Buat Bakal Pengantin, Fahami Perbezaan Jarak Sosial, Pengasingan & Kuarantin. Jangan Ambil Mudah Ya!

Share

Perintah kawalan pergerakan telah bermula sejak semalam, Rabu (18 Mac 2020) susulan wabak COVID-19. Langkah ini telah diambil oleh pihak kerajaan demi membendung wabak tersebut daripada terus merebak di mana ia telah mengorbankan dua nyawa di Malaysia.

Walaupun arahan telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan, nampaknya masih ramai yang kurang jelas dengan istilah yang kerap digunakan berkaitan dengan wabak ini. Malah, masih ramai yang mengambil pendekatan untuk pulang ke rumah tatkala diberi cuti selama 14 hari bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Antara tiga istilah yang kerap digunakan adalah penjarakan sosial (social distancing), pengasingan (isolation) dan kuarantin. Kami kongsikan maksudnya agar anda lebih faham perbezaan ketiga-tiga istilah ini.

Penjarakan Sosial (Social Distancing)

Ia bermaksud mengelakkan diri daripada berada di tempat orang ramai, menjarakkan diri anda daripada orang lain, tidak berjabat tangan dan paling penting, duduk di rumah jika anda tidak sihat. Majikan pula perlu memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga. Kerajaan perlu mengeluarkan arahan agar semua institusi tidak kritikal ditutup.

Acara sukan perlu ditangguh manakala muzium, teater dan konsert perlu dibatalkan. Jika boleh, carilah pengangkutan awam yang tidak sesak atau memandu sendiri jika anda mempunyai kenderaan.

Pengasingan (Isolation)

Individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani pengasingan. Pengasingan dilakukan jika anda disahkan sakit sama ada di rumah atau di hospital. Mereka yang sedang menjalani pengasingan perlu memakai topeng sebagai langkah pencegahan penyebaran droplets yang mungkin mengandungi virus.

Kuarantin

Kuarantin bermakna tinggal di rumah dan menjauhi orang lain semampu mungkin dalam tempoh 14 hari. Individu yang tinggal serumah dengan orang lain perlu mencari bilik atau lokasi berasingan di rumah. Malah, mereka juga tidak boleh keluar pergi membeli-belah, makan atau bersosial.

Jangan tidur di bilik tidur yang sama dengan ahli keluarga yang lain dan cuba gunakan tandas berasingan jika boleh. Jika berkongsi perkakas dengan penghuni lain, basuhlah terus selepas menggunakannya.

Langkah pencegahan dan kawalan akan memberi manfaat kepada masyarakat. Walaupun anda mungkin tiada simptom, anda masih boleh menjangkiti orang lain. Jadi, ambillah langkah berjaga-jaga.

Sumber: Astro Awani

Published by
Naqiyatul Uzma