Bila semua anak dah besar, akan sampai satu fasa suami isteri akan rindu masa untuk buat aktiviti berdua. Buat perkara yang disukai bersama dan waktu inilah paling mahal jika masih panjang umur.
Bak kata Puan Farizal Radzali, rindu yang sebenar-benarnya bagi sepasang suami isteri, bukanlah ketika mereka baru berkahwin. Bukanlah yang baru melalui alam rumah tangga sebulan, 2 bulan waima setahun sekali pun.
“Seharian tak jumpa, rasa setahun lamanya.”
“Suami pergi toilet sekejap pun dah rasa rindu.”
“Isteri hilang sekejap berdebar jantung, rupa pergi sidai kain.”
“Susahnya hati bila suami sakit, rasa macam nak sama-sama sakit dengannya.”
Bukan juga berteraskan kekayaan, anak yang ramai, rumah yang besar, kebahagiaan tanpa sempadan. Semua itu bukan.
TAPI….
Rindu suami isteri yang benar-benar rindu adalah pada masa hanya tinggal mereka berdua.
Mak ayah dah tak ada.
Anak-anak dah ada keluarga sendiri.
Tinggal berdua di rumah yang dulu penuh dengan gelak tangis anak-anak.
Tinggal berdua di rumah yang pernah menyaksikan susah senang meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak yang ada pelbagai ragam.
Pada masa itu, rindunya bukan lagi pada sesiapa, hanya pada pasangannya.
Sesekali kita balik kampung, balik rumah mak ayah, tengoklah mereka punya mengadu.
“Mak kamu tu, selalu lawan cakap ayah.”
“Ayah kamu tu dah tua-tua perangai macam budak-budak.”
“Mak kamu tu sekian sekian sekian.”
“Abah kamu tu bla bla bla…”
Macam-macam aduan masing-masing.
Kita pujuk, sabarlah mak, sabarlah ayah.
Tahu tak, itulah rindu mereka sebenarnya. Itulah luahan rindu mereka.
Rindu nak gaduh.
Rindu nak berceritakan mengenai pasangan mereka.
Gaduh bagai nak rak, pergi kedai, nampak biskut kacang,
“Ayah kamu suka makan biskut ni, beli lah sikit,” padahal tadi baru gaduh ni.
“Ini bungkus sikit kat mak kamu, dia belum makan tadi,” kata-kata ayah bila anak bawa lepak mamak makan roti canai sarapan pagi, sedangkan sebelum keluar tadi marahkan mak sebab mak bebel baju tak letak elok-elok.
30 tahun
40 tahun
Itulah rindu yang sebenarnya.
Susah dah nak bergambar berdua dalam gambar, kerana mereka telah bersatu tak terlerai di dalam hati masing sampai bila-bila.
Andai salah seorang pergi dulu, percayalah, hidup yang seorang lagi kosong sekosongnya. Walau anak-anak cucu cicit, datang berhimpun, tetap pasangannya yang ada dalam kepalanya.
Hingga dia pula mengikut jejak isteri/suaminya. Berharap agar mereka bertemu semula di alam yang satu lagi.