Seringkali pengantin bertubuh besar runsing apabila memikirkan baju perkahwinan untuk disarung di hari bahagia. Bimbang akan tampak lebih besar serta mempunyai masalah untuk mencari baju perkahwinan yang sesuai dan sempurna.
Untuk kelihatan memukau di hari perkahwinan, ada beberapa tip yang boleh pengantin bertubuh besar cuba dan praktikkan. Selain tampil anggun, pastinya pengantin bertubuh besar inginkan penampilan dirinya nampak kurus dan lebih langsing.
Agar pasangan anda terpesona melihat keanggunan anda menyarungkan baju kahwin dengan tubuh yang kelihatan kurus, jom ketahui tujuh tip ini.
Memakai korset adalah salah satu cara agar postur badan tampil lebih menarik dan terletak. Selain memberikan bentuk tubuh yang lebih kemas, korset dapat membantu anda untuk membentuk figura tubuh agar tidak bongkok dan menyembunyikan lemak-lemak yang menggelebeh.
Pastikan ukuran baju yang diambil adalah tepat dan sempurna. Jangan memilih baju kahwin yang terlalu ketat. Elakkan daripada memilih baju kahwin yang terlalu longgar bimbang ia akan membuatkan tubuh anda nampak semakin besar. Apa yang penting adalah keselesaan untuk anda bergerak sepanjang majlis berlangsung.
Baju pengantin yang dipilih haruslah tidak terlalu sarat kerana bimbang anda bakal kelihatan lebih besar. Sebaiknya, pilihlah perincian manik atau jemeki yang minimalis dan tumpukan hanya pada satu-satu bahagian sahaja. Elakkan juga dari pada meletakkan perincian di bahagian yang menonjolkan tubuh anda yang besar.
Bagi pemilihan aksesori pula, pakai aksesori yang kecil dan tidak terlalu besar. Aksesori yang besar hanya menampakkan penampilan anda berlebihan dan terlalu sarat. Cukup hanya memakai tiara dan subang sahaja bagi melengkapkan gaya. Pasti penampilan anda akan menyerlah dan elegan.
Bagi merelka yang bertubuh besar, anda harus peka dengan potongan baju yang ingin dipilih. Jangan memilih potongan baju yang terlalu sarat sehingga menenggelamkan diri anda. Potongan yang paling ideal untuk anda ialah seperti kurung moden, empire line dan potongan sheath. Potongan ini mampu memberi ilusi yang lebih kurus dan langsing buat tubuh anda.
Bagi membiaskan ilusi yang lebih langsing buat pengantin bertubuh besar, anda boleh memilih warna yang sedikit gelap seperti emerald green, navy blue, coklat gelap, dan midnight blue. Selain itu, anda juga boleh memilih rona pastel untuk dijadikan pilihan. Namun harus diingatkan, pilihan warna juga perlu sesuai dengan tona warna kulit anda.
Sesetengah pengantin yang bertubuh besar takut untuk mengenakan kasut tumit tinggi di hari perkahwinan. Mereka beranggapan kasut tumit tinggi tidak sesuai untuk mereka selain menyukarkan mereka untuk bergerak. Anda juga boleh mengenakan kasut tumit tinggi di majlis perkahwinan dengan memilih jenis kasut yang bersesuaian. Pilihlah kasut bertumit yang tidak terlalu tinggi antara dua hingga tiga inci. Selain itu, anda juga boleh mengenakan kasut jenis wedges bagi mendapatkan keselesaan yang optimum.