Bingkisan Cenderahati Sebagai Tanda Penghargaan Buat Tetamu

Share

Biasan aura romantis jelas terpancar pada iringan cenderahati berhias indah dan mewah. Agungnya cinta yang bertakhta di hati terlakar jelas pada setiap pilihan cenderahti yang dipersembahkan kepada si maharani. Sentuhan magis pada setiap cenderahati membuatkan si pujaan hati terasa begitu dihargai.

Tujuan utama wujudnya cenderahati perkahwinan ialah untuk menunjukkan rasa penghargaan kepada para tetamu yang datang memeriahkan majlis resepsi. Setiap kali hadir ke majlis resepsi perkahwinan tentunya buah tangan daripada mempelai menjadi perhatian tetamu.

Cenderahati berpaksikan tema vintaj misalnya boleh dijadikan pemberian unik untuk dibawa pulang oleh tetamu yang datang memeriahkan majlis hari bahagia pasangan raja sehari.

Bagi pasangan mempelai, cenderahati merupakan perlambangan tanda penghargaan kepada para tetamu kerana kesudian memeriahkan hari bahagia mereka.

Tidak sempurna sesebuah majlis perkahwinan tanpa buah tangan buat para tetamu yang hadir meraikan hari bahagia pasangan mempelai. Pilihan cenderahati tidak tertumpu hanya pada barang hiasan tetapi juga boleh meliputi aksesori perhiasan diri.

Gubahan cenderahati lebih sempurna apabila turut diolah bersama pilihan bunga hiasan daripada fabrik net, sangkar burung dan juga kotak metalik berbentuk heksagon.  Injeksi reben dan bunga hiasan mampu menambah keindahan persembahan cenderahati. Tidak perlu terlalu sarat. Cukup sekadar hiasan minimum.

Raikan kunjungan tetamu dengan iringan buah tangan bertemakan konsep moden English di majlis bersejarah. Pilihan warna-warna lembut cukup ‘sejuk’ dan tenang dipandang. Pasti para tetamu berasa gembira dan rasa cukup dihargai tatkala menerima pemberian ole-ole daripada pasangan mempelai.

Pilihan warna bungkusan cenderahati jangan dilupa. Pilihan warna bungkusan haruslah seiring dengan tema majlis. Jika cenderahati dibuat sendiri, pastikan masa diperuntukkan secukupnya untuk menyiapkan semua cenderahati.

Selain manisan dan bunga telur sebagai cenderahati untuk dibawa pulang, cipta kelainan dengan memberikan set manikur kepada para tetamu. Set manikur misalnya merupakan cenderahati perkahwinan yang sangat praktikal kerana ia bukan sekadar cenderahati yang hanya dijadikan perhiasan tetapi boleh digunakan kelak.

 

 

 

 

 

 

Published by
Hasliza