Cincin merupakan lambang dan ikatan dalam sesebuah perhubungan. Sesebuah perkahwinan akan lengkap dengan hadirnya cincin yang tersarung di jari manis pengantin sebagai tanda hati telah dimiliki. Cincin hadir dalam pelbagai corak dan reka bentuk yang pastinya membuatkan bakal pengantin rambang mata.
Untuk memilih cincin kahwin yang sempurna, penting untuk anda ketahui beberapa perkara agar anda berpuas hati dengan pilihan yang telah dibuat. Bimbang jika tersalah memilih cincin kahwin, boleh menyebabkan majlis yang berlangsung hambar.
Oleh itu, jom ketahui tip dan panduan bagi anda yang masih tercari-cari sebentuk cincin untuk dijadikan pilihan buat majlis perkahwinan.
Antara emas yang menjadi pilihan bakal mempelai di luar sana adalah emas kuning dan emas putih. Emas putih sering dijadikan pilihan kerana ia tampak lebih trendy dan bergaya ketika memakainya. Bagi anda yang gemarkan gaya lebih elegan dan eksklusif, anda boleh memilih emas putih sebagai pilihan. Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah keselesaan masa menyarung cincin tersebut. Tanya pada hati, jenis emas yang anda inginkan kerana ia bakal disarung seumur hidup pada jari anda.
Apa yang perlu anda titikberatkan adalah warna kulit, saiz atau bentuk jari sama ada runcing, lebar, besar, kurus dan sebagainya. Ini kerana pemilihan antara emas putih dan emas kuning ini sendiri memainkan peranan yang harus anda sesuaikan dengan ciri-ciri fizikal anda. Emas putih yang berwarna neutral sesuai dengan semua orang sama ada yang berkulit putih atau sebaliknya. Manakal bagi emas kuning pula, ia lebih tampak menarik dan cantik disarungkan kepada mereka yang berkulit cerah.
Sarungkan di jari pasangan anda dan bincangkan tentang kesesuaian cincin tersebut di mata anda. Untuk gadis pula, luahkan pendapat anda. Perbincangan antara kedua-dua belah pihak amat penting bagi mengelakkan salah faham dan tidak puas hati terjadi satu hari nanti. Jangan sesekali membuat keputusan terburu-buru untuk membeli cincin idaman hati. Sebaiknya, mintalah pendapat pasangan agar persetujuan kedua-dua belah pihak tercapai.
Sesuaikan cincin dengan aktiviti atau pekerjaan anda. Jangan terlalu memilih yang hanya cantik di mata anda sahaja sehinggakan anda lupa tentang pekerjaan atau aktiviti harian yang anda lakukan. Sekiranya anda seorang chef, mustahil untuk anda memakai cincin bertatahkan batu berlian yang besar mewah. Jadi buatlah pilihan yang bijak!
Tip paling penting yang harus dititikberatkan oleh pasangan di luar sana ialah bajet. Pada awal pemilihan cincin, jangan membuat pilihan untuk terus membelinya. Sebaliknya cuba bandingkan harga terlebih dahulu. Anda dinasihatkan untuk melakukannya enam bulan lebih awal supaya anda lebih bersedia. Bincangkan dengan pasangan anda mengenai reka bentuk yang anda gemari dan tuliskan bajet yang anda tetapkan untuk membeli cincin. Jangan pula gara-gara ingin membeli cincin, membuatkan anda sampai tidak makan dan mengikat perut. Jadilah pasangan yang bijak dalam membuat pilhan!