Bangunkan Komunikasi
Sebelum bernikah, ada di antara kita yang begitu ‘menjaga’, hingga komunikasi tidak dibangunkan. Atau minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada perkongsian tentang apa dan bagaimana kehidupan suami isteri yang diharapkan.
Ada pula yang ‘tak menjaga’, terlebih komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga komunikasi menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami isteri. Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada hubungan yang terlarang.
Maka sebelum bernikahan, kita berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.
Ungkapkan harapan dan perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan kepercayaan dan ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan dan keaiban diri seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan kefahaman. Luruskan expectations yang meleset dari jangkauan supaya kelak tidak merasa ‘tertipu’ dengan penampilan luaran pasangan.
Hal-hal yang dikomunikasikan sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah teramat penting dalam menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang dibina.
Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.
Komunikasi berkesan…apakah ini…? Complicated sangatkah?
Ya, perkahwinanan akan jadi complicated bila kita tak pandai bercakap – tak pandai menyuarakan keinginan dan tak pandai menyuarakan ketidakpuasan hati tentang rumahtangga dan pasangan.
Bangunkan Keserasian
Kita susah nak ‘serasi bersama’ suami isteri jika tidak tahu bagaimana menyatakan penghargaan dan kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tak terluah. Tak tahu cara yang betul atau memang tak suka nak berkongsi. Dan, banyak juga yang tak sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah menjadi ayat dan bait-bait kata yang mencederakan perasaan pasangan.
Tidak di lupakan juga, lelaki dan perempuan ‘bahasanya’ berbeza walaupun maksudnya sama. Bukalah buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan perempuan.
Pada lelaki, bukalah ‘women’s dictionary’.
Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.
Contoh lain dialog suami isteri:
“Takde apa..ok je..” jawab si isteri walau mukanya menunjukkan ‘ada apa-apa’.
“Oklah, kalau tak ada apa-apa, abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah tunggu…” maka suami pun ‘selamba’ meninggalkan isteri yang mungkin ada masalah yang ingin diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan airmata, suami keluar dengan rasa tenang hati kerana merasakan ‘semuanya ok, tak ada apa-apa’.
Wahai isteri, takkan pernah suami itu mampu membaca fikiranmu.. Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.
Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu..Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.
Tidak perlu salahkan sesiapa, bukan salah sistem pendidikan yang tak pernah ajar tentang psikologi pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan salah ibu ayah kita yang sering bercakap dengan bahasa yang saling menjatuhkan – lalu kita pun mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..
TAPI..mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.
Sumber : Sisi Kehidupan