Buat Pembedahan Lesung Pipit ‘Palsu’ Sebab Nak Cantik, Akhirnya Pipi Bengkak, Bernanah

Share

Lesung pipit ialah lekukan kecil semula jadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum.

Manakala lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua.

Kredit foto: Pexels

Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit.

Ada yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik. Pembedahan ini bagi ‘mencipta’ lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.

Baru-baru ini seorang wanita berusia 27 tahun mengalami bisul di kedua-dua pipinya selepas menjalani pembedahan pembentukan lesung pipit sebulan sebelum itu. Kesan daripada pembedahan tersebut bermula selepas 10 hari pembedahan.

Pesakit mengalami bengkak yang membesar dengan kesukaran membuka mulut. Doktor terpaksa mengeluarkan nanah pada pipinya secara bius setempat. Pesakit sembuh dalam masa tiga minggu namun dengan kesan parut yang kekal di pipinya.

Pembedahan lesung pipit selalunya selamat jika dilakukan oleh profesional perubatan. Namun ia tidaklah tanpa sebarang risiko komplikasi. Antara komplikasi lain yang boleh terjadi selain jangkitan kuman adalah saraf muka boleh tercedera dan pendarahan. Elakkan mendapatkan khidmat daripada bukan profesional.

Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku. Bagaimanpun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.

Kredit foto: Pexels

Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.

Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya : Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. Riwayat Muslim 2125

Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya.

Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah:

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم

Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.

Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim. Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.

Kredit foto: Pexels

Kesimpulannya mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan hukumnya adalah HARAM. Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.

Pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).

Marilah kita mensyukuri nikmat kurniaanNya serta reda dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya.

Sumber: Public Health Malaysia Laman web Pajabat Mufti Wilayah Persekutuan 

 

Published by
Hasliza