Bila Adik ‘LANGKAH BENDUL’, Kakak Boleh Dapat Hadiah Dari Pengantin!

Share

Istilah ‘langkah bendul’ memang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu. Bila si adik berkahwin dahulu sebelum kakak, ada ‘mahar’ yang perlu dibayar bakal pengantin lelaki. Hmm…beruntunglah jadi kakak sebab boleh minta macam-macam!

 

Orang dulu-dulu memang pantang kalau adik berkahwin lebih awal dari kakak. Umpama sesuatu yang bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat. Jangan terkejut jika sekarang pun masih ada yang berpegang pada adat ‘langkah bendul’.

 

Disebabkan jodoh si adik sudah tibalebih awal dari kakak, maka si adik tadi perlu memberi hadiah kepada kakak untuk menjaga hati. Dapat kakak yang tidak berkira untunglah. Tapi kalau dapat kakak yang nak minta hadiah mahal, maka pasangan yang bakal berkahwin ni pasti terbeban.

 

Daripada kita membebankan adik dan bakal adik ipar sendiri, adalah lebih baik kalau kakak memberi restu kepada adik-adiknya. Sematkan dalam hati, jodoh itu rahsia Allah. Ini empat perkara yang boleh anda minta untuk si adik yang bakal berkahwin:

 

Mendoakan kebahagiaan

Daripada minta macam-macam, lebih baik anda sendiri memberikan restu dan memohon doa agar jodoh adik-adik kekal bahagia ke akhir hayat. Doa seorang hamba biasanya akan berbalik kepada diri sendiri juga kerana Allah Maha Mendengar.

 

Sokonglah niat yang baik

Mendirikan rumahtangga adalah sesuatu yang dituntut agama. Sokonglah niat mereka untuk berkahwin dan membina kebahagiaan. Lebih baik mempunyai ikatan sah daripada melakukan perkara yang tidak baik dan seterusnya memberikan pandangan serong terhadap keluarga anda.

 

Mohon adik doakan anda bertemu jodoh

Kan lebih baik jika anda minta mereka mendoakan agar anda juga bakal bertemu jodoh yang boleh membawa kebahagiaan kepada anda sehingga ke akhir hayat. Keikhlasan anda memberi restu kepada adik mungkin dibalas dengan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat untuk anda.

 

Berfikiran positif

Betulkan mindset dan berfikiran positif untuk ‘menyedut’ aura kebahagiaan. Saat anda mula berfikiran positif, anda akan terima takdir Allah dengan hati terbuka. “Jodoh belum sampai, mungkin ada rezeki lain yang Allah nak beri.” Kan lebih tenang macam tu!

 

Kredit foto utama: Tangkap Pictures dan Sharifah Adriana

Published by
Anis Nor