Usahawan kewangan Dr Siti Zainab Mohd Zaini, 47, bertemu jodoh kali kedua dengan seorang kontraktor, Muhammad Majidee Rajhan berusia 28 tahun. Dr Siti Zainab merupakan pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors. Walau jarak usia mereka 19 tahun tetapi Dr Siti Zainab atau dikenali sebagai Bochi sangat bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang, matang dan bertanggungjawab. Ibu 2 anak ini mengakui, kehadiran suami sebagai peneman dan pelindung di saat dirinya diuji dengan kanser payudara.
“Saya mengenali suami pada March 2018. Ketika itu suami datang ke kelas saya untuk belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan. Tak sangka pula dalam dia datang training tu tiba-tiba suatu hari dia ajak saya solat sama-sama, dia pula menjadi imam. Saya terkedu sebab sebelum ini tiada seorang pun yang ‘berani’ datang ketuk pintu bilik pejabat saya untuk ajak solat sama-sama. Bermula saat itulah saya rasa dia istimewa. Dalam masa 4 bulan perkenalan suami sudah melamar. Memang sangat cepat dan berani. Tapi sebab jarak umur kami yang jauh, saya minta dia beri masa untuk kami saling mengenali hati budi masing-masing.
Allah sebaik-baik Perancang. Bulan Oktober 2018 saya didiagnos kanser payudara tahap awal (early stage). Waktu itu memang susah untuk buat keputusan tentang perhubungan kami. Saya ada memintanya agar tak meneruskan perhubungan sebab saya tidak mahu susahkannya. Saya tahu saya akan menerima pelbagai prosedur rawatan. Tetapi suami sangat penyayang, dia tetap berkeras untuk terus berada di sisi. Begitulah perancangan Allah, bersama dugaan yang Dia beri. Satu hikmah yang sangat besar. Saya percaya kepada qada’ dan qadar. Akhirnya saya terima lamaran suami.
Kami diijab kabul pada April 2019, setelah saya selesai menjalani rawatan kimoterapi yang ke-6 dan sebelum pembedahan.Suami seorang yang sangat caring. Suami banyak beri nasihat dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat. Antara kata-katanya “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat.”
PESANAN BUAT WANITA
“Percaya kepada jodoh. Bagi mereka yang berkahwin dengan pasangan lebih muda, janganlah terlalu hendak menjadi ‘cikgu’ semata-mata nak perbetulkan semua perkara. Biar pasangan melalui pengalaman hidupnya. Jika perkahwinan itu yang kedua jangan banding-bandingkan. Fokus kepada kebaikan. Satu lagi, kena work life balance. Curahkan masa dan kasih sayang di rumah. Itu paling utama. Perlu usahakan masa bersama. Bila Allah duga, Allah nak naikkan martabat kita dengan cara mencari ilmu untuk menangani dugaan.”