Cincin kahwin besar nilainya pada insan yang bergelar isteri. Setiap hari dipakai, setiap hari jugalah ditenungnya. Tanda cintanya pada suami. Namun, berbeza pula bagi kebanyakan suami, ada cincin pun tak apa, tak ada cincin pun tak apa. Cincin seakan tidak penting dan tak mencerminkan apa-apa. Jarang sekali kita dapat lihat lelaki pakai cincin kahwin. Leceh katanya. Tapi, wahai lelaki, ketahuilah, saat anda memakai cincin kahwin depan isteri bibirkan pasti akan mengukir senyuman setiap masa. Tak percaya, cubalah.
Jom baca perkongsian manis daripada seorang suami dan bapa anak dua, Bijen Mohd tentang bagaimana hanya dengan sebentuk cincin dapat membahagiakan hati isterinya.
Beliau beritahu cukup seseorang itu memakai cincin pinjam walau seketika, dia sudah pun mendapat pahala. Maksudnya di sini, Ali jumpa Abu. Ali cakap pada Abu nak pinjam cincin dia. Abu melurut keluar cincin dari jarinya dan memberikan kepada Ali. Ali menyambut cincin tersebut lalu menyarungkan ke jari manisnya. Selepas beberapa saat, Ali pun menanggalkan dan memulangkannya kepada Abu dengan ucapan terima kasih. Itupun sudah dikira mendapat pahala Sunnah. Wahh! Mudah sangat nak dapat pahala.
Lepas dengar saja perkara itu, saya terus bersemangat nak beramal. Bila balik rumah, saya pun carilah apa cincin yang ada sehinggalah terjumpa cincin kahwin dulu kala. Saya tabahkan hati memakainya. Niat nak amal Sunnah semata-mata. Nak dijadikan cerita, isteri bila tengok kita pakai cincin kahwin yang dia bagi dulu, hatinya pun mula berbunga-bunga. Amboi! Rupanya orang perempuan ni bahagia bila kita memakainya. Mungkin dia rasa kita akan sentiasa ingat padanya. Ataupun sebagai petanda kepada makwe-makwe di luar sana bahawa lelaki tersebut sudahpun berpunya.
Kurang-kurang kalau lelaki dia nak pergi karaoke waktu dia tengah berpantang, tengok cincin teringatlah juga. Eh! Tapi seriuslah. Bila pakai cincin kahwin ni rasa macam cinta tu segar-bugar saja. Rasa macam baru kahwin pun ada. Sudahlah amal Sunnah dapat pahala berganda, gembirakan isteri pun ada pahalanya. Orang perempuan, setujukah anda?
Sumber: Bijen Mohd