Setiap manusia punya takdir jodoh yang berbeza-beza. Ada yang cepat, ada yang lambat dan tak kurang juga yang langsung tak ketemu jodoh hingga ke akhir hayat.
Namun yang pasti setiap jodoh itu ialah urusan Allah, malah jika tiada jodoh juga merupakan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
Selain kehendak Allah, tanpa anda sedar mungkin ada antara perkara-perkara yang telah anda lakukan menjadi penghalang untuk anda mempercepatkan jodoh anda.
Melakukan perbuatan syirik merupakan dosa besar kerana ia menyekutukan Allah dengan yang lain. Baikilah hubungan anda dengan Allah dengan memperbanyakkan ibadat dan mintalah pertolongan kepada-Nya agar diberi jalan yang mudah untuk mendapat jodoh. Jangan mengharapkan bantuan daripada tukang ramal, bomoh atau sebagainya yang tidak mengamalkan ajaran Islam.
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya daripada azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya daripada azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya, janji Allah itu adalah benar, jangan lah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan janganlah kamu diperdayakan oleh bisikan Syaitan.” (Al-Luqman, ayat 33)
Solat merupakan tiang agama yang diwajibkan Allah kepada setiap manusia. Jika anda tidak bersolat maka Allah tidak dapat mendengar rintihan anda sekali gus memakbulkan doa anda. Begitu juga kepada mereka yang sering melambatkan solat ke penghujung waktu maka tidak hairanlah jika Allah tidak mengutamakan doa-doanya.
“Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (Al-Maa’un, ayat 4-5)
Berzina merupakan perbuatan keji yang sangat dimurkai Allah. Dalam kisah Nabi Musa terdapat penolakan taubat seorang wanita yang sebelumnya telah melakukan zina. Ini memberi maksud bahawa perbuatan zina akan merosakkan hubungan manusia dengan Allah termasuk urusan jodoh. Jika anda pernah melakukan zina, segeralah memohon keampunan kepada Allah atas dosa yang pernah anda lakukan.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu ialah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Israa’, ayat 32)
Cuba renungkan adakah anda pernah melakukan dosa terhadap kedua orang tua? Allah sangat murka kepada mereka yang melakukan dosa terhadap kedua orang tua atau salah seorang daripadanya kerana ia akan menutup segala sumber rezeki termasuk jodoh.
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (al-Israa, ayat 23)
Jika anda mengalami kesulitan dalam urusan jodoh sebaiknya anda periksa bagaimana hubungan silaturahim anda dengan saudara mara dan orang sekeliling. Bersikap sombong dengan memutuskan silaturahim turut memberi kesan terhadap jodoh.
“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujuraat, ayat 10)
Mengambil sumber haram atau melakukan perbuatan haram juga dapat menjauhkan seseorang daripada jodoh. Jika rezeki yang anda peroleh halal, periksa semula adakah anda sudah mengeluarkan zakat. Ini kerana dalam harta kita terdapat hak-hak orang lain yang harus kita keluarkan.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (An-Nisa’, ayat 29)
Fitnah dan mengadu domba juga termasuk dalam perkara yang menjauhkan anda daripada jodoh. Perkara yang terarah kepada adu domba ini jauh lebih buruk kerana ia boleh membawa kepada fitnah.
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujuraat, ayat 12)
Salah satu cara untuk mendapatkan jodoh adalah dengan memperbanyakkan sedekah dan menjauhkan sifat kedekut dalam diri sendiri. Dengan bersedekah juga akan memberi jalan mudah untuk Allah salurkan rezeki kepada anda.
Dengan mengetahui lapan halangan ini membolehkan anda memperbaiki diri ke arah yang lebih baik sekali gus berusaha dan berdoa agar anda dikurniakan jodoh dan pasangan yang terbaik.