Semua wanita di dunia ini mendambakan suami idaman selaku ketua keluarga yang dapat memimpin sebuah rumahtangga. Lelaki memainkan peranan penting dalam menjalankan tanggungjawab untuk membimbing isteri bersama menuju redha Allah SWT dalam membentuk sebuah keluarga sakinah.
Oleh itu, para suami perlu mengamalkan sifat-sifat mulia seperti bersabar, ringan tulang, saling bertolak ansur, pemurah dan sebagainya. Tidak dinafikan, keegoan lelaki itu tinggi. Namun tidak salah sebaga seorang suami merendahkan sedikit ego dalam diri kepada seorang isteri yang telah anda nikah.
.
Berikut adalah ciri-ciri suami idaman seorang isteri (atau bakal isteri) yang anda boleh praktiskan. Pasti isteri lebih sayang jika para suami (atau bakal suami) mempunyai ciri-ciri sebegini.
.
Ringan tulang
Bantulah isteri untuk sama-sama membuat kerja rumah walaupun isteri tidak minta. Terasa ringan sedikit kerja isteri di rumah dengan bantuan anda. Sambil-sambil menolong hiburkanlah hati isteri untuk bergurau senda. Isteri lebih menghargai sekiranya anda dapat bersama-sama membantu mengemas rumah. Amalan ini juga dapat mengeratkan hubungan anda suami isteri.
Bertolak ansur
Amalkan untuk kerap berbincang dalam membuat sebarang keputusan dalam rumahtangga. Jangan biarkan isteri sendirian mencari jalan penyelesaian. Jadilah suami yang mempu menjadi telinga untuk mendengar dan bahu untuk isteri bersandar. Dengan adanya perbincangan, maka timbulnya sifat saling bertolak ansur antara satu sama lain. Isteri dapat memahami suami dan begitu juga sebaliknya. Masing-masing boleh memberi pandangan untuk mencapai kata sepakat.
.
Belanja isteri
Lebar senyuman puan isteri jika suami dapat belanja isteri walaupun hanya sehelai tudung baru. Walaupun anda telah memberikan tuntutan nafkah keperluan yang mencukupi pada setiap bulan, tidak salah sekiranya belanja isteri jika ada rezeki lebih. Percayalah, rezeki anda bakal bertambah dengan selalu bermurah hati pada isteri. Elakkan dari sifat kedekut dan berkira dengan isteri sendiri.
Ambil berat
Ringan mulut untuk sentiasa bertanya khabar isteri walaupun tinggal sebumbung. Apabila sampai di rumah, terus peluk isteri dan tanya mereka apakah aktiviti seharian yang mereka lakukan. Jika anda merupakan pasangan yang hidup berjauhan, hubungilah isteri setiap hari. Jangan biarkan hati isteri terasa sunyi.
Solat berjemaah
Tunaikan solat berjemaah sekali sehari walaupun tidak dapat memenuhi lima waktu solat. Jadikan solat berjemaah sebagai amalan dalam keluarga. Jadikanlah isteri sebagai makmum kepada solat anda dan anda sebagai imam kepada solat isteri. Bahkan, suami juga boleh mengajak isteri untuk membaca al-Quran bersama. Insya-Allah, rumah tangga akan makin harmoni apabila kita menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup.
Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Tentu anda nak jadi Mukmin sejati, bukan? Mari kita mulakan dari sekarang dengan menjadi suami yang terbaik buat isteri-isteri semua.