Walaupun kadang-kadang ada pasang surutnya hubungan rumah tangga itu tapi percayalah suami kalau dia bahagia, dia akan menghargai anda lebih dari segala-galanya. Perkara yang jarang dia lakukan pun akan jadi perkara yang tak disangka oleh para isteri.
Namun begitu, si isteri jangan leka apabila tahu suami anda sedang bahagia. Hargai dan semaikan lagi hubungan itu agar kasih sayang tidak pudar. Jadikan dia keutamaan anda. Anda akan menjadi pasangan bahagia yang membuktikan pada dunia bahawa perkahwinan adalah kebahagiaan, tidak kiralah pada waktu senang mahupun susah.
Nak tahu suami bahagia atau tidak? Ini 11 tanda membuktikan yang suami anda confirm bahagia.
1. SELALU PELUK & CIUM
Apabila dia pulang dari tempat kerja, dia akan menghadiahkan anda sebuah ciuman. Ciuman itu bukanlah hanya sentuhan di pipi tetapi lebih intim. Anda boleh menafsirkan perbuatannya itu bahawa dia sangat gembira pulang ke rumah bertemu semula dengan anda.
2. RINGAN TULANG
Dia membantu anda menguruskan hal dalam rumah dan mahu meringankan beban anda. Dia dengan sukarela mengemas dan menguruskan rumah supaya rumah anda selesa didiami. Bukan itu sahaja, dia turut mendidik anak-anak untuk membuat perkara yang sama. Dia sedar bahawa tanggung jawab mendidik anak bukan terletak hanya di bahu isteri, tetapi juga di bahunya.
3. SELALU MEMUJI ISTERI
Dia suka memberi pujian pada anda. Dia memberi perhatian pada anda dan segala yang anda lakukan. Anda perasan dia memerhatikan anda, tetapi dia tak mampu menghentikannya kerana dia sangat mencintai anda. Dia tidak pernah jemu melihat anda tidak kira apa jua perubahan yang berlaku pada diri anda. Janganlah asyik menghamburkan kata-kata yang tidak sedap didengar seperti “Awak ni, makin gemuk pulak abang tengok”.
4. SENTIASA ‘CALL’, ‘SMS’ ATAU ‘WHATSAPP’
Ads
Apabila dia pergi untuk urusan perniagaan, dia akan menghubungi anda setiap hari dan memberitahu betapa rindunya dia pada anda. Ada juga suami yang baru sahaja sampai pejabat, akan terus membuat laporan, menghantar WhatsApp pada isteri, “Ayang, abang dah sampai”. Sehinggkan ada teman sepejabat kata dia kena queen-control.
Hakikatnya, apabila seorang suami betul-betul bahagia dengan rumah tangga, dia akan merindui isterinya dan ingin selalu bersamanya. Dia sangat setia pada anda dan anda juga tahu kebenarannya.
5. MENJADI SEORANG YANG PENENANG
Dia akan memeluk erat apabila anda menangis. Apabila anda berasa kecewa dan sakit hati sehingga menyebabkan air mata anda mengalir, dia ada untuk anda. Dia akan cuba sedaya upaya memahami apa yang anda lalui walaupun kadang-kadang tidak sesempurna mana.
6. PERKONGSIAN DARI HATI KE HATI
Ini antara tanda suami bahagia yang sangat jelas. Dia akan berkongsi cita-cita dan kesedihannya dengan anda. Senang cerita, selalu ada sesi pillow-talk.
Ads
Perkongsian ini bukanlah sesuatu yang mudah baginya kerana dia perlu memberitahu anda supaya anda boleh menyokongnya dan membantu membina keyakinan dalam dirinya. Apabila dia terbuka untuk berkongsi dengan anda mengenai perancangannya untuk kerjaya, dia mengharapkan anda mendengar dan memberikan sokongan. Dia tahu anda satu-satunya orang yang memahaminya. Rasa cintanya pada anda sangat mendalam dan cukup untuk membuatkan anda memahami dan mendengar curahan hatinya.
7. SELALU SEBUT ‘I LOVE YOU’
Dia akan memberitahu yang dia mencintai anda. Dia akan mengulanginya setiap hari dan anda juga akan membalasnya.
Selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, ada isteri yang akan mula merungut “Awak ni, tak cakap awak cintakan saya pun”; dan kemudiannya dibalas dengan “Eh, awak ni. Kan saya dah cakap masa kita kahwin awal-awal dulu. Tak cukup lagi ke?”. Itu bukanlah perangai seorang suami yang bahagia. Dia suka menyebut selalu kerana dia dapat merasai perasaan cinta tersebut dan dia tahu anda amat suka mendengar kata-kata tersebut.
8. TIDAK MARAH KALAU TAK ‘DAPAT’
Ada jenis suami yang apabila isteri period, dia hangin satu badan. Apabila isteri tidur dan apabila kejutkan tak bangun untuk ‘bersama’, pagi-pagi akan muncung muka.
Ads
Wahai suami, isteri bukan boleh menentukan bila periodnya akan datang. Kadang-kadang, isteri penat melakukan kerja rumah sampai tertidur. Bukannya tidak mahu melayan suami, cuma apabila penat sangat, apa pun tak sedar.
Bagaimana kalau pantang 100 hari? Boleh tahan?
9. TIDAK MALU PANGGIL AYANG ATAU SAYANG DEPAN ORANG RAMAI
Tanda suami bahagia ialah dia bersikap natural pada bila-bila masa. Ada suami yang control macho, tidak mahu tunjuk manja depan public. Ada yang panggil isteri dengan nama sahaja. Maka, suami yang panggil Ayang atau Sayang, atau apa-apa nama manja isteri tanpa rasa malu, itulah lelaki sebenar.
10. TIDAK MALU PEGANG TANGAN ISTERI DEPAN ORANG RAMAI
Kadang-kala kita nampak ada pasangan yang sudah tua tetapi masih lagi berpegangan tangan. Terus terdetik dalam hati, “Oh… sweetnyaaa….!”.
Ramai yang inginkan momen seperti itu. Ramai yang ingin kedut bersama-sama apabila menginjak usia tua.
11. SELALU AJAK SOLAT BERJEMAAH
Bila suami tidak ke masjid atau surau, dia akan ajak isteri solat bersama. Dia faham konsep jika solat berjemaah, dapat pahala 27 kali ganda. Oleh kerana sayangkan isteri, dia mahukan isteri mendapat pahala bersama-sama.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alhamdulillah, tahun ini kita berpuasa dengan suasana yang cukup sederhana. Paling penting, kita berada bersama orang yang kita sayangi.
Sebagai umat Islam, semestinya kita akan berusaha dan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah demi pahala yang berlipat ganda. Antara satu amalan yang sering terlepas pandang adalah berdoa sebelum waktu berbuka.
Tahukah anda bahawa sebenarnya sebelum berbuka adalah antara waktu yang afdhal untuk kita berdoa. Jom kita baca perkongsian oleh Syed Hameed tentang doa sebelum berbuka puasa ini.
DAHSYATNYA DOA SEBELUM BERBUKA PUASA
Ada suatu waktu yang mustajab untuk berdoa, dimana doa tersebut tidak akan ditolak oleh ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala, iaitu berdoa saat menjelang berbuka puasa dan menjelang makan sahur.
Tetapi, sayangnya banyak kaum muslimin tidak mengetahuinya atau tahu tapi mengabaikannya.
Di Mekkah dan Madinah, satu jam sebelum azan maghrib orang-orang sudah menadahkan tangan ke langit berdoa untuk kemudahan dari segala hajat, baik hajat dunia mahu pun akhirat, mereka berdoa dengan syahdu sepenuh keyakinan, sampai-sampai air mata mereka mengalir deras.
Kesalahan yang dilakukan kaum muslimin ialah dengan menyibukkan diri pada waktu yang sangat mustajab ini dengan cara sibuk bersiap untuk berbuka menjelang azan maghrib kemudian berkumpul menghadapi hidangan berbuka dan mereka sudah merasa cukup dengan hanya membaca “Allahuma lakasumtu… atau dzahaba zhoma’u padahal hanya mencakupi maknanya berupa ucapan syukur sahaja.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.” (HR Ibnu Majah)
Ketika kita sibuk-sibuk menyediakan juadah berbuka pastikan kita spare sedikit masa, sekitar 3-5 minit sebelum masuk waktu berbuka, untuk menadah tangan berdoa kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala.
Ayuh kita amalkan doa ringkas ini setiap kali kita berbuka puasa.
Cadangan doa ini sebagai panduan sahaja, boleh diubah mengikut hajat masing-masing.
Cadangan doa ketika berbuka puasa:
1. Bertambah iman
2. Sihat tubuh badan
3. Mati yang baik.
4. Murah rezeki.
5. Anak soleh.
6. Keluarga bahagia.
7. Rahmat ALLAH.
8. Jauh azab kubur.
9. Lapang dada.
10. Kekalkan iman.
11. Ampunkan dosa.
12. Anak2 berjaya.
13. Perniagaan yg diberkati.
14. Jauhi segala penyakit.
15. Ibadat diterima.
16. Mudah segala urusan.
17. Diterima taubat.
18. Lapangkan kubur.
19. Mudah bayar hutang.
20. Lailatulqadar.
21. Syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
22. Syurga Firdaus.
23. Jauhi neraka.
24. Terima kitab tgn kanan.
25. Selamat meniti Sirat.
26. Selamat fitnah Dajal.
27. Ketenangan hati.
28. Doa ibubapa.
29. Keluarga yang dirikan solat.
30. Diterima puasa Ramadhan.
Memang susah untuk lepaskan seseorang itu pergi. Apatah lagi bila sudah bersamanya untuk sekian lama…bertahun-tahun lamanya…
Dia adalah orang yang pernah berjanji tak akan pergi walau apa sekalipun yang terjadi…
Dia adalah orang yang selalu jadi peneman untuk setiap perkara yang kita lakukan…
Dia adalah orang yang selalu dengar cerita-cerita kita saat semua orang tak pedulikan kita…
Memang susah. Susah untuk lupakan segalanya. Mana mungkin untuk melupakan segalanya dalam satu hari…
Tapi sampai bila? Sampai bila kita nak terus hidup bersama kenangan yang sudah berlalu pergi…
Sampai bila nak berharap dia akan kembali macam dulu. Sampai bila nak terus menoleh ke belakang? Mencari jejak2 yang telah hilang…
“Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Maka, ikhlaskan hati untuk menerima. Allah tak izinkan, bermakna Allah tak redha. Sesungguhnya Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.”
Jika terus hidup bersama kenangan, memang mustahil untuk kita lupakan dia…Move on. Ubah cara hidup kita…Kalau selama ini kita menjauh dari Allah, apa salahnya kita ambil peluang ini untuk dekatkan diri dengan Allah…
“Allah akan memberikan jalan keluar bagi hamba2Nya yg bertaqwa”
Manusia akan pergi tinggalkan kita juga walau sejuta janji manis yang dia taburkan, walau segunung harapan yang dia berikan…Tapi Allah tak pernah begitu…Allah sentiasa ada untuk hambanya…
Itu yg kita selalu lupa bila kita syg manusia melebihi Allah…
Busana perkahwinan dan renda memang sukar untuk dipisahkan. Sulaman renda ibarat pelengkap dan penyeri buat busana perkahwinan. Sebut sahaja fabrik renda, pelbagai jenis nama dan fabrik renda boleh didapati di gedung-gedung menjual kain. Berikut beberapa jenis renda yang masih popular dipakai sempena majlis perkahwinan sehingga ke hari ini.
Renda Chantilly
Fabrik jenis ini sangat ringan dan jahitannya juga sangat halus. Jika diamati, renda sebegini turut mempunyai kualiti yang murah. Berhati-hati ketika memilihnya kerana renda ini membolehkan anda nampak gah dan ada juga yang menampakkan anda tidak berseri. Kesemuanya bergantung kepada tahap kualiti renda ini.
Renda Vintaj
Renda vintaj merupakan jenis renda yang dihasilkan daripada proses mengait. Ia juga merupakan jenis renda tertua dan memerlukan waktu yang cukup lama dalam proses pembuatannya kerana diusahakan menggunakan tangan sepenuhnya.
Renda Berkait
Renda ini mempunyai tekstur yang lembut. Benang pada renda ini biasanya dijahit agak tebal sehingga membuatkan baju lebih bersifat fleksibel dan memudahkan pergerakan tanpa batasan. Jika renda ini mengikut ukuran badan yang tepat, ia boleh menyerlahkan bentuk badan bakal mempelai.
Renda Bunga
Renda bunga merupakan jenis renda yang diperoleh daripada modifikasi bahan-bahan yang dihasilkan menjadi bunga dan dijalin bersama bahan seperti tile, organdi mahupun flannel. Khusus untuk renda bunga yang berukuran besar biasanya lebih banyak diaplikasikan dan dijahitkan satu-persatu pada fabrik kain.
Renda Alencon
Namanya diambil bersempena negara asalnya iaitu Alencon yang terletak di Perancis. Kebanyakan renda jenis ini mempunyai corak bunga-bungaan di bawah fabrik berjaring yang menghasilkan efek menawan jika dipakai. Renda sebegini juga kebiasaannya dipakai mengikut bentuk badan seakan-akan melekat pada tubuh.
Renda Tile
Renda tile mempunyai tekstur yang nipis, lembut dan jarang dengan bahan dasar kain tile atau broked. Renda tile ini dapat diaplikasikan pada gaun pengantin, baju untuk majlis formal, kebaya dan kerudung. Ia memberikan kesan yang lebih anggun dan mewah.
Renda Guipure
Ia juga dikenali sebagai renda Venetian dan memiliki corak yang lebih jelas. Walaupun renda Guipure bersifat lebih kasar dan berat, namun ia tidak memerlukan kain jaring di bawahnya. Kebiasaannya sulaman renda ini dijahit bersama kain tanpa corak.
Tip Memilih Renda
Pemilihan renda amat penting bagi memastikan busana pilihan anda tampak cantik dan sempurna. Sulaman renda yang bersesuaian memberi kesan yang lebih elegan dan eksklusif buat penampilan ratu sehari. Pastikan anda memilih renda yang tepat agar anda tampil menyerlah di majlis hari bahagia.
Untuk kelihatan mewah dan cantik, pilihlah lacedengan corak bunga yang jelas menampakkan bentuk dan coraknya.
Jika anda mempunyai bentuk badan yang agak besar, elakkan membeli bentuk bunga renda yang besar, sarat dan berkilat. Anda boleh bergaya dengan renda yang mempunyai manik dan labuci tetapi pastikan bentuk bunga itu kecil dan tidak terlalu besar agar anda masih tampak manis dan ayu.
Untuk menjimatkan kos, anda boleh menggunakan renda di bahagian atas baju atau bahagian tertentu sahaja. Selain memberikan kesan yang lebih ringkas dan minimalis, penggunaan renda yang tidak keterlaluan dapat menjimatkan wang. Selain itu, hiaskan sedikit renda berlebihan di layah agar anda tampil lebih menawan.
Elakkan daripada membeli renda yang terlalu murah dan tidak berkualiti. Pemilihan renda yang tidak berkualiti memberikan kesan yang tidak menyerlah dan kelihatan murah. Selain itu, pemilihan rona renda juga harus sesuai dengan rona kulit anda. Pilihlah rona renda dengan palet pastel agar anda tampak lebih manis dan menyuntik aura yang lebih menyerlah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!