Buat 7 Perkara Ini Ketika Gaduh Suami Isteri , Agar Wajah Yang Kelat Kembali Sweet

Share

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Mustahil tiada langsung perselisihan faham berlaku di dalam rumah tangga. Perkara ini merupakan situasi yang tidak boleh dielakkan lagi.

Jadi, apa kata daripada membiarkan setiap sesi pergaduhan berlarutan, tetapkan peraturan yang dipersetujui bersama pasangan. Ini bagi menjamin anda dan pasangan masih berada dalam keadaan terkawal walaupun berdepan dengan dalam situasi yang tegang.

1. Jangan bergaduh di khalayak ramai terutamanya di depan anak
Bergaduh di hadapan orang lain hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, masing-masing akan berebut-rebut untuk menang berbanding mencari jalan untuk menyelesaikannya. Perlu diingatkan, jangan sesekali ‘berperang’ di hadapan anak-anak kerana ini akan memberi impak negatif kepada mereka sehingga besar.

2. Jangan bergaduh melalui telefon
Ini termasuk melalui aplikasi seperti WhatsApp dan sebagainya. Ini kerana salah faham sangat mudah terjadi melalui teks. Sedikit salah faham sahaja mampu mencetuskan pergaduhan yang lebih serius. Lebih baik perselisihan faham diselesaikan secara face-to-face. Anda tidak hanya boleh menilai keihlasan melalui kata-kata sahaja tanpa melihat perkara lain seperti nada suara, bahasa tubuh dan ekspresi muka pasangan.

3. Jangan tidur dalam keadaan marah, sebaliknya masih tidur bersama
Seboleh-bolehnya cuba selesaikan perang anda dan pasangan sebelum masuk tidur. Tidur dalam keadaan marah menandakan tiada penyelesaian kepada perselisihan anda, seterusnya akan memanjangkan lagi tempoh perang tersebut sehingga esok hari dan hari-hari yang berikutnya. Jadikan katil tempat anda berdua beradu sebagai ‘fight free zone’. Sebesar mana pun perselisihan faham di antara anda berdua, anda akan tetap tidur bersama.

4. Ambil masa untuk ‘cooling off’


Masa bertenang membolehkan anda dan pasangan berfikir secara waras dan rasional. Perkara ini boleh mengelakkan terjadinya perbalahan dengan nada suara yang tinggi seperti terjerit-jerit dan menengking. Anda berdua akan lebih cepat menyelesaikan perselisihan dalam keadaan bertenang dan rasional.

5. Jangan kongsi cerita gaduh anda dengan ibu, kawan baik atau di media sosial
Meluahkan atau menceritakan hal selisih faham anda kepada orang lain bukanlah jalan menyelesaikan masalah, lebih-lebih lagi dengan meluahkannya di laman sosial. Tanya diri sendiri, apakah tujuan anda berbuat demikian, mahu si dia kelihatan jahat dan anda baik? Secara realitinya, anda bukan sahaja tidak menghormati pasangan, malah membuka aibnya kepada orang lain.

6. Jangan menjerit-jerit atau mengeluarkan kata-kata kesat
Semasa berada di dalam keadaan marah, kita sememangnya cenderung untuk mengeluarkan kata-kata kesat, namun anda sendiri tidak suka jika pasangan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anda bukan? Menjerit-jerit dan mencaci maki mungkin memberikan anda rasa puas, namun untuk seketika sahaja. Pernahkah anda terfikir jika cacian anda itu menjadi satu doa buat pasangan?

7. Cari jalan penyelesaian
Semasa berada dalam situasi tegang tersebut, anda seharusnya sentiasa ingat matlamat utama adalah untuk mencari jalan penyelesaian. Jangan sesekali fokus tentang salah siapa perkara ini terjadi. Anda perlu membuat keputusan tepat untuk bangkit daripada kekecewaan dan kemarahan demi mencari cinta dan kekuatan.

Jadi, tetapkanlah ‘Peraturan Gaduh Aman’ anda bersama pasangan dan paling penting pastikan masing-masing mematuhi peraturan ini. Kalau perlu, tambah peraturan baharu dari semasa ke semasa.

Published by
Bella