Bulan Madu Ke Hanoi? Apa Salahnya!

Share

Sesekali tidak salah kiranya lari daripada kebiasaan. Kalau pasangan lain kerap memilih destinasi bulan madu yang gah seperti Kota London, Paris, Bali atau Phuket, apa kata anda dan pasangan mencuba lokasi yang mungkin underrated, Hanoi contohnya.

Bandar yang terletak di negara Indo-China ini memang tidak sehebat kota-kota di Eropah, tetapi ia juga punya sisi yang tidak kurang hebatnya. Paling penting, Hanoi menjanjikan elemen romantik buat pasangan yang ingin berbulan madu ke sini.

Mengapa begitu? Ini kerana Hanoi punya warisan sejarah yang menyuntik suasana Eropah dek kerana ia pernah menjadi wilayah jajahan Perancis pada abad ke 19. Banyak bangunan-bangunan kolonial yang menjanjikan latar belakang menarik untuk anda merakam memori bersama pasangan.

Malah, kekayaan budaya dan warisan masyarakat setempat jua memberi pengalaman yang cukup bernilai. Jika bijak berimaginasi, mungkin boleh merencana sesi penggambaran bertemakan filem klasik ataupun kononnya berada di negara Eropah. Paling penting, rancang dengan teliti.

Pilih hotel yang menjanjikan penginapan selesa

Bagi memastikan trip bulan madu anda melakar detik-detik manis, hotel penginapan merupakan satu perkara yang jangan sekali-kali diabaikan. Pilih hotel yang sesuai dengan bajet dan dirasakan mampu memberikan pengalaman menggembirakan. Sebagai pasangan yang sedang berbulan madu, pasti anda dan pasangan tidak mahu terperangkap di dalam bilik hotel yang membosankan.

Satu pilihan terbaik jika memilih Pullman Hanoi sebagai lokasi penginapan. Hotel bertaraf 4.5 bintang ini memang satu pilihan yang cukup bijak. Mempunyai lokasi yang strategik (terasing dari Old Quarter yang sibuk dan padat), Pullman Hanoi juga menawarkan pakej bulan madu yang pastinya membuat anda tersenyum lebar.  Ini kerana ia direka atau disusun mengikut permintaan anda, bahkan ada unsur kejutan yang mungkin tidak disangka-sangka.

 

 

Berkesempatan berbulan madu di hotel ini baru-baru ini, penulis nyata terpegun dengan layanan yang diberikan.  Ianya menjangkaui ekspektasi memandangkan caj yang dikenakan tidaklah terlalu mahal memandangkan hotel ini bertaraf lima bintang.

Layanan bagaikan VIP bukannya bermula sebaik tiba di lobi hotel, sebaliknya di saat kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai. Apa tidaknya, ada pemandu yang datang menjemput. Perjalanan ke hotel mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung kepada keadaan.

Sambil diulit dengan pemandangan di luar tingkap, bolehlah menyegarkan tubuh badan dengan air mineral yang tersedia bersama sebekas Macaroon dan coklat  tanda kunjungan dialu-alukan pihak hotel. Tuala basah turut tersedia bagi menyegarkan wajah. Tiba di Pullman Hanoi, petugas hotel membantu untuk urusan daftar masuk yang mengambil masa kurang dari 10 minit.

Menjengah masuk ke kamar,  hati tambah berbunga riang kerana Deluxe Executive King dihias cantik mengikut tema bulan madu. Kelopak Mawar berbentuk hati yang menghiasi katil menyuntik mood romantik. Selain itu terdapat juga jambangan Mawar di meja kecil yang turut menghidangkan kek, sparkling juice dan juga Phu Thê Rice Cake

yang menjadi simbol  suami dan isteri bagi masyarakat tempatan.

Ketika mahu merebahkan badan di tilam yang empuk, penulis sekali lagi terkesima kerana baru menyedari terdapat tenunan nama sendiri dan suami di sarung bantal. Patutlah petugas hotel sempat berbisik tadi yang mereka ada kejutan buat kami berdua. Selain itu terdapat juga nota tulisan yang memberitahu, kami boleh membawa pulang kedua-dua sarung bantal berkenaan.  Idea yang ditampilkan pihak hotel ini memang lain daripada lain. Mana tahu giliran anda nanti ada kejutan yang lebih wow!

Merakam memori di Kota Hanoi

Biarpun jatuh cinta dengan kamar dan kemudahan yang ada di Pullman Hotel Hanoi, mana mungkin masa dihabiskan dengan  berpeleseran di hotel sahaja. Jadi ke mana harus kaki melangkah? Ingat tujuan anda ke sini. Mahu berbulan madu bukan? Jadi jangan sesekali  lepaskan peluang singgah ke  Hoan Kiem Lake.

Tasik Hoan Kiem adalah titik tumpuan Kota Hanoi. Ia adalah tempat yang popular untuk pasangan  bertemu dan berbual-bual terutama di hujung minggu. Lokasi ini juga popular di kalangan pengantin baru yang mahu merakam memori di hari istimewa mereka.

Turtle Tower di tengah-tengah tasik adalah latar belakang  yang mesti ada di dalam kebanyakan foto perkahwinan Vietnam.  Jadi, ambil peluang yang ada untuk anda dan pasangan pula bergambar kenangan di sini. Satu lagi sudut fotografi yang popular di tasik ini ialah jambatan merah di Kuil Ngoc Son. Jambatan ini tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelancong.

Untuk merakam memori romantik berlatarkan matahari terbenam, bolehlah ke West Lake yang terletak di daerah Tay Ho. Tay Ho  adalah kawasan yang sedang berkembang pesat di sekitar tasik air tawar terbesar di Hanoi.  Ramai penduduk tempatan ke sini bagi mengelakkan kesesakan di pusat bandar.

Satu aktiviti popular di sini ialah menyewa bot angsa. Sambil berdayung dan menikmati keindahan alam, bolehlah berbual-bual tentang hati, serta tentang masa depan bersama.  Selepas itu, lihat matahari terbenam dengan pemandangan tasik yang menakjubkan.

Jika punya masa, luangkan sehari dua ke Halong Bay untuk merakam foto-foto menarik bersama pasangan. Terletak 180 kilometer di utara Hanoi, perjalanan ke Halong Bay mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai. Biarpun memenatkan, ia berbaloi kerana tapak warisan dunia ini menawarkan landskap alam memukau.

Ratusan kapal besar dan bot nelayan yang keluar masuk ke Halong Bay atau Teluk Naga memberikan pemandangan pelabuhan silam. Kehadiran kapal-kapal layar kayu seakan-akan membawa pengunjung kembali ke era dahulu.

Terdapat 1,969 pulau batu kapur yang bertaburan di Halong Bay di mana kebanyakannya belum dicemari oleh pembangunan. Paling terkenal ialah Gua Hang Dou atau Grotte des Merveilles yang diterokai oleh warga Perancis pada abad ke-19.

Teks: Sri Rahayu Mat Nah

Published by
Putri Adila