Terkejut dan gembira. Mungkin itulah yang dirasakan peminat Wany Hasrita yang selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun pada jam 9.11 malam bertempat di Glam Hall, Damansara Perdana Kuala Lumpur. Merahsiakan wang hantaran dan tiada dulang hantaran, Wany kini sudah bertukar status.
Wany dan Adib yang berusia 30 tahun dinikahkan bapa Wany, Hasbullah Hassan dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa. Wany menerima sebentuk cincin berlian sebagai mas kahwin namun merahsiakan wang hantaran.
Begitu cantik menggayakan busana rekaan Altelia Amani, rupa-rupanya sudah 12 tahun Wany dan Adib saling mengenali.
“Jika diikutkan, saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi melalui rakan baik saya yang juga sepupunya dan waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi. Pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mula mengikuti antara satu sama lain dalam Instagram dan banyak berhubung di situ.
Ada satu hari dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends. Saya pun boleh layan. Sejak itu, kami terus rapat dan saling memahami dalam banyak perkara.
Sejak awal perhubungan, kami tidak terfikir untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin. Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja.
Berahsia
Pelantun lagu Belenggu Rindu ini sangat bersyukur kerana majlis pernikahan ini berjalan lancar. Menafikan merahsiakan kisah percintaannya dengan Adib, Wany Hasrita memilih untuk menjaga privasi suami tersayang.
“Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu tidak perlu dikongsikan. Sebab itu dalam perhubungan kali ini, saya mengambil pendekatan sebegitu. Biar semuanya sudah sah, barulah kita kongsi.
Lagi pula dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial. Jadi saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati,”
Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi,” katanya.