Berita

Calon Isteri Tarik Diri Saat Akhir, Majlis Kahwin Bertukar Jadi Doa Selamat

Share

Tular satu video berkenaan calon isteri tarik diri saat akhir, ibu pengantin lelaki terus melangsungkan majlis doa selamat untuk menggantikan masjlis perkahwinan.

Ibu kepada pengantin lelaki mengumumkan bahawa majlis perkahwinan anak bujangnya tidak dihadiri oleh pengantin perempuan.

Calon Isteri Tarik Diri Saat Akhir

Dengan berat hati, ibu pengantin memaklumkan pengantin perempuan telah membatalkan perkahwinan pada saat akhir iaitu beberapa hari sebelum majlis berlangsung.

“Dengan berat hati saya dan keluarga ingin memberitahu, atas sebab-sebab tertentu, pengantin perempuan telah membatalkan perkahwinan ini pada saat akhir, yang mana segala persiapan majlis di sebelah kami telah pun siap sepenuhnya,” kongsinya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pengantin lelaki yang dikenali sebagai Adam bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak membatalkan majlis kerana jemputan telah pun dibuat.

Majlis Kahwin Bertukar Jadi Doa Selamat

Menurut ibu tersebut, beliau dan keluarga tidak mempunyai kekuatan untuk menjawab pertanyaan para jemputan jika mengetahui majlis anaknya dibatalkan.

“Saya tidak dapat membatalkan majlis kepada jemputan kerana ketika itu saya tidak mempunyai kekuatan.

“Saya juga tidak mampu untuk menjawab setiap soalan yang akan ditanya oleh jemputan.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk meneruskan majlis ini memandangkan persiapan telah dibuat dan pada masa sama, saya perlu memberitahu sendiri dalam majlis ini nanti,” ujarnya.

Malah, pihak keluarganya memilih untuk mengadakan majlis doa selamat bagi menggantikan majlis resepsi pada hari tersebut.

“Saya dan keluarga telah mengadakan majlis doa selamat pagi tadi diketuai oleh ustaz dan anak-anak maahad tahfiz,” kata beliau lagi.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya tidak putus-putus memberikan sokongan dan kata-kata semangat buat jejaka tersebut.

Published by
Nadia