Semua orang pasti mendambakan pasangan yang bukan sahaja boleh menjaga anda apabila sudah berumah tangga sebaliknya mencintai anda kerana Allah. Sangatlah beruntung jika anda miliki pasangan dengan ciri-ciri sebegini.
Banyak kali kita dengar pasangan mengungkapkan kalimat “Aku cintakan mu kerana Allah!”, namun ramai yang menyalahgunakannya. Jika benar mencintai pasangan kerana Allah pastinya anda akan cuba menjaga hubungan dengan pasangan ke arah yang diredai dan terhindar daripada kemungkaran.
Hal ini amatlah penting agar anda tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing anda dan pasangan terjerumus ke lembah kejahatan.
Lima bukti penting dan tanda utama ini menunjukkan betapa anda bertuah memiliki pasangan seperti ini. Pastikan hubungan ini dijaga dengan rapi agar ia berkekalan.
Adalah mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat.
Lihatlah pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja.
Perkara yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.
Pasti ada sebab si dia cintakan anda kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan anda kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan anda kepada-Nya? Jika cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT.
Orang yang benar dalam cintanya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.
Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam.
Diantara ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau kemudaratan. Ini kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan.
Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri.
Cinta yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Jika benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini.
Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah si dia dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.
Lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT.