ISTERI STRES JIKA SUAMI SELALU LUPA
Ungkapan tajuk di atas seolah-olah telah menjadi lumrah untuk membezakan di antara lelaki dan wanita.
Kebiasaannya pihak perempuan akan menyindir kelemahan lelaki seperti berikut. “Orang lelaki ni sentiasa saja lupa, asyik-asyik tidak ingat. Dah diberi pesan banyak kalipun, masih juga tidak ingat. Bila kita ingatkan pada dia, dia pula naik panas barannya. Susahnya nak minta tolong daripada lelaki ni”.
Ungkapan ini kelihatan negatif terhadap kaum lelaki. Sedangkan pihak lelaki sendiri tidak faham mengapa dirinya mudah lupa.
Bagi wanita pula, sekiranya pasangannya tidak ingat padanya, ini membawa maksud dirinya sudah tidak disayangi lagi. Sebab setiap wanita akan sentiasa ingat orang yang dia sayangi.
Sebaliknya bagi orang lelaki, walaupun dia lupa kepada isterinya pada waktu-waktu tertentu, bukanlah bermaksud dia tidak sayang. Cumanya dia lupa sahaja kerana semasa si lelaki sedang membuat sesuatu tugasan, mindanya fokus hanya kepada perkara itu. Dia mampu untuk melupakan perkara yang lain selain daripada perkara itu.
Bukanlah pada masa itu dia tidak sayang isterinya.
Mengapakah perbezaan ini boleh terjadi?
Kajian yang terdapat di dalam jurnal Neurophysiologia tahun 2000, yang dikaji oleh Ruben Gur dan rakan-rakannya yang bertajuk, “Sex Differences in Brain-Behavior Between Verbal Episodic Memory and Resting Regional Cerebral Blood Flow”, mendapati darah di dalam otak perempuan lebih laju daripada otak lelaki terutama sekali pada bahagian yang mengawal lisan.
Di dalam ujikaji mereka, apabila lelaki dan wanita diminta untuk mengingatkan cerita yang disampaikan dalam bentuk percakapan, mereka dapati darah di dalam otak perempuan yang di bahagian lisan di hemisfera otak kiri dan kanan telah bergerak lebih laju seolah-olah membentuk satu sistem dan konsep terhadap apa yang mereka dengar.
Manakala orang lelaki hanya bahagian di sebelah kiri sahaja yang aktif.
Inilah sebabnya orang perempuan boleh menyimpan cerita, maklumat dan data kerana sistem pendengaran dan mekanisme otaknya dapat menyusun, menyisih dan memakej agar mudah dikeluarkan semula.
Kuasa mengingat di antara lelaki dan wanita memang tiada beza. Cumanya orang perempuan didapatI lebih tinggi keupayaannya menceritakan semula semua cerita dan senarai nama-nama selepas disampaikan kepada mereka berbandingkan dengan lelaki.
Satu lagi alasan yang menyebabkan perempuan kuat daya ingatannya ialah hormone oestrogen yang tinggi kepekatannya jika dibandingkan dengan lelaki.
Hormon ini berupaya mengaktifkan sel-sel saraf, melajukan perjalanan darah di bahagian dalam otak dan meningkatkan jaringan hubungan di antara sel-sel.
Tingginya hormon ini dalam seseorang akan mendorong seseorang itu untuk belajar dan tinggi daya ingatannya. Dengan demikian, orang perempuanlah yang mudah melaksanakan tugasan ini. Hormon ini pula dilaporkan bukan hanya mengaktifkan neuron di dalam otak perempuan semasa mereka dengan kesedihan, malah dia boleh memanjangkan masa glanda adrenaline merembes hormone cortisol yang juga ada kaitan dengan daya ingatan.
Itu sebabnya jika orang perempuan mengimbau kenangan pahit yang silam, dia dapat merasai keperitannya seolah-olah dia berada di waktu itu.
Ahli psikologi membuat andaian kelebihan yang terdapat pada wanita ini ada kaitan dengan peranan mereka sebagai pengurus rumahtangga dan anak-anak dibawah didikan mereka. Dengan keupayaan mengingat dan dapat merasai pengalaman silam ini menyebabkan perempuan sebagai ibu lebih berhati-hati menjaga dan mengawal anak-anaknya agar tidak mengalami perkara yang sama yang dirasai oleh mereka.
Cuba bayangkan, jika lelaki juga mempunyai keupayaan mengingat dan merasai kesengsaraan peristewa itu sebagaimana perempuan, sudah pasti tiada lelaki yang akan sanggup berjuang ke medan perang atau mengejar binatang buruan. Disebabkan mudah lupa ini jugalah, lelaki kelihatan berani menghadapi cabaran demi cabaran walaupun pernah terantuk kepalanya banyak kali di tempat yang sama.
Hanya kesakitan melahirkan anak sahaja yang boleh lupai oleh orang perempuan kerana kegembiraan dapat melahir dan meribakan anaknya itu mampu mengatasi ingatan kesakitannya.
Oleh itu disebabkan perempuan mudah ingat dan lelaki mudah lupa, maka kemungkinan berlaku konflik rumahtangga jika kita berdua tidak memahaminya amatlah tinggi.
Tip bagi orang perempuan ialah:
1. Suami anda memang mudah lupa. Sentiasalah ingatkan dia dengan ungkapan yang menggunakan istilah “gentle reminder” seperti ungkapan permulaan yang berikut, ”Abang, saya nak ingatkan abang mengenai ……” Cara ini tidak menjatuhkan keegoan kelakiannya.
2. Jika suami anda menjalani tugas di luar kawasan dan bermalam di tempat itu, sila ingatkan dia untuk menghubungi anda setiap hari. Dan seelok-eloknyanya minta dia tetapkan waktu untuk hubungi anda. Dengan pesanan begini, memudahkan suami menyusun aktiviti hariannya kerana orang lelaki lebih mudah melaksanakan tugasnya jika disusun. Jika diharapkan dia sendiri yang buat jadualnya, dia akan lupa untuk menghubungi orang yang dia tinggalkan di rumah. Mindanya lebih fokus kepada urusan tugasannya.
3. Jika dia gagal juga menghubungi anda pada waktu dan masa yang ditetapkan, maka hubungi dia dan nyatakan kerinduan anda kepadanya. Jangan marah-marah mengatakan anda tersiksa menunggu panggilannya melainkan anda mampu marah dalam nada yang manja-manja yang kedengaran seperti anda tidak marah.
4. Jika suami anda menghubungi anda tepat pada waktu yang dijanjikan, maka jangan segan-segan dan kedekut untuk mengatakan yang anda sangat menghargai panggilannya dan katakan padanya yang anda rasa bahagia kerana dia tidak lupa untuk menelefon anda.
5. Kalau dia pulang ke rumah daripada tugasan luar dengan tiada buah tangan untuk anda, sambutlah juga dengan kegembiraan. Jangan diungkit pada masa itu. Pesankan kepadanya untuk membawa pulang ole-ole untuk anda bagi tugasan luaran akan datang. Atau anda yang proaktif meminta dia belikan barang yang anda minat semasa dia masih berada di tempat itu.
Untuk lelaki:
1. Catatlah segala permintaan isteri di telefon bimbit yang sekarang ini telah banyak aplikasi yang boleh membantu anda mengingatkannya satu persatu.
2. Usahakan dan jadikan budaya setiap kali kita berada di luar kawasan untuk menanyakan isteri apa yang dia mahu dibelikan untuknya.
3. Jika anda terlupa, tidak perlulah cuba untuk menegakkan benang basah. Akuilah yang ada lupa dan minta maaflah kepada dia yang anda lupa.
Di dalam Al Quran, lelaki lupa disebabkan oleh syaitan (Kisah Nabi Musa as [Al Kahfi: 63] dan Nabi Yusuf as [Yusuf:42]). Maka pohonlah kepada Allah swt untuk dilindungi gangguan syaitan daripada menjadi lupa. Jika lupa juga mohon Allah berikan yang lebih baik daripada apa yang dilupakan itu (Surah Al Kahfi:24).
Selamat Mencuba.. Pak Utih 17 Sept.
#pakutih
#suamihensemisteriohsem
#menantuhipster
#mahligaikasih
#suamimemimpinisterimengurus
#smartphonesmartparenting