PERKAHWINAN membuktikan manusia meraikan salah satu fitrah mereka yang memerlukan pasangan hidup.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati akan kebesaran Allah.” (Surah az-Zariyaat, ayat 49)
Apabila ingin berkahwin, kebanyakan orang memilih mengadakan majlis untuk menghebahkannya sesuai dengan tuntutan agama. Salah satu tujuannya adalah bagi mengelakkan fitnah.
Antara adab walimatulurus (kenduri perkahwinan) yang perlu dipatuhi adalah:
1. Rasulullah SAW memperingatkan orang-orang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan supaya tidak hanya mengundang golongan berada saja. Golongan itu sudah biasa dengan makanan mewah.
Sebaliknya, golongan miskin dan kurang berada sangat menantikan majlis seumpama itu untuk menikmati makanan yang lazat. Barangkali santapan harian mereka berlaukkan nasi dengan telur dan kicap saja.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Makanan paling buruk adalah makanan dalam walimah yang hanya mengundang orang-orang kaya saja untuk makan, sedangkan orang-orang miskin tidak diundang. Barang siapa yang tidak menghadiri undangan walimah, maka ia derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.”
2. Elakkan pembaziran dalam majlis walimatulurus. Kebanyakan orang muda apabila ingin berkahwin, mereka mengimpikan dream wedding kerana kata mereka itu hanya dilakukan sekali seumur hidup.
Dengan kewangan yang belum stabil dan wang simpanan yang ‘suamsuam kuku’, kebanyakan mereka membuat pinjaman bank dengan nilai yang besar. Semuanya dilakukan demi merealisasikan perkahwinan idaman mereka.
Sesetengah yang suka bersaing ingin mengadakan majllis mereka yang diingati tetamu undangan. Ada yang mengundang artis terkenal untuk menyanyi dengan bayaran yang bukan sedikit.
Akibat kurang matang dalam bab kewangan, mereka tidak tahu kehidupan selepas berkahwin menuntut komitmen kewangan yang jauh lebih besar. Selepas berkahwin, apabila ingin berpindah rumah, sewa bulanan bukannya murah selain ditambah pula dengan wang deposit yang tinggi.
Begitu juga di dalam rumah mesti mahu dilengkapi perabot dan perkakasan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan pelbagai lagi yang semuanya memerlukan belanja.
Lebih kurang setahun selepas berkahwin, apabila isteri akan bersalin, perkara itu juga memerlukan kos yang besar. Ketika berpantang pula, bayaran mengupah tukang urut untuk tiga hari misalnya purata kosnya dalam lingkungan RM500.
Ketika bujang, duit gaji dirasakan banyak kerana belum mempunyai komitmen, tetapi apabila sudah berkeluarga, pasti perbelanjaannya kian bertambah.
Salah sebuah jabatan agama di negara ini mendedahkan, salah satu punca perceraian berlaku kerana bebanan hutang perkahwinan. Sehubungan itu, berpada-padalah berbelanja untuk mengadakan majlis walimatul urus.
3. Elakkan perkara maksiat. Salah satu trend hari ini diadakan sesi karaoke untuk saudara-mara menyanyi. Maka, di situ akan berlakulah pergaulan lelaki dan wanita sehingga melupakan adab dan tatasusila. Berkaraoke pula hingga larut malam tanpa mempedulikan ketenteraman jiran yang ingin tidur, terutamanya kepada jiran yang mempunyai anak kecil.
Selain itu, beberapa hari sebelum majlis berlangsung, saudara-mara akan berhimpun di rumah pengantin. Apabila sudah ramai dan berhimpit-himpit, soal aurat pula diabaikan.
Apabila keluar bilik mandi, ada yang tidak sempurna cara menutup aurat. Seelok-eloknya keluarga pengantin perlu sewa homestay dengan mengasingkan lelaki dan perempuan demi menjaga aurat.
Allah berfirman dalam Surah an-Nahl, ayat 72 yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri berpasang-pasangan, dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit serta dikurniakan kepada kamu daripada benda yang baik lagi halal, maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?”
Gambar hiasan : Tangkap Pictures