Bila Suami Kuat Sentap, Berhak Ke Isteri Minta Cerai?

Share

Apa hukum suami selalu merajuk, bersikap dingin dan tidak menghiraukan isteri? Suami juga sering menyakiti hati isteri dengan kata kata nya. Berhakkah isteri menuntut cerai kerana ditakuti dharar dari segi aqal di kemudian hari?

JAWAPAN:

Pada asalnya tidak boleh bagi seseorang wanita menuntut cerai sewenangnya daripada suaminya kerana itu ialah akhlak yang buruk. Daripada Thauban RA, bahawa

Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاَقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan makan haram baginya bau syurga.

Hadis riwayat Imam al-Tirmizi (1187) dalam Sunan dan beliau menghasankannya.

Melihat kepada situasi di atas, hal demikian masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana. Tidak sepatutnya cerai terus dijadikan sarana untuk menyelesaikan masalah. Ini kerana Iblis bersukacita dengan kejayaan tentera-tenteranya yang berjaya menceraikan suami isteri. Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ، فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً، يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا، فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا، قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ، قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ

Maksudnya: Sesugguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka mengadap Iblis, seraya berkata: “Aku telah berbuat sekian sekian.” Iblis menjawab: “Kamu tak buat apa pun.” Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: “Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Iblis membalas: “Kamu hebat!”.

Hadis riwayat Imam Muslim (2813)

Justeru, gunalah sarana yang lebih baik seperti bersemuka, atau menggunakan wakil atau hakam daripada kalangan keluarga atau orang yang dipercayai menjadi orang tengah. Baik juga jika dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing untuk khidmat nasihat dan kaunseling.

Adapun dalam keadaan yang tidak boleh dieelakkan, boleh bagi wanita itu meminta cerai jika berlaku dharar seperti:

  1. Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (8/204).
  2. Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. Rujuk Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/345)
  3. Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan.
    Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (7/305)
  4. Suami itu dipenjara dalam suatu tempoh masa yang lama dan isteri itu menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. Rujuk Mausu’ah al-Kuwaitiyyah (29/67).
  5. Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
  6. Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Syeikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami
    yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Syeikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
  7. Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkara Syeikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan isteri itu kegagalan menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
  8. Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya.
    Selain itu penanya juga boleh merujuk Seksyen 52 Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303:

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

 

SUMBER : http://muftiwp.gov.my

Published by
Kim