Pasangan yang bercinta pasti pernah mengalami pasang surut dalam perhubungan. Pergaduhan dan perselisihan faham sering terjadi dalam hubungan cinta. Ada yang berpendapat perkara ini merupakan salah satu cara komunikasi yang jujur dan terbaik.
Namun, sekiranya pergaduhan dan perselisihan faham ini tidak diselesaikan dengan cepat, mungkin ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar lagi. Sebab itulah jika perkara ini terjadi, setiap pasangan harus mengambil tindakan segera bagi meredakan pergaduhan tersebut. Khuatir jika pergaduhan berterusan boleh mengeruhkan dan menjejaskan lagu hubungan anda dengan pasangan.
Jom kita lihat 6 strategi berkesan untuk dipraktikkan bagi meredakan pergaduhan dalam hubungan cinta!
Menurut kajian daripada University of Chicago, otak kita mempunyai sifat negatif semula jadi yang akan menjadi aktif setelah menerima berita yang kurang baik. Oleh kerana itu ketika marah, kita akan secara automatik mengungkit perkara yang tidak elok atau mengeluarkan kata-kata negatif yang tidak sepatutnya dikeluarkan dari mulut kita.
Jadi, elakkan untuk mengeluarkan kata-kata yang kesat ketika pergaduhan takut nanti pasangan akan lebih terluka. Percayalah, anda akan merasa lebih sedih setelah pertelingkahan berakhir dengan kata-kata kesat yang dilemparkan.
Pergaduhan tidak akan berakhir sehingga salah seorang mengaku kalah dan meminta maaf. Mereka yang selalu memikirkan kemenangan di dalam pergaduhan tidak akan mendapat jalan penyelesaian san menjadi penyebab anda berdua bergaduh.
Mungkin anda boleh biarkan anda berdua tenang seketika dan baru memulakan perbincangan mengenai masalah yang dihadapi. Tengking menengking untuk mencapai kemenangan tidak membawa kepada jalan penyelesaian.
Cara yang paling berkesan untuk menenangkan hati ialah dengan bersujud dan berdoa pada Tuhan. Mohonlah pada yang Maha Esa agar hati si dia menjadi lembut dan eratkan hubungan anda dan pasangan.
Nescaya dengan cara ini, hati dan emosi anda merasa lebih tenang dan semua akan baik-baik sahaja. Mungkin ketika pasangan anda sedang marah dan emosi dalam keadaan tidak terkawal, ajak dia bersama untuk mendekatkan diri pada Tuhan.
Sekiranya si dia sedang membebel dan memarahi anda, pandang ke matanya dan fikirkan sesuatu yang menggembirakan anda tanpa memberi sepenuh perhatian kepada apa yang dikatakannya. Orang sedang marah, pasti keluar sesuatu yang kurang menyenangkan dari mulut mereka dan akan membuatkan anda naik marah juga. Sekiranya anda tidak respons, kemarahan pasangan akan cepat reda.
Ketika pergaduhan, selitkan sedikit unsur positif seperti membuat lawak atau pun memegang tangan pasangan dan memeluknya. Menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of marriage and Family, sedikit keintiman mampu menambahkan keakraban pasangan.
Panggil si dia dengan kata-kata sayang dan ingat susah senang yang anda lalui bersama. Ini dapat memendekkan tempoh pergaduhan anda berdua.
Sekiranya pasangan anda mula membebel atau memarahi anda, jangan membalas setiap kata-kata pasangan anda kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Kawal emosi anda dan lebih baik sekiranya anda hanya mendengar dan mendiamkan diri terlebih dahulu. Berdiam diri bukan bermakna anda bersalah.
Biar si dia menghabiskan dulu kata-kata yang ingin dikatakan pada anda. Sebaik dia selesai, anda boleh duduk bersamanya dan berbincang sekiranya ada perselisihan faham. Dengan cara ini anda boleh meredakan pergaduhan yang dialami dengan lebih tenang dan harmoni.