Hubungan

Bila Sudah Jadi Isteri, Inilah Perubahan Yang Bakal Dihadapi

Share

Hari pertama selepas kahwin dan bergelar isteri, pastinya anda akan alami pelbagai perubahan apatah lagi dahulu anda duduk seorang dan kini sudah berdua. Pastinya debaran akan lebih dirasai apabila hari pertama itu anda masih di rumah mentua. Tentu sahaja sebagai orang baharu dalam keluarga suami, anda ingin menunjukkan ciri-ciri seorang isteri dan menantu yang baik kepada mereka.

Oleh itu sebelum menempuh alam rumah tangga, pastikan anda telah bersedia untuk menerima segala perubahan yang bakal anda alami. Jangan panik atau terkejut kerana proses ini pastinya akan mengajar anda untuk menjadi pasangan yang lebih sempurna di mata orang tersayang.

Oleh itu bagi bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan, ini antara perubahan yang akan anda tempuhi. Pastikan anda bersedia!

1. Bangun pagi

Ingat! Ini paling penting, malah perkara pertama yang anda wajib ubah sekiranya ketika bujang anda sering bangun pagi lewat. Yelah, masa bujang boleh la tidur lama-lama, tapi bila dah kahwin angan-angan nak tidur lama tu haruslah anda buang jauh-jauh. Jangan sesekali menunjukkan sikap malas anda di hadapan suami, apatah lagi ketika itu anda masih lagi berada di rumah mertua. Selepas bersolat Subuh bersama suami, pergilah ke dapur untuk membuat sarapan pagi. Ambillah hati suami agar dia tahu pilihannya memang terbaik. Malah mentua anda pasti gembira melihat anda sudah menyiapkan sarapan pagi bukan sahaja untuk suami malah untuk mereka sekeluarga.

2. Kena memasak

Selepas berumah tangga, ringan-ringankan diri anda menjengah ke dapur dan memasak makanan untuk suami tercinta. Jangan jadikan alasan yang anda tidak pandai memasak kerana zaman sekarang begitu mudah untuk anda mencari maklumat tentang pelbagai resipi hanya di hujung jari. Untuk permulaan, memadai anda memasak yang mudah-mudah untuk suami. Namun semakin hari pastikan anda meningkatkan usaha dengan belajar memasak makanan kegemaran suami daripada mak mertua ataupun kakak ipar bagi memikat hati suami.

3. Jaga kebersihan diri

Apabila sudah bergelar isteri, kebersihan diri sangat penting agar penampilan anda di hadapan suami sentiasa tampak cantik dan sempurna. Mungkin ketika bujang saat hujung minggu anda sering mandi lewat, jadi setelah bergelar isteri mandilah di awal pagi. Wangikan tubuh anda dengan semburan minyak wangi agar suami sentiasa ingin memeluk anda.

4. Kemas bilik tidur

Ini yang sering diabaikan oleh sesetengah wanita. Jika sewaktu bujang anda hanya melipat selimut ala kadar selepas bangun tidur, jangan pula anda lakukan perkara yang sama setelah berumah tangga. Silap-silap hari bulan boleh lari suami anda dibuatnya. Pastikan setelah bangun daripada tidur, cadar dan selimut dilipat dengan kemas dan wangikan bilik tidur anda dengan pewangi. Dengan cara ini akan merangsang mood anda dan suami untuk bersama dalam suasana yang menyenangkan dan romantis.

5. Kena sediakan keperluan suami

Apabila sudah berkahwin, pastinya segala keperluan suami harus diberi keutamaan. Sekiranya dulu anda tidak kisah untuk menggosok pakaian sebelum keluar, tapi saat bergelar isteri, pakaian suami haruslah digosok dan dirapikan. Takkan nak biarkan suami keluar dengan pakaian yang berkedut dan tak kemas. Bahkan keperluan lain juga harus dititikberatkan.

Published by
Putri Adila