Hubungan

Bila Dah Ada Imam Di Rumah, Selalulah Solat Berjemaah. Hilang Masalah Rumahtangga

Share

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Pada zaman moden ini, manusia semakin sibuk. Semakin sibuk kehidupan seseorang, maka kehidupan mereka semakin tertekan.

Mesyuarat di pejabat tidak tahu bila penghujungnya. Apabila menghadiri kursus memaksa mereka berjauhan daripada keluarga dan menyebabkan tanggungjawab di rumah terabai.

Setiap hari bangun seawal jam 4 pagi untuk bersiap-siap ke tempat kerja demi mengelakkan diri daripada menempuh azab tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Kemudian, manusia bertungkus-lumus menyiapkan kerja supaya dapat pulang awal bagi mengelak diri sekali lagi tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Sebahagian manusia yang menerima tekanan dalam hidupnya mampu menguruskannya dengan baik manakala ada juga yang akan tertewas.

Terdapat statistik menyatakan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah mental. Apabila kehidupan penuh dengan tekanan, lama-kelamaan hati nurani kemanusiaan akan rosak.

Apabila anak melakukan sedikit saja kesalahan maka, penampar akan singgah di mukanya. Isteri lambat masak, pelbagai perkataan keluar menyumpah isteri. Orang lain berborak hal lain, kita pula yang rasa mereka menyindir kita.

Tidak dinafikan sekarang, kos sara hidup yang semakin melambung menjadi salah satu punca tekanan yang dihadapi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Hampir segala harga barangan meningkat, sedangkan pendapatan tidak masih ditakuk lama. Harga rumah meningkat mendadak sehingga kebanyakan rumah hanya menjadi ‘mampu lihat’ saja.

Harga barangan keperluan asas bersilih ganti naik. Dahulu apabila berbelanja RM100 di pasar raya, bakul kecil mungkin penuh, namun sekarang hanya tinggal tiga suku saja.

Makanan di kedai juga semakin mahal. Jika ada kedai yang mengekalkan harga pun, kuantiti dan kualiti makanan sudah menurun.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu (al-Quran) dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada (hati manusia) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

Maka, solat adalah salah satu penawar untuk memberikan ketenangan kepada jiwa manusia. Allah SWT adalah sumber ketenangan dan Dia lah penyelesai masalah kepada segala masalah yang dihadapi hamba-hamba-Nya.

Pada akal fikiran manusia yang cetek ini, betapa besar menggunung masalah yang sedang dihadapi sekalipun, tetapi apabila kita mengadu kepada Allah, pasti Dia akan memberi ilham untuk menyelesaikannya.

Ketika itu, baru kita sedar rupa-rupanya kecil saja masalah yang kita hadapi. Pergilah ke masjid dan surau yang sudah lama kita tidak jejaki.

Hadiri majlis ilmu kerana ia sentiasa akan dinaungi malaikat. Sebulan sekali, cuba bersama jemaah tabligh serta orang-orang yang ikhlas untuk mempelajari agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar (dalam semua masalah yang dihadapinya) dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Surah at-Thalaaq, ayat 2-3)

Published by
Anis Nor