Setiap pasangan yang berkahwin pastinya menginginkan sebuah hubungan yang bahagia dan kekal sehingga akhir hayat. Kadangkala kelakuan anda bakal membuatkan pasangan bosan dan rimas sehinggakan rasa sayang itu semakin berkurangan.
Rasa cinta itu boleh dipupuk sekiranya pasangan saling memahami dan berkomunikasi dengan baik. Seorang isteri juga mempunyai peranan penting agar rumah tangga yang dibina kekal utuh dan berpanjangan. Pastinya anda ingin disayangi oleh suami hari demi hari.
Percayalah jika isteri lakukan tujuh perkara ini pasti cinta dan kasih sayang suami akan terus melekat seperti magnet. Kenapa nak tunggu, ayuh lakukan sekarang!
Satu sifat wanita yang memang tidak digemari lelaki adalah kuat membebel. Cuba belajar mendengar dan kurangkan bebelan anda. Lelaki jarang mahu berkongsi masalah mereka dengan sesiapa. Tapi sekiranya suami tiba-tiba mahu berbicara secara serius, berilah perhatian kepadanya. Ada masanya komen isteri tidak diperlukan pada ketika itu kerana suami sekadar mahu meluahkan bebanan yang ada di dadanya. ‘Telinga’ yang isteri berikan itu sudah cukup membuatkan suami rasa sedikit lega.
Kadangkala apabila seseorang lelaki itu mempunyai masalah atau tertekan dengan sesuatu, apa yang dimahukan adalah ketenangan untuk dia bersendirian. Berikan suami ruang dan jangan menekannya dengan lebih banyak soalan kerana ini akan membuatkan fikiran suami lebih berserabut. Sekiranya dia mahu bercerita kepada anda, dia akan lakukannya setelah dia bersedia. Wanita yang faham dengan situasi pasangannya dan bertindak dengan wajar adalah wanita yang disenangi dan disayangi.
Kadangkala, perkataan sahaja tidak cukup untuk menyatakan cinta. Walaupun sudah berkahwin, sentiasalah menyemarakkan kasih sayang dan cinta anda berdua. Sudah berkahwin bukan alasan untuk anda tidak perlu melontarkan rasa cinta terhadap pasangan. Sesekali buat kejutan untuk suami dengan menghantar makanan kegemaran suami di tempat kerjanya. Buat suami rasa bangga dan cemburu pada orang sekeliling dengan cara anda melayannya. Ataupun mungkin anda menempah makan malam romantik walaupun bukan pada hari istimewa untuk anda berdua nikmati masa bersama.
Sudah menjadi sifat seorang lelaki menyukai wanita yang pandai memanjakan mereka. Memanjakan suami merupakan tugas isteri. Beri urutan lembut di bahu ketika suami pulang bekerja ataupun urut kakinya ketika suami hendak tidur. Pasti layanan manja yang isteri berikan ini akan membuatkan suami bertambah sayang kepada anda.
Jaga penampilan dan tingkah laku anda di hadapan suami. Suami amat suka melihat isterinya sentiasa tampak bergaya dan menawan bukan hanya ketika keluar rumah, malah di rumah juga. Walaupun usia isteri semakin meningkat, bukan alasan untuk isteri tidak boleh bercantik untuk suaminya. Usahalah menjaga penampilan diri agar suami tidak jemu-jemu memandang dan memuji anda.
Selain penampilan, tingkah laku anda di luar juga harus ada batasnya. Ingat bahawa anda sudah bersuami dan merupakan isteri orang. Apa pun yang anda lakukan di luar akan membawa nama suami. Tingkah laku anda sama ada baik atau buruk boleh memberi kesan kepada nama baik dan maruah suami.
Bersikap setia dan sentiasa taat pada suami terutamanya ketika suami dilanda musibah yang menimpa dirinya. Sentiasalah memberi semangat kepada suami walau apa juga keadaan senang mahupun susah yang menimpa. Jatuh bangun seseorang suami itu kerana adanya seorang wanita di belakangnya.
Bersyukurlah dengan apa yang telah diberikan oleh suami terhadap anda dan keluarga. Sentiasa ucap terima kasih kepada suami agar dia rasa dihargai dan dicintai oleh anda. Dengan cara ini, suami akan lebih mencintai anda sepenuhnya. Jangan sesekali menunjukkan rasa kecewa kepada suami kerana ini boleh membuatkan suami bersedih.