Selepas PKP, ramai juga yang kembali mengadakan majlis kahwin besar-besaran. Mana yang sudah selesai dengan majlis resepsi, bolehlah menarik nafas lega namun masih ada sindiran apabila majlis diadakan secara sederhana sehingga tak ramai keluarga yang boleh berkumpul.
Tak habis di situ, majlis yang diadakan besar-besaran pun ada juga yang nak mengata! Tak kisahlah mulut orang kan, bukan kita boleh tutup. Paling penting, yang mengeluarkan duit belanja untuk majlis perkahwinan tu tidak ‘ikat perut’ lepas kahwin dek kerana hutang bank meningkat.
Penyakit Hati
Terdapat perbezaan antara ujub, riak dan takabbur. Apa yang selalu menjadi kekeliruan kita ialah untuk membezakan 3 penyakit hati ini. Ya, terdapat perbezaan antaranya.
Ujub
Jika yang dibicarakan adalah berkenaan dengan UJUB, maka kita perlu untuk memahami bahawa ujub ini timbul dalam hati. Ujub ini adalah lintasan-lintasan kecil yang membisikkan bahawa “aku sedang berbuat baik”, “aku hebat mampu berbuat sedemikian”, atau “wah, baik juga rupanya aku.”
Selalunya, ujub ini hadir sebegitu.
Maksud saya, ujub hadir ketika melakukan kebaikan.
Contohnya, tiba-tiba, minggu itu kamu berterusan menjadi orang pertama yang masuk ke surau pada waktu Subuh, hati-hati sahabat, bimbang akan hadir ucapan hati sebegini:
“Wah, mantap jugak aku rupanya, direct bangun paling awal nie.”
Maka, UJUB telah menjelma.
Riak
Beza pula dengan RIAK. Riak merupakan perbuatan yang menunjuk-nunjuk. Secara mudahnya, ketika sedang melakukan amal atau apa sahaja, ketika itu hadir dalam hati niat untuk menunjuk.
Bermakna, riak ini akan terjadi apabila wujud seseorang yang lain. Tidak akan terjadi riak jika tiada siapa yang kita mahu tunjuk, contohnya kamu hidup di sebuah pulau yang hanya kamu di situ.
Kamu melangkah masuk ke dalam surau, baru sahaja ingin melabuhkan punggung untuk duduk tiba-tiba masuk ustaz warden, sebagai Ketua Ibadah, nanti apa pula dia cakap, jadi kamu pun mula solat sunat Rawatib.
Nampak? Ayat “nanti apa pula orang cakap” yang timbul itu sudah cukup untuk membuktikan kamu hanya menunjuk-nunjuk.
Orang yang riak, selalunya tidak istiqomah. Apabila ada faedah, dia akan buat, apabila tiada, dia tidak buat. Maksudnya di sini, jika dia dapat tunjukkan pada orang, dia akan buat, jika tidak, dia tidak buat. Contoh di asrama, selalunya dia akan turun surau awal pada waktu Subuh, tetapi minggu itu, seluruh ahli biliknya pulang ke kampung, dia bukan setakat bangun lewat, malah hanya solat Subuh di biliknya sahaja.
Itu, RIAK.
Tetapi kena ingat, pada orang istiqomah pun riak ini boleh berlaku.
Contoh di surau lagi, setiap malam Khamis akan diadakan qiamullail, setakat ini kamu masih tidak terlepas lagi tetapi minggu itu kawan ajak tidur di rumahnya. Kamu menolak semata-mata tidak mahu terlepas qiamullail itu. Maklumlah, seluruh penghuni tahu kamu masih tidak terlepas lagi. Soalan saya, tidak boleh qiamullail di rumah kawannya saja? Jika dia beralasan di rumah kawannya payah nak bangun dan tiada ‘skuad’ yang mengejutkan seperti di asrama, itu lain cerita. Tetapi, selalunya dia bangun sendiri dengan menguncikan jam dan dia mampu sahaja bangun awal walau di mana pun, mengapa tidak tidur sahaja di rumah kawan dan qiam sahaja di sana?
Jelas RIAK di situ.
Takabbur
Sekarang, TAKABBUR. Ini juga perbuatan hati, dan merupakan penyakit. Seperti ujub, cuma takabbur ialah berasakan kamu adalah lebih hebat dari lainnya. Ujub, kamu puji diri sendiri. Takabbur, kamu bandingkan kamu dengan yang lain dan tinggikan dirimu. Lagi advance!
Dan juga lagi teruk.
Kamu lihat, semua orang adalah lebih rendah darimu dan kamu lebih mulia. Bayangkan, kamu merupakan seorang pemidato yang hebat malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan. Satu masa, kamu menghadiri kursus pidato bersama kawan-kawan yang baru sahaja berkecipung dalam bidang ini. Jika wujud rasa dalam hati bahawa kamulah yang paling hebat, maka takabbur mula menguasai.
Natijahnya, kamu berasa tidak puas hati apabila orang lain yang menjadi ketua dan bukannya kamu. Kamu berasa, bukankah kamu yang memiliki pencapaian yang paling tinggi antara yang lainnya? Mengapa dia pula yang ketua? Ketika ada yang menegur kamu bahawa kamu salah pada sekian-sekian, kamu melenting dan tidak mahu terima malah tergamak berasa yang menegur itu memandai-mandai. Maklumlah, kamu peringkat kebangsaan, dia baru nak mula.
Itu, TAKABBUR.
Juga berlaku takabbur ini jika terdapat perbezaan bangsa, warna kulit dan negara. Di Malaysia, di negara sendiri, tiba-tiba seorang warga asing dari Bangladesh menegurmu kerana memotong barisan di ATM. Kamu pekakkan telinga dengan anggapan jijik dan selekehnya orang yang menegurmu itu.
Jelas benar takabbur di situ.
Takabbur ini sememangnya rasa dalam hati. Jika yang tebal sangat tu, mungkin sehingga ucap dengan lisan.
”Kau siapa nak tegur aku? Kau baru ijazah, aku dah Master kot..”
Sudahlah meninggi diri, merendahkan orang pula.
TUNTASNYA, ini semua penyakit hati. Gambaran ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa buruknya sifat ini dan pelakunya. Syaitan itu sangat licik. Kadang-kadang tanpa sedar, kita telah bersifat dengan ujub, riak, takabbur dan penyakit hati yang lainnya.
Ketika melangkah masuk untuk beribadah, kamu mula berasa kamu hebat. Itu UJUB. Masuk pula seorang kawan, kamu sengaja lamakan ibadah itu atau zahirkan ibadah itu dengan suara atau sebagainya, itu RIAK. Ketika melihat kawan itu tidak beribadah seperti kamu, kamu berasa kamu lebih hebat dan mulia darinya, itu TAKABBUR.
Sia-sia sudah ibadahmu itu.
Malah, Allah dan Rasul melaknatnya.
Moga saya, moga saya, moga saya dan kalian dapat mengamalkan apa yang baik, dan meninggalkan apa yang buruk.
Wallahu ta’ala ‘alam bissowaab..
Sumber asal: http://aku-azharian.blogspot.com