Bertunang sebenarnya salah satu kaedah untuk mengenali pasangan dengan lebih teliti. Tempoh bertunang juga merupakan fasa perkenalan dan persediaan bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Islam memandang pertunangan itu sebagai satu jalan untuk mencapai matlamat yang besar iaitu berkahwin namun, ia bukanlah syarat sah sebuah perkahwinan.
Dalam kemanisan pertunangan, kita berisiko untuk melakukan perkara diluar jangkaan. Misalnya seperti bergaduh, syak wasangka buruk, cemburu buta, melanggari batas pergaulan dan yang lebih buruk ada sehingga ke tahap berzina. Kadang kala apabila merasakan hubungan tidak lagi sehaluan, Akhirnya masing-masing mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan.
Benarlah kata orang; “Bertunang penuh dengan dugaan dan cabaran”
Oleh sebab itu, dinasihatkan kepada pasangan yang sudah bertunang agar tempoh pertunangan hendaklah disingkatkan. bertunang merupakan jalan terdekat kepada perkahwinan. Di mana, seorang lelaki dan seorang perempuan sudah bertekad dan bersedia untuk membina keluarga sendiri.
Namun, ramai yang kecundang serta tidak mampu untuk meneruskan perjalanan panjang tersebut. dalam islam, bertunang bukanlah asbab yang membolehkan sesuatu hubungan yang haram menjadi halal. Ada garis panduan yang perlu kita fahami dan ikuti untuk memastikan ikatan pertunangan itu mendapat redha dan rahmat Ilahi seterusnya membentuk rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Justeru itu, disediakan 7 tip bagi pasangan bertunang mengekalkan hubungan mereka hingga ke alam perkahwinan;
Walaupun sudah bertunang, masih ada batasan antara kita dan pasangan. Masing-masing perlu faham tentang agama, adab dan akhlak dalam pergaulan. Tidak semestinya sudah bertunang maka segalanya boleh dilakukan.
Pasangan bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan, kecuali jika ada bersama mereka mahram. Tidak boleh berpegangan tangan dan tidak boleh menayangkan aurat kepada pasangan. Tidak sama sekali!
Dalam proses pertunangan, seharusnya kita dan pasangan perlu sehabis daya mengelakkan diri dari perbuatan dosa dan maksiat hatta berbalas pesanan ringkas sekalipun. Setiap batasan agama perlu dijaga, agar kita dan pasangan tidak terjebak dengan fitnah atau berzina yang boleh membinasakan.
Kadangkala kita dan pasangan terlupa dek kerana terlalu sibuk bekerja dan sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan. Ya! terlupa tentang keluarga pasangan.
Barangkali kita pernah dengar tentang ayat ini;
“Apabila seseorang itu berkahwin, dia bukan sahaja mengahwini pasangannya malah mengahwini seluruh isi keluarganya.”
Nah, oleh sebab itu, ketika bertunang, seharusnya kita mengambil peluang untuk mengenali keluarga pasangan dengan lebih dekat dan cuba mengeratkan hubungan silaturahim dengan mereka sebelum mendirikan rumahtangga.
Sama ada menelefon bertanya khabar ibu bapanya ataupun pergi sendiri menziarahi mereka dengan membawa buah tangan. Sekurang-kurangnya nanti apabila sudah berkahwin, tidaklah berasa janggal atau kekok dengan keluarga mertua.
Apabila kita dan pasangan berjauhan, maka muncul lah bisikan syaitan untuk memporak-perandakan hubungan. Ketika inilah saat paling getir dalam proses pertunangan.
Kadangkala timbul khabar angin yang memperkatakan perihal buruk pasangan. Baik dari percakapan langsung mahupun dari media sosial. Lantas, fikiran menjadi celaru dan buntu dalam membuat keputusan. Malah, mungkin juga terlintas dibenak fikiran;
“Apakah aku tersalah memilih pasangan?”
Seeloknya, bertemu mukalah dengan pasangan sambil ditemani mahram. Berbincang dengan cara baik dan sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian. Boleh juga meminta nasihat dan pandangan dari keluarga kedua belah pihak. Bersikap rasional, banyakkan bertenang. Jangan bermain dengan emosi kerana ia boleh mewujudkan perasaan gelisah dalam hati dan terburu-buru dalam membuat keputusan.
Setelah mengikat tali pertunangan, sesetengah orang sukar untuk bersabar dan bertolak ansur dengan pasangan. Jangan begitu. Rintangan dan cabaran dalam pertunangan tidaklah sehebat cabaran dalam perkahwinan. Sebaiknya, masing-masing perlu banyak bersabar dan mengawal sikap buruk dalam diri. Semakin dekat dengan majlis perkahwinan, semakin tekanan demi tekanan muncul. Daripada perkara kecil sehinggalah perkara besar.
Masing-masing perlu bijak menangani masalah dan menunjukkan sikap bertolak ansur dengan pasangan. Jika pasangan tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, maka dengarlah pula pendapatnya. Walaupun kita berasa keputusan kita sudah tepat namun jangan pula berasa pandangan pasangan langsung tidak penting!
Banyak kes pasangan bertunang memutuskan ikatan pertunangan dengan sebab dan alasan tidak lagi sehaluan. Jika diamati, kebanyakan dari mereka adalah pasangan yang sudah pun mengenali antara satu sama lain mungkin sudah bertahun lamanya.ebenarnya, bukan tidak sehaluan tetapi kita yang tidak mampu untuk memahami situasi pasangan. Mana tidaknya, pasangan bekerja siang dan malam hanya untuk mengumpul wang hantaran tidak termasuk lagi yang lain-lain.
Tetapi kita pula menyangka pasangan tidak ada masa untuk kita. Kadangkala, kita marah atau cemburu tak tentu pasal apabila melihat pasangan kita berjalan dengan kenalannya ataupun rakan sekerjanya.
Kita selalu berfikiran negatif terhadap pasangan kita sedangkan pasangan kita langsung tidak seperti yang kita bayangkan. Cubalah untuk memahami situasi pasangan. Siasat atau bertanyalah dahulu sebelum membuat sebarang andaian yang merugikan.
Setelah bertunang, kita hanya memerlukan masa beberapa bulan atau setahun saja lagi untuk mengenali pasangan. Kadangkala, kita belum masak dengan perangainya atau belum melihat sifat tersembunyinya. Namun, perlu kita setkan dalam akal dan hati kita bahawa setiap manusia pasti mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ketika bercinta, komitmennya berbeza dan pasti berubah setelah berumah tangga.
Percayalah, apabila kita sentiasa bersyukur dan menerima pasangan apa adanya, pasti Allah tambahkan lagi nikmat yang tak disangka-sangka. Kata ustaz Hasrizal abd jamil dalam salah satu bukunya yang berjudul, Aku Terima Nikahnya;
“Dalam soal berumah tangga jangan terlalu memilih dan hanya mencari yang sempurna. Terimalah seseorang seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredai.”
Sebelum menginjak ke alam rumah tangga, pastikan kita dan pasangan terlebih dahulu memikirkan dan berbincang tentang perancangan setelah berkahwin. Misalnya, tentang tempat tinggal. Setelah berkahwin, kebanyakannya si isteri perlu mengikut suaminya sama ada berpindah ke rumah mertua ataupun berpindah ke rumah sendiri.
Kalau perkara sebegini tidak dibincangkan terlebih dahulu, takut nanti apabila sudah berkahwin, perkara ini menjadi asbab kepada pergaduhan atau lebih teruk lagi jika ada campur tangan mertua. Walaupun kelihatan remeh, namun jangan memandang enteng. Perincikan setiap perkara atau buat keputusan dan persetujuan awal kedua belah pihak ketika dalam fasa pertunangan lagi. Jadi, mudahlah bagi kita dan pasangan untuk membayangkan masa depan setelah berumah tangga nanti.
Tuntasnya, hakikat pertunangan dalam Islam membawa seribu satu hikmah. Dalam usia pertunangan, kita dan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai perkara baru dan sentiasa mencuba untuk menyesuaikan diri menghadapi episod rumah tangga yang akan datang.
Kredit foto (top image): Pexels