Hubungan Fazura dengan suaminya, Fattah Amin tidak dilanda badai tetapi pelakon popular Nur Fazura Sharifuddin ini memilih untuk hidup privasi.
Sebenarnya spekulasi ini mula tular beberapa bulan lalu, mencetuskan pelbagai reaksi dari peminat.
Dalam satu kenyataan, Fazura, 40, mengakui terkejut dengan cerita yang tersebar itu dan menjelaskan bahawa hubungannya dengan Fattah berada dalam keadaan baik.
“Sebenarnya saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okay ke tak. Saya faham peminat nak ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa hubungan mereka bermasalah kerana sudah lama tidak kelihatan bersama dalam media sosial, Fazura menjelaskan bahawa dia dan Fattah telah sepakat untuk tidak lagi mempamerkan kemesraan di media sosial sebagai tanda hormat terhadap isu Palestin.
“Saya faham peminat ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama. Jujurnya, saya memang hadkan ‘posting’ mempamerkan kemesraan dalam media sosial. Saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin. Jadi, saya rasa tak perlulah tunjuk kebahagiaan bersama keluarga dalam media sosial,”
katanya.Fazura juga menjelaskan bahawa dia turut menghadkan perkongsian gambar anak mereka, Nur Fatima Aisya, kerana perasaan yang sama. Bagaimanapun, aktres tersebut mempunyai satu akaun media sosial khas dan ‘private’ untuk berkongsi kehidupan peribadinya.
“Saya ada satu lagi akaun lain dan di situ sesiapa yang mengikutinya boleh lihat foto kami bersama. Boleh juga nampak perkembangan kami,” tambahnya.
Sebelum ini, tanpa sebarang angin atau ribut, media sosial heboh dengan dakwaan bahawa hubungan Fazura dan Fattah kini sedang dilanda badai. Spekulasi tersebut timbul apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi saling meninggalkan komen atau tanda suka di media sosial.
Kisah rumah tangga mereka juga menjadi perbincangan di sebuah laman sembang, di mana pandangan tersendiri mengenai keadaan rumah tangga pasangan itu dikongsikan.
Ada juga yang mempertahankan pasangan selebriti tersebut dengan mengatakan bahawa mereka tidak perlu mempamerkan kebahagiaan di media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.
Kredit gambar: Instagram Fazura