Kabisyah Binti Mu`an menikah dengan Asim bin Aslah, seorang lelaki yang telah memiliki seorang isteri dan seorang anak lelaki. Dia hidup bahagia bersama suaminya. Akan tetapi hingga cukup lama Kabisyah Binti Mu`an ternyata tidak dapat memberikan anak kepada suaminya itu.
Suatu hari, isteri pertama Asim meninggal dunia dan dia lantas menjemput anak lelakinya itu untuk tinggal bersamanya dan Kabisyah. Selama tinggal di rumah tersebut, anak itu melihat bahawa isteri ayahnya merupakan seorang perempuan yang baik dan penyayang. Asim juga semakin menyayangi kabisyah kerana isterinya itu menjaga anaknya dengan baik.
Beberapa tahun kemudian Asim jatuh sakit. Dia menoleh kearah isterinya dan dalam keadaan sudah tenat dia berkata, "Kerana pengetahuan aku tentang kelembutanmu dan kasih sayang sayangmu yang besar kepada anak lelaki ku maka aku merasa tidak perlu berwasiat kepadamu tentangnya." Tidak lama kemudian, Asim menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sebaik saja upacara pengebumian Asim selesai, tiba-tiba Kabisyah dikejutkan oleh tindakan Abul Qais, anak suaminya itu yang melemparkan pakaian kepadanya.
Dalam tradisi Arab jahiliah, apabila suami seorang perempuan meninggal, lalu anak lelakinya atau salah seorang kerabatnya melemparkan pakaian kepada bekas isteri lelaki yang meninggal itu. Hal itu bererti perempuan tidak mendapat warisan apa-apa daripada suaminya. Selain itu, dia juga tidak dapat menikah dengan lelaki lain dan nasibnya bergantung sepenuhnya kepada anak atau kerabat lelaki suaminya. Jika ahli waris lelaki itu mahu, dia boleh menikah perempuan itu atau jika tidak menikahnya dengan orang lain yang dia inginkan atau tidak diizinkan keluar sedikit pun hingga ajal perempuan itu datang.
Kabisyah menyelinap keluar rumah secara diam-diam dan pergi mencari Rasulullah. Dia mengetahui bahawa Islam telah memuliakan kaum perempuan dan menjanjikan syurga bagi yang beriman lagi beramal soleh. Selain itu, Islam juga menggariskan bagi kaum perempuan hak dan kewajipan yang sama seperti lelaki.
Firman Allah, "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (al-Tawbah: 71)
Terdetik dalam hati Kabisyah, bahawa satu-satunya orang yang dapat menyelamatkannya daripada pengurungan dan tindakan sewenang-wenangnya anak suaminya itu ialah Rasulullah.
Setelah berjalan beberapa lama, dia lantas menemui Rasulullah sedang duduk di masjid. Dia lalu berkata, "Wahai Rasulullah, suami saya Asim, baru sahaja meninggal. Anaknya kemudian melemparkan pakaiannya kepada saya. Dengan demikian saya tidak mendapat sedikit pun waris daripada suami saya, saya tidak boleh menikah dengan lelaki lain, bahkan sekarang saya menjadi seorang tawanan di rumah kerabatnya sehingga menanti ajal. Jika demikian, di mana letak kemuliaan Islam terhadap perempuan?"
Ternyata Allah mendengar pengaduannya sehingga tidak lama kemudian turunlah ayat yang mengharamkan kaum muslimin mewarisi perempuan dengan cara seperti itu.
Allah berfirman:
"Wahai orang-orang beriman! tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka menuntut cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya." (Surah al-Nisa':19)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI