Dalam rumah tangga, suami isteri mesti sama-sama memainkan peranan masing-masing kerana masing-masing saling memerlukan. Baik suami mahupun isteri, masing-masing punya kelemahan.
Jika kita hanya mencari kesempurnaan, kita akan mula nampak atau ternampak kekurangan masing-masing. Mulalah nampak perkara-perkara kecil yang menjadi kekurangan seperti sikap malas membantu membuat kerja rumah, suka melawan, suka mengungkit dan sebagainya yang negatif tentang pasangan kita.
Bagaimanapun jika kita fokus pada perkara yang besar dan lebih penting, yakni tentang hala tuju keluarga, maka perkara-perkara kecil itu tidak menjejaskan apa-apa pun dari segi hubungan dan perasaan. Tetapi, kalau kita sibuk dengan perkara yang kecil-kecil dan remeh-temeh, akhir perkara itu menjadi besar dan mendatangkan kesan yang besar.
Istilah ‘Isteri Cerminan Suami’ seakan sudah sinonim dengan masyarakat kita. Bagaimana seorang melayan isteri maka begitulah yang akan dilakukan oleh si isteri. Pendek kata sikap isteri sangat bergantung pada sikap seorang suami.
Namun ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan ungkapan ini termasuklah Cikgu Mohd Fadli Salleh
Cukup terkenal menyuarakan pandangan dan kebenaran di dalam sistem pendidikan negara, pendidik ini juga gemar melontarkan pendapatnya berkaitan isu-isu semasa.
Berikut perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh
Maaf, saya langsung tak setuju dengan ayat ‘isteri cerminan suami.’
Isteri itu ada akal yang waras, segala tindak tanduk mereka bergantung pada cara mereka mengawal emosi, cara mereka berfikir.
Langsung tak boleh nak salah pihak lain terutamanya suami bila seseorang isteri meroyan, merentan, mengamuk dan berkelakuan tidak elok.
Kenapa asal nampak isteri bersikap teruk nak salahkan lelaki atau suami? Tindak tanduk isteri itu terhasil dari sikap dia sendiri, bukan orang lain.
Isteri Nabi Lut a.s dan isteri Nabi Nuh a.s derhaka dan bersikap tidak elok. Adakah ia mencerminkan layanan suami mereka?
Bahkan ramai sahaja pasangan yang suaminya panas baran, sering memukul, tidak solat, suka berjudi, tapi si isterinya begitu sabar dan solehah. Menjaga aib suami, tetap taat dan redha.
Bila isteri solehah dan baik sedangkan suaminya tidak baik, tidak pula keluar kata-kata ‘isteri itu cerminan suami’.
Tapi bila isteri itu meroyan, biadap, melampau batas dan berkelakuan tidak elok, tiba-tiba suami dipersalahkan dan segelintir mereka menuduh isteri menjadi tidak baik kerana cara suami santuni mereka itu tak betul.
Eh, boleh gitu pulak?
Teringat kata-kata Zainuddin dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka,
“Demikianlah perempuan, ia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walau pun kecil dan ia lupa kekejamannya sendiri pada orang lain padahal begitu besarnya”.
Setiap individu yang akil baligh dan matang fikiran mereka perlu bertanggungjawab terhadap sikap dan kelakuan mereka.
Bila lelaki salah, dia salah. Dan bila wanita salah, mengaku sajalah. Tak perlu salahkan lelaki pula.
Sumber: Mohd Fadli Salleh Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI