Hubungan

Buatlah Solat Taubat, Hubungan Suami Isteri Lebih Akrab Dan Kurang Bermasalah

Share

Solat sunat taubat adalah solat yang disunatkan dilakukan apabila seseorang melakukan dosa atau merasakan diri telah berbuat dosa dan ingin bertaubat kepada Allah.

Kita sebagai manusia biasa, tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf dan dosa.

Dan sebaik-sebaik orang yang berbuat salah dan pendosa adalah mereka yang bersegera bertaubat.

Bertaubat di sini maksudnya ikhlas menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan dan bertekad di dalam hati untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut, serta memohon keampunan daripada Allah.

Solat sunat taubat ini dilakukan sesudah seseorang itu menginsafi kesalahan dirinya sendiri lantas memohon keampunan daripada Allah.

Antara syarat-syarat taubat adalah:

  • Benar-benar menyesal terhadap perbuatan atau dosa yang lalu
  • Meninggalkan perbuatan yang membawa dosa tersebut
  • Bercita-cita tidak akan melakukan perbuatan dosa itu lagi

Tetapi apabila kita melakukan perbuatan dosa terhadap manusia seperti mencuri, mengumpat, memukul dan sebagainya..

… maka hendaklah ditambah lagi satu syarat, iaitu memulangkan semula barang yang dicuri dan memberitahu kesalahan yang telah dilakukan.

Jumlah Rakaat

Tidak ada keterangan khusus berkenaan solat sunat taubat secara terperinci.

Mengikut pandangan kebanyakkan ulamak, solat sunat taubat boleh dikerjakan sebanyak dua, empat dan enam rakaat

Perlaksanaan cara solat taubat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.

 

Lafaz Niat Solat Sunat Taubat

Lafaz niat solat sunat taubat adalah seperti berikut:

 Usolli sunnata taubati rak’ataini lillahi taala 

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala

 

Surah Yang Boleh Dibaca

Pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti oleh surah Al-Ikhlas atau surah lain yang dikehendaki.

Bacaan Dalam Sujud Akhir

Semasa sujud akhir sebelum tahiyat akhir, ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:

Laa ilaaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin

Maksudnya:

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.

 

Bacaan Selepas Memberi Salam

Sesudah salam, perbanyakkan istigfar dan memohon keampunan kepada Allah.

Maka ucapkanlah istigfar berulang kali:

Astagfirullah hal ‘azim allazi laa ilaaha illa huwalhayyu-qoyyum wa atu bu ilaih.

Maksudnya:

Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.

 

Amalan ini sesuai dengan firman Allah:

Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui.

— Surah Aali Imraan: 135

Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah SWT

Iaitu seseorang itu benar-benar menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.

Doa Solat Taubat

Akhir sekali adalah berdoa.

Berdoalah mengikut luahan hati mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah.

Namun jika anda buntu, anda boleh membaca doa di bawah ini untuk memohon keampunan Allah.

Allaahumma annta rabbii laa ilaaha illaa annta khalaq-tanii wa anaa ‘ala ahdika wawa-dika maas-tatha-tu a-uudzu-bika min syarrimaa shana-tu abuu-u laka bini’matika alayya wa abuu-u laka bidzanmmbi fagh-fir-lii fa-innahu laa yagh-firudz-dzunuubaillaa annta 3X.

Astagfirullaahal adzim allazi laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum wa atuubu ilaihi taubata ‘abdin zhalimiin laa yam-liku linafsihi zharran walaa naf-an walaa mautan walaa hayaatan walaa nusyuuran.

Maksudnya:

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku.

Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan.

Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau. Aku mohon ampun kepadaMu Allah yang maha Hidup dan berdiri sendiri dan ku bertaubat kepadaNya.

 

Penutup: Allah Itu Maha Penerima Taubat

Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih

Semoga panduan ini dapat membantu kita dalam melakukan solat sunat taubat dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan dosa dan maksiat.

InsyaaAllah.

Sumber : AkuIslam.com

Published by
Kim