Sungguh, bila duduk serumah baru akan nampak dan kenal si dia sepenuhnya. Masa bercinta, hanya separuh kita kenal.
Masuk fasa rumah tangga, pasti akan berdepan dengan kekurangan dan kelemahan. Bukan mudah nak bahagia selepas kahwin. Banyak ujian yang menunggu.
Itulah orang kata, kalau kita cari kebaikan maka yang baik lah kita jumpa. Namun jika selalu mencari keburukan, yang nampak cuma bahagian yang buruk.
Nak-nak pula memang dah tak serasi sangat, kesannya hubungan makin berjauhan dan langsung tak boleh ngam! Cuba renungkan perkongsian saudara Abd Ghani Haron ini, moga kita boleh berubah dan buang yang keruh.
Pesan ayah saya,
“Kita ibarat memiliki kain sesentung, tarik menutup kepala, kaki terbuka, tarik tutup kaki, kepala terbuka.”
“Teringat zaman hidup susah dulu, kain pelekat sehelailah menjadi selimut, kaki kena di lipat atau kerekot untuk tutup semua anggota.
Maksud ayah, kita tak mungkin sempurna semuanya.
Anak yang dianugerah Tuhan takkan semua memenuhi impian kita. Kelapa setandan, bukan semua berisi, pisang setandan bukan semua sama besar, jari ditangan bukan semua sama panjang. Dengan yang demikian redalah pada kekurangan yang ada pada anak, bersyukurlah kepada penganugerah Tuhan, yang terkurang itu ujian Allah, peluang untuk bersabar dan berusaha.
Suami isteri nampak sempurna segalanya, masa belum berkahwin, bila dah duduk serumah nampaklah kudis sana sini, cacat cela sana sini. Itulah hakikat kekurangan untuk kita redha, bersyukur dan bersabar. Jangan melihat isteri saja yang kurang, diri sendiri tetap ada kekurangannya cuma tidak mungkin kita melihat dalam diri sendiri. Kalau nak tahu, bertanyalah kepada isteri yang melihatnya dari luar.
Tidak semua rakan dan pekerja kita sempurna. Terimalah kekurangan mereka dengan berlapang dada, membetulkan apa yang tidak kena, menambah apa yang terkurang. Jika anda seorang guru, ingatlah murid anda ibarat jari tangan yang tidak sama panjang. Pencapaian, perangai, kebolehan adalah berbeza, bersabarlah, bertekunlah untuk memperbaiki, padamkan percikan api kemarahan, kerana semua mereka juga ciptaan Allah.
Kita ibarat kain sesentung, tutup kepala kaki terbuka, tutup kaki kepala terbuka. Bersabarlah, berlapang dadalah. Jika anda memarahi anak orang lain, ibubapanya pasti terasa.
Jika anda menyatakan kekurangan seorang, ibubapanya akan terasa. Apakah anda tidak takut jika anda memarahi atau menyatakan kekurangan seseorang, anda akan dimarahi oleh Tuhan yg mencipta mereka?
Inilah hakikat mengapa kita kena mengawal kemarahan, apalagi kepada manusia. Berpada pada dan berhati hatilah, marah mungkin pada perlakuan, jangan marah pada sifatnya. Jika anda merasa anda seorang yang baik marilah kita menjadi insan yang lebih baik.