Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Antara persoalan yang selalu timbul di dalam pertunangan ini, adakah dibenarkan syarak untuk mengiklankan atau dihebahkan pertunangan tersebut sepertimana diiklankan majlis perkahwinan atau pun tidak.
Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.
Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.Anha yang disebutkan sebelum ini, di nilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis.
Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut.
Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian.
Menurut al-Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan.
Ads
Kesimpulan
Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam.
Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan dari berlakunya perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut.
Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.
Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunagannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan.
Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah. Wallahu a’lam.
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kejutan menghadapi budaya hidup keluarga mertua sering berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin, sehingga kadang-kadang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan krisis dalam rumah tangga.
Perbezaan ini memerlukan penyesuaian kerana walaupun berbeza status tanggungjawab menghormati dan melayan ibu bapa mertua dan keluarganya adalah sama seperti kita menghormati dan melayan ibu bapa kandung dan kaum kerabat sendiri.
Hubungan dan komunikasi dengan keluarga mertua perlu dikendalikan secara hormat dan hikmah malah bersama ipar duai juga perlu dipelihara kerana perkahwinan bukan sahaja membina hubungan suami isteri, ia juga menghubungkan tali silaturrahim dan persaudaraan antara dua buah keluarga yang sebelum ini mungkin belum pernah mengenali antara satu sama lain.
Panduan mengelakkan masalah hubungan dan komunikasi:
1. Bersifat terbuka dan bersangka baik kepada keluarga mertua walaupun mempunyai pendapat yang berlainan. Pasangan kita mungkin boleh menjadi perantara untuk menyatukan dua pendapat yang berbeza. Elakkan buruk sangka bagi mengelakkan pertengkaran yang boleh menjejaskan lagi hubungan anda dengan keluarga mertua.
2. Menunjukkan kegembiraan apabila mereka berkunjung ke rumah anda melalui huluran salam, layanan mesra dan menyediakan hidangan yang enak mengikut kemampuan.
3. Apabila keluarga mertua membuat aktiviti atau program maka anda sebagai menantu perlulah memberi kerjasama dan komitmen dalam aktiviti atau program yang dirancang, jika tidak dapat menghadirkan diri berilah alasan secara baik agar tidak menyinggung perasaan pihak mertua.
4. Jika anda mempunyai masalah dalam rumah tangga, mereka juga boleh menjadi tempat untuk anda meminta nasihat dan bimbingan. Jangan sesekali abaikan mereka dalam membuat sesuatu keputusan.
5. Sentiasa ingat bahawa pengorbanan kita memendam rasa akibat rasa kurang senang atau tidak puas hati terhadap keluarga mertua atau ipar duai mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan doa dan restu mereka untuk kesejahteraan hidup kita sepanjang hayat. Mereka juga sama seperti ibu bapa kandung kita mendoakan yang terbaik dan tidak ada ibu bapa yang sanggup mendoakan sesuatu yang buruk terjadi pada anak menantu mereka.
6. Tidak mencampuri urusan keluarga mertua terutama dalam soal pengurusan harta atau kewangan melainkan diminta pandangan atau nasihat. Jangan cuba berlagak pandai dalam menguruskan hal-hal keluarga mertua jika pandangan anda tidak diperlukan. Anda bukan akan menyelesaikan masalah tetapi akan lebih menambahkan masalah. Lebih berhati-hati bila bercakap jika melibatkan sesuatu yang sensitif tentang keluarga mertua anda.
7. Memberi respon positif terhadap sebarang kenyataan dan tidak menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka. Jangan sesekali gunakan bahasa yang kasar yang boleh menampakkan sikap kurang ajar anda.
8. Berbuat baik dengan kawan-kawan dan adik beradik pasangan merupakan salah satu cara suami atau isteri menzahirkan rasa kasih sayang kepada pasangan. Hormatilah juga saudara mara yang lain seperti mana anda menghormati suami anda.
Tonton juga video di bawah:
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang isteri yang baik tentunya membantu meringankan beban suami, menenteramkan, menenangkan dan bergerak mengikuti langkah suaminya.
Ketika sang suami mengalami kelelahan, tentunya suami akan akan datang kepada isterinya untuk mendapatkan ketenangan. Seorang isteri memberikan impak yang begitu besar terhadap kelangsungan hidup dalam kehidupan berumah tangga.
Menjadi isteri bukanlah ‘tugas’ yang mudah khususnya untuk menjadi seorang isteri yang hebat.
Namun apabila anda melakukan 14 perkara ini, maka suami anda tahu bahawa sesungguhnya dia mempunyai isteri terbaik di dunia. Ayuh semak senarai berikut.
Anda Gembira Dengan Kejayaan Si Dia
Ketika si dia gembira kerana prestasinya, anda juga turut bahagia. Anda tahu anda isteri yang istimewa apabila anda sama gembira melihat kejayaan suami anda.
Anda Menonton Filem Kegemarannya Berulangkali
Anda sudah menonton berjuta kali filem kegemarannya namun anda tetap tidak pernah jemu. Bonusnya ialah bila anda tertawa pada saat yang tepat.
Anda Mendahulukan Si Dia
Si dia nombor satu dalam hidup anda. Anda memastikan karier dan hobi anda tidak lebih penting daripada dia. Tidak ada orang yang lebih anda utamakan.
Anda Suka Melakukan Beberapa Hal Sendiri
Hanya kerana si dia yang anda utamakan ini bukan bermakna anda hanya berkepit dengan si dia semata-mata. Walaupun anda lebih suka berada dekat dengannya, anda tidak keberatan menyendiri dan membiarkan si dia menyendiri kerana masing-masing memerlukan waktu untuk berseorangan.
Anda Memasak Makanan Kegemarannya
Walau anda tidak suka dengan makanan kegemarannya namun anda tetap memasak makanan kegemarannya untuk menunjukkan bahawa anda tahu apa yang si dia sukai dan anda ingin melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hatinya.
Anda Membuat Si Dia Tertawa
Anda isteri terbaik di dunia jika tahu khalimat apa yang akan membuatkan si dia tertawa atau bagaimana membuat si dia tersenyum hanya dengan satu kilas pandangan.
Anda Menyimpan Rahsianya
Jika suami anda merasa kurang selesa apabila anda mahu berkongsi rahsia dengan orang lain, maka anda tidak akan melakukannya. Suami anda berkongsi rahsia dengan anda kerana dia amat mempercayai anda.
Anda Selesa Dengan Rakan-Rakannya
Anda sedar bahawa suami anda sudah mengenal teman-temannya sebelum mengenal anda. Jadi anda tidak keberatan jika suami anda ingin keluar menghabiskan masa bersama.
Anda Membuatkan Si Dia Terasa Diperlukan
Walaupun anda mampu melakukannya sendiri namun anda tetap mahu meminta si dia melakukannya untuk anda. Dengan cara ini si dia akan rasa amat diperlukan oleh isterinya.
Anda Meninggalkan Catatan Buat Si Dia
Isteri yang baik memastikan suaminya tahu bahawa dia dicintai. Nota kecil di dalam begnya sudah cukup membayangkan betapa hangatnya cinta anda kepada si dia.
Anda Berdoa Untuk Si Dia
Ketika berdoa selepas solat, anda tidak lupa untuk mendoakan yang terbaik buat suami anda. Anda memohon hanya yang terbaik buat suami anda. Ia sebenarnya lebih menghangatkan lagi hubungan anda dengan pasangan secara spiritual.
Anda Berusaha Keras Membuatkan Perkahwinan Anda Harmoni
Tidak peduli apapun yang terjadi, anda berusaha untuk mempertahankan perkahwinan yang telah dibina. Jika saatnya hubungan terasa hambar, anda segera mengambil tindakan bagi mengharmonikan semula kemesraan suami isteri.
Sumber gambar: saidahphotography
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas putus hubungan dengan mantan kekasih, mungkin anda telah cuba untuk move on dan bersedia membuka hati untuk menerima cinta daripada jejaka yang lain. Hidup mesti terus jadi tidak perlu berlama-lama bersedih hati. Namun siapa yang mampu menidakkan soal jodoh kerana jodoh tidak boleh diramal.
Mungkin anda sudah cuba membina hubungan dengan jejaka lain namun malangnya semua hubungan itu tidak ‘lekat.’ Setelah sibuk cuba menjalin hubungan sana-sini, ternyata akhirnya hubungan anda dan mantan kekasih kembali mendekat. Namun jika itu yang sudah tersurat bahawa jodoh anda dengan mantan kekasih maka tentunya anda tidak mampu menolak ketentuan itu.
Jika benar anda ingin membuka kisah baharu dengan mantan kekasih, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira. Pertimbangkan empat perkara berikut sebelum anda mengambil keputuan untuk kembali kepada mantan kekasih.
Putus Secara Baik
Jika memang anda putus dengan mantan kekasih secara baik dan masing-masing bersikap dewasa, maka tentunya komunikasi anda dan mantan kekasih masih baik. Buktinya meskipun anda dan pasangan bukan pasangan kekasih lagi tetapi kalian masih saling menghubungi tanpa rasa kekok. Anda dan mantan kekasih masih bertanya perihal diri masing-masing.
Sikap begini sebenarnya menunjukkan bahawa kalian berdua masih saling memerlukan antara satu sama lain. Mungkin inilah yang dinamakan jodoh. Jika beginilah situasinya maka jangan ragu-ragu membuka pintu hati masing-masing untuk membina semula hubungan cinta yang kandas di tengah jalan.
Dekat Dengan Keluarga
Jika hubungan anda dan mantan kekasih putus di tengah jalan namun hubungan mantan kekasih anda dengan keluarga anda masih lagi baik maka ini menunjukkan bahawa mantan kekasih sebenarnya dalam usaha membina semula cinta kalian yang sedang diuji.
Ia dapat dilihat apabila mantan kekasih masih menghubungi dan datang berkunjung ke rumah anda tanpa rasa segan atau malu. Keluarga anda juga tiada masalah untuk menerima kehadiran mantan kekasih meski tahu yang kalian berdua sudah memutuskan hubungan sebagai pasangan kekasih.
Masih Belum Ada Pengganti
Mungkin selepas memutuskan hubungan cinta, kalian masih ‘mengintip’ kehidupan masing-masing sama ada sudah berjumpa dengan pengganti atau tidak. Jika sekian lama putus cinta namun anda dan mantan kekasih belum punya pengganti ini membuktikan kalian berdua masih belum mampu untuk melupakan diri masing-masing. Terimalah hakikat bahawa jodoh anda dengan mantan kekasih.
Cinta Monyet
Ada sesetengah orang berpendapat bahawa cinta monyet itu tidak serius dan sekadar cinta main-main sahaja. Namun jika cinta yang bermula di sekolah mampu berlanjutan hingga ke dunia pekerjaaan namun akhirnya putus di tengah jalan, sebenarnya masih ada sinar untuk cinta itu berputik semula. Perhatikan sahaja jika sikap mantan kekasih asyik mengimbas kisah-kisah lama. Ini bermakna si dia masih belum mampu untuk move on. Jelas sekali mantan kekasih anda ingin mengulang kembali detik-detik indah bersama anda.
Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna. Mungkin perpisahan sementara antara anda dan mantan pasangan memberi ruang kepada kalian berdua untuk memperbaiki kekurangan masing-masing. Tidak salah untuk memberi peluang kepada diri anda dan juga mantan pasangan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!