Bila Hubungan Dingin, Cuba Kawal Kemarahan Dengan Cara Ini. No 3 Tu Confirm Berkesan!

Share

Pergaduhan antara suami isteri merupakan perkara biasa dalam rumah tangga. Namun, sekiranya ia berlarutan dan tidak menemukan jalan penyelesaian, ia boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga sekaligus menyebabkan hubungan menjadi goyah.

Setiap kemarahan perlu dikawal agar pasangan tidak tersinggung dengan kata-kata atau pun perbuatan anda. Jika anda marah kepada pasangan, cuba lakukan perkara ini bagi menghindari perkara tidak diingini berlaku. Harus diingat kemarahan tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan memburukkan keadaan. Jom Pengantin kongsikan 6 cara untuk elak kemarahan yang boleh anda praktikkan!

1. MENDIAMKAN DIRI ATAU BERLALU PERGI

Jika pasangan anda sedang marah, jangan melawan kata-katanya. Jika anda membalas, keadaan akan menjadi lebih tegang. Seeloknya anda mendiamkan diri sahaja. Diam tidak bererti anda kalah atau salah tetapi itu tandanya anda cukup bersabar serta rasional. Jika boleh, beredarlah dari tempat itu seketika dan kembali berbincang apabila keadaan mula tenang.

2. JANGAN SESEKALI MENGUNGKIT

Kemarahan akan menjadi lebih teruk jika pasangan mula mengungkit perkara yang sudah lepas. Tabiat suka mengungkit ini membuatkan rasa marah lalu tercetus semula dan ini tidak akan meredakan keadaan yang tegang. Apabila perkara itu sudah berlalu, cuba untuk memaafkan pasangan dan jangan diulang kembali cerita itu.

3. MENGAMBIL WUDUK

Marah itu ibarat api dan apabila terkena air ia akan padam. Jadi, apabila anda marah, sebaiknya basahkan diri dengan mengambil wuduk. Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .

4. BERCAKAP DENGAN TERTIB DAN TERATUR

Luahkan rasa tidak puas hati anda dengan tutur kata yang teratur. Jangan meninggikan suara atau memekik. Biarpun rasa marah anda membuak-buak, cuba bertahan dan sabar. Apabila anda mula meninggikan suara, keadaan akan menjadi tidak terkawal.

5. BERFIKIRAN POSITIF

Apabila pasangan anda sedang marah, terima setiap kata-kata yang dilemparkan dengan hati yang tenang dan minda terbuka. Jangan ambil peduli dengan setiap perkataan yang diluahkannya. Didik diri untuk bersabar dan anggaplah si dia hanya ingin meluahkan perasaan. Beri dia masa untuk berkata-kata.

6. BERFIKIR SEBELUM BERKATA-KATA

Sebelum meluahkan sesuatu, fikir dahulu baik dan buruknya. Rancang dahulu perkataan yang ingin diluahkan supaya, anda tidak bercakap perkara yang boleh mengguris perasaan atau mencetus kemarahan. Jangan bertindak mengikut perasaan. Sebaliknya kawal perasaan dan kata-kata bagi memastikan perbualan itu berakhir dengan baik.

Published by
Fadhli Ismail