Hubungan

“Bukan Tak Pernah Aku Diberi Harapan Menggunung Tinggi Tapi Kemudiannya Ditinggal Pergi..”

Share

Dalam isu rumahtangga, selalunya wanita dikatakan lebih tabah mengharungi liku-liku kehidupan, namun wanita hanyalah manusia biasa yang sangat sensitif dan lemah berbanding lelaki.

Jika ada masalah keluarga, isteri lah menjadi sasaran utama mengapa berlakunya keretakkan dalam rumahtangga. Wanita mempunyai hati yang lembut, namun sangat kuat. Tetapi jika sudah sampai satu masa hatinya sudah tidak mampu bertahan, dia akan mula rasa tertekan, rasa kecewa dan akhirnya pergi membawa diri.

Bonda Nor kongsi perasaan- perasaan yang sering dilukai.

Bukan tak pernah aku dilambung-lambung kemudian dibiarkan jatuh tersandung,

Bukan tak pernah aku dibelai manja kemudian dibiarkan begitu sahaja,

Bukan tak pernah aku diberi harapan menggunung tinggi tapi kemudiannya ditinggal pergi,

Bukan tak pernah aku dianggap penting kemudian ditinggalkan di saat genting,

Lebih dari pernah!

Sudah biasa!

Aku sudah biasa menjadi pilihan kedua.

Aku sudah biasa berlari sederas mungkin menyelamatkan orang yang aku kasihi, tapi saat aku kesakitan, harus menanggungnya sendiri-sendiri.

Aku sudah biasa berlari ke depan, menunjuk jalan, tapi apabila mereka di depan, aku terkebelakang ditinggalkan keseorangan.

Memberi madu dibalas tuba sudah jadi rutin!
Iya, aku sudah terbiasa berkorban dan terkorban untuk orang lain.

Jadi tak mengapa.

Jika engkau harus pergi, maka pergi.

Jika engkau harus menyakiti lagi dan lagi, terus saja sakiti sampai engkau berpuas hati.

Tak perlu diendahkan aku.

Airmata ini sudah lali menuruni pipi dan sudah biasa kering sendiri.

Hati ini sudah sering terluka dan lukanya sudah biasa terbiar begitu sahaja.

Memang aku sudah lali,
Sudah biasa!

Maka, tak mengapa.
Untuk apa-apa pun tingkah engkau, keputusan engkau, tak perlu risau.

Aku baik-baik sahaja.

Published by
Bella