Hubungan

Buatlah Yang Terbaik Untuk Isteri, Walau Cuma Dengan Urut Kaki

Share

Bila dah kahwin, buatlah yang terbaik untuk isteri. Belajarlah menghargai sekecil-kecil perkara yang orang rumah buat.

Kalau berat mulut nak ucap terima kasih, boleh cuba tolong selesaikan apa yang isteri tak mampu nak siapkan. Tengok pinggan mangkuk kotor, cuci. Belum masak, ajar makan luar. Begitu lah…

Nak lagi faham kisah rumah tangga, jemput baca perkongsian Syafiq Ridhwan ini, moga kita saling menghargai.

Buatlah Yang Terbaik Untuk Isteri

Dulu masa baru kahwin, pernah saya cakap dengan bini. “Nanti bolehlah awak tolong buatkan saya bekal makanan setiap hari untuk pergi kerja”. Bini saya kata “boleh saja” sambil tersenyum.

Tahun pertama kahwin. Setiap hari saya bawa bekal ke office. Dan setiap kali tu juga, bila keluar makan dengan kawan-kawan, saya tak kisah menjinjit beg makanan dan makan bersama-sama dengan mereka.

Tahun seterusnya, saya dikurniakan cahaya mata. Rezeki. Pertambahan ahli keluarga membuatkan kehidupan kami menjadi semakin utuh. Tapi sedikit sebanyak ia telah mengambil masa bini untuk melebihkan masa di dapur.

Kalau dulu, bini akan habiskan masa yang agak lama di dapur. Setiap hari dia akan mencuba resepi-resepi baru. Malah ada jua satu ketika, pelbagai lauk dimasak walhal kami berdua je yang makan.

Lain Cerita Bila Ada Anak

Bila ada anak, masa di dapur menjadi semakin kejap. Kadang-kala, tak sampai beberapa minit ke dapur, dia sudah kembali ke dalam bilik untuk menyusukan anak, lepas tu saya ambil alih, dia bersihkan diri dan terus solat.

Itu belum cerita anak menangis ketika dia baru pegang kuali. Kagum betul! Tak pernah dia tinggal tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ajaibnya, masakan dia masih rasa yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Sedap!

Tapi ada juga bila hari yang dia cuti, saya kerja. Bila saya balik kerja, dia akan cakap “Hari ni saya tak makan lagi. Anak tak boleh tinggal. Asyik menangis je nak berteman”. Tanpa banyak soal, saya minta dia bersiap, start kereta dan bawa saja ke mana tempat dia mahu makan.

Besar tanggungjawab seorang isteri. Pengorbanan melahirkan anak sudah cukup besar, belum lagi dia berusaha yang terbaik memberikan untuk si suami.

Pinjamkan Telinga Dan Bahu

Sebagai suami, buatlah yang terbaik untuk isteri. Walaupun dengan sekadar mengurutkan kaki ketika dia mengeluh kepenatan, dan meminjamkan telinga ketika dia cuba meluahkan setiap masalah yang dihadapi di pejabat.

Dan mengucapkan terima kasih untuk setiap hidangan dan mengatakan “sedap awak masak” juga mampu mengurangkan sedikit kepenatan yang dia lalui.
Benar.

Kita pada akhirnya, akan bersama kelak dengan orang yang kita sayang. Dan kita masih punya masa lagi untuk belajar lebih menghargai antara satu sama lain.

Published by
Nadia