ar Rabi’. Lalu Nabi SAW bersabda, “Adakanlah walimah walau dengan seekor kambing biri-biri.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
CARA PERNIKAHAN NABI SAW BERSAMA ZAINAB BINTI JAHSY
Daripada Anas r.a., beliau berkata;
مَا أَوْلَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنْ نِسَائِهِ مَا أَوْلَمَ عَلَى زَيْنَبَ أَوْلَمَ بِشَاةٍ
Maksudnya : Nabi SAW tidak pernah mengadakan walimah terhadap seorang pun dari isteri-isterinya sebagaimana walimah yang beliau adakan atas pernikahannya dengan Zainab. Saat itu, beliau mengadakan walimah dengan seekor kambing.
(HR Bukhari, hadis sahih)
Alhamdulillah, moga bermanfaat .
ASMA’ BINTI HARUN